LONDON: Pesaing lama Cristiano Ronaldo, Leo Messi, sudah pun meninggalkan Argentina pada Oktober lalu, dengan perpisahannya disambut dengan tepukan daripada penyokong di seluruh negara.

Legenda Portugal itu pula mengambil jalan lain, dan memang sudah dijangka begitu.

Pemain berusia 41 tahun itu mengumumkan persaraan antarabangsanya selepas 23 tahun.

Pengumuman itu juga dibuat selepas beliau bertelagah dengan jurulatih negara, Jorge Jesus.

Pertelingkahan itu diselesaikan dengan hukuman 30 hari, yang sudah pun dijalani, dan denda €255 ($365).

Itulah hukuman yang dikenakan ke atas penyerang Portugal itu kerana meninggalkan kem latihan pasukan tanpa kebenaran.

Jesus meletakkannya di bangku simpanan untuk satu perlawanan dan berkata beliau tidak bercadang menurunkannya sebagai pemain utama dalam perlawanan seterusnya.

Oleh disebabkan itu, Ronaldo pulang ke rumah.

Penampilan terakhirnya ialah pada 24 September menentang Wales.

Beliau menamatkan kerjaya antarabangsanya dengan 146 gol dalam 234 perlawanan.

Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ronaldo bergema di seluruh Portugal, dengan beliau disanjung sebagai duta negara di persada dunia serta sumber inspirasi kepada jutaan orang.

Namun begitu, cara kerjayanya berakhir meninggalkan rasa terkilan.

Adakah beliau akan dipilih dalam skuad seterusnya?

Mungkin, kerana Jesus berkata pintu masih terbuka dan keputusan terletak pada Ronaldo.

Yang jelas, beliau tidak lagi menjadi pemain utama secara automatik, dan Ronaldo tidak pernah dapat menerima hal itu dengan baik.

Jadi, adakah tindakannya kali ini satu lagi tanda beliau merajuk?

Mungkin, memandangkan beliau sering menunjukkan reaksi sedemikian apabila jurulatih mempersoalkan kedudukannya dalam pasukan.

Ketika Ronaldo mula-mula menyertai skuad, beliau tiba di kem dengan topi besbol dipakai terbalik, cermin mata hitam yang besar dan fon kepala dengan bunyi muzik begitu kuat hingga boleh didengar dari jauh.

Beliau enggan menanggalkan topinya ketika makan bersama pemain veteran seperti Luis Figo dan Rui Costa.

Luiz Felipe Scolari melihat dalam diri Ronaldo seorang pemain luar biasa yang masih mentah dan suka menunjuk-nunjuk. 

Beliau menegurnya di khalayak ramai, kemudian memberitahunya secara peribadi bahawa jika beliau merubah sikapnya, suatu hari nanti beliau akan menjadi kapten Portugal.

Kekecewaan besar pertama Ronaldo datang awal, dan berlaku di tanah air sendiri.

Pada usia 19 tahun, Ronaldo beraksi dalam perlawanan akhir Euro 2004 di Estadio da Luz, Lisbon, di depan sebuah negara yang yakin trofi itu sudah pasti menjadi milik mereka.

Namun satu gol tandukan Angelos Charisteas sudah cukup untuk Greece, pasukan yang tidak dijangka, menang secara mengejut.

Apabila wisel penamat dibunyikan, Ronaldo tidak dapat menahan air mata.

Imej remaja yang menangis di padang sendiri itu tersebar luas. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti