Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beckham selamanya terhutang budi kepada mendiang Eriksson

Aug 27, 2024 | 3:27 PM
Masyarakat bola sepak memberi penghormatan mencurah-curah kepada bekas pengurus England, mendiang Sven-Goran Eriksson, yang meninggal dunia pada 26 Ogos dalam usia 76 tahun. Mendiang didiagnosis menghidap barah pankreas.
Masyarakat bola sepak memberi penghormatan mencurah-curah kepada bekas pengurus England, mendiang Sven-Goran Eriksson, yang meninggal dunia pada 26 Ogos dalam usia 76 tahun. Mendiang didiagnosis menghidap barah pankreas. - Foto AFP

Bekas kapten bola sepak England, David Beckham, memberi penghormatan kepada mendiang bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson, yang meninggal dunia pada 16 Ogos dalam usia 76 tahun.

Beckham menyifatkan Eriksson sebagai “lelaki sejati” dan berkata beliau akan “selamanya berterima kasih” kepada bekas pengurus England itu.

Eriksson, yang menjadi pengurus asing pertama untuk pasukan kebangsaan England, menamakan Beckham sebagai kapten pasukannya selepas beliau dilantik pada 2001, lapor BBC Sport.

Pengurus warga Sweden itu adalah pengurus bagi hampir kesemua 59 perlawanan yang disertai Beckham sebagai kapten England.

“Sven, terima kasih kerana sentiasa menjadi seorang yang sentiasa bersemangat, penyayang, tenang, serta seorang lelaki sejati.

“Saya akan selamanya berterima kasih kerana anda menjadikan saya kapten (pasukan) anda,” ujar bekas pemain tengah Manchester United dan Real Madrid itu.

Dalam hantaran di media sosial, Beckham turut melampirkan satu video yang menunjukkan beliau bersama Eriksson semasa kali terakhir melawat pengurus itu pada awal 2024.

Januari lalu, Eriksson mendedahkan beliau didiagnosis menghidap barah pankreas dan mempunyai masa setahun untuk hidup dalam “senario terbaik”.

“Kami ketawa, kami menangis dan kami tahu kami mengucapkan selamat tinggal.

“Saya akan simpan kenangan terakhir pada hari itu bersama anda dan keluarga anda.

“Terima kasih Sven dan kerana kata-kata terakhir anda kepada saya – “ia akan baik-baik sahaja,” ujar Beckham.

Eriksson memimpin pasukan bergelar, The Three Lions itu ke suku akhir dalam tiga kejohanan utama sepanjang lima tahun beliau mengendali pasukan itu dari 2001 hingga 2006.

Beliau turut mengurus 12 kelab terkemuka seperti Manchester City, Leicester, Roma dan Lazio, dan memenangi 18 trofi.

Eriksson mengurus pemain seperti Beckham, Steven Gerrard, Rooney dan Frank Lampard.

Bekas pemain penyerang, Rooney membuat penampilan sulung dalam pasukan England di bawah bimbingan Eriksson ketika beliau berusia 17 tahun.

Rooney menyifatkan Eriksson sebagai “lelaki istimewa”.

“Rehatlah dengan tenang, Sven.

“Terima kasih atas kenangan dan semua bantuan dan nasihat anda. Ingatan dan doa kami bersama semua keluarga dan rakannya,” katanya.

Kapten England kini, Harry Kane pula berkata: “Saya tidak berpeluang bermain di bawah Sven tetapi saya tahu betapa beliau disukai dan dihormati oleh mereka yang bermain di bawah bimbingannya sebagai pengurus England.

“Ingatan saya bersama keluarga dan rakannya pada masa ini,” ujar beliau.

Penghormatan mencurah-curah kepada mendiang Eriksson yang diberi oleh para pemain England yang merupakan sebahagian daripada “generasi emas” di bawah bimbingan beliau.

Bekas penyerang, Peter Crouch, berkata: “Betapa hebatnya beliau (Eriksson).

“Sven memberi saya peluang membuat penampilan sulung dalam pasukan England apabila ramai tidak yakin (dengan prestasi saya).

“Saya akan sentiasa berterima kasih kepadanya. Beliau akan dirindui.”

Bekas kapten England, John Terry, yang turut diberi peluang bermain buat kali pertama dalam pasukan itu oleh Eriksson, menyifatkan beliau sebagai “pengurus yang hebat”.

Pemain tengah, Frank Lampard pula berkata Eriksson “akan sentiasa ada untuk anda baik di dalam mahupun luar padang”.

“Saya akan sentiasa berterima kasih kepadanya atas kepercayaan dan sokongan yang beliau berikan kepada saya dalam kerjaya saya bersama pasukan England,” katanya.

Eriksson meninggalkan England selepas Piala Dunia 2006 dan kemudian mengendalikan Mexico dan Ivory Coast serta kelab seperti Manchester City dan Leicester City.

Disebabkan masalah kesihatannya, beliau mengundurkan diri daripada jawatan pengarah sukan di kelab Sweden, Karlstad pada Februari 2023. – Agensi berita.

Kami ketawa, kami menangis dan kami tahu kami mengucapkan selamat tinggal. Saya akan simpan kenangan terakhir pada hari itu bersama anda dan keluarga anda.
- Bekas kapten bola sepak England, David Beckham, ketika mengimbas kali terakhir beliau melawat bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson, pada awal 2024.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg