Pelajar Menengah 2, Faizaan Jibra’el Mohamed Fairul, tiba di Sekolah Menengah Bedok South pada pagi 25 November dengan menyangka dia hanya menghadiri klinik bola sepak biasa.

Namun, ternyata sesi itu bukan sesi yang biasa-biasa, apabila mantan bintang bola sepak England, David Beckham, melangkah ke padang, sekali gus menggembirakan remaja berusia 14 tahun itu dan 38 lagi pemain bola sepak muda daripada rangkaian pertubuhan bukan mengaup untung, Tasek Academy and Social Services, dan Sekolah Menengah Bedok South.

Ramai atlet pelajar yang menyertai klinik tersebut, yang dianjurkan sempena pelancaran Sports for Good: Football Edition, (Sukan untuk Kebaikan: Edisi Bola Sepak), terpegun dengan apa yang mereka saksikan. 

Inisiatif baharu Dana Masyarakat itu menggunakan bola sepak sebagai platform untuk memberi inspirasi kepada generasi muda.

Rasa terkejut mereka pada awalnya kemudian bertukar menjadi keterujaan.

“Saya tahu akan ada seorang pemain bola sepak, tetapi saya tidak tahu siapa orangnya,” kata Faizaan, pelajar Sekolah Menengah Broadrick. “Saya terkejut apabila melihatnya (Beckham) di depan mata saya,” tambahnya.

Kehadiran mengejut Beckham itu dibawakan dengan sokongan Marina Bay Sands (MBS) menerusi program kemasyarakatannya, Sands Cares.

Dalam sesi tersebut, duta global Sands itu turut berkongsi pengalaman dan pengajaran sepanjang kerjaya sukannya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Beliau juga menekankan betapa pentingnya zaman persekolahan dalam membentuk perjalanan dan perkembangan seseorang pemain bola sepak.

“Di sinilah segalanya bermula – di padang seperti ini, bersama rakan-rakan dan jurulatih.

“Di sinilah anda belajar untuk menjadi pemain bola sepak yang lebih baik. Anda juga mula memahami selok-belok permainan ini,” kata Beckham.

Mantan kapten pasukan England itu pernah menyarung jersi Manchester United dan Real Madrid.

Sepanjang kerjayanya, beliau berjaya meraih enam kejuaraan Liga Perdana England (EPL), satu kejuaraan La Liga dan satu piala Liga Juara-Juara.

“Bola sepak bukan sekadar tentang apa yang berlaku di padang, tetapi juga pengalaman dan nilai yang dibawa dalam kehidupan seharian. Persahabatan paling lama saya bermula sejak usia muda. Malah, ramai insan penting dalam hidup saya juga saya kenali melalui sukan ini.

“Sebab itulah peringkat ini sangat penting dalam perjalanan seseorang pemain. Di sinilah impian mula tercipta,” tambah Beckham.

Pemain berusia 51 tahun itu turut mengimbau kegemilangan silamnya apabila beraksi dalam perlawanan lapan lawan lapan bersama para peserta, mantan penjaga gol kebangsaan, Hassan Sunny, dan penjaga gol pasukan Lionesses (Pasukan bola sepak wanita nasional Singapura), Izairida Shakira.

Bermain bersama Beckham merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pemain muda wanita, Nur Ruzanna Nuzhah Ridzuan, Surah Raudah Sam Zalli dan Risa Ardela Ruzaini.

“Saya terkejut dan teruja dapat bertemu dan berbual dengannya,” kata Surah, pelajar Menengah 3 daripada Sekolah Menengah Boon Lay.

“Semasa kecil, saya sering menonton klip videonya kerana saya menyokong kelabnya (Manchester United). Melihatnya bermain dari dekat dan menyaksikan sendiri kemahirannya benar-benar memberi inspirasi kepada saya. 

“Tambahan pula, beliau sudi meluangkan masa untuk berbual dengan kami, menggalakkan kami bermain sejak usia muda dan memberikan sokongan. Semua ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus bermain bola sepak,” tambahnya. 

Ketiga-tiga mereka malah berpeluang berbual dengan Beckham dan berkongsi perjalanan peribadi mereka dalam sukan itu.