Pemain bek kanan Cardiff City, Perry Ng, menggunakan kesempatan ketika berada di Singapura untuk melawat kolumbarium Tao (Taoist) di Bedok, tempat persemadian mendiang datuk sebelah bapanya, James Ng, yang meninggal dunia pada 2011 pada usia 63 tahun.
Ng, yang juga dikenali dengan nama panggilan Buster, memberitahu akhbar, The Straits Times (ST), bahawa setiap kali beliau datang ke Singapura, beliau akan menziarahi tempat tersebut sebagai memberi penghormatan kepada datuk yang sentiasa dalam ingatannya.
Pemain berusia 28 tahun itu mencuri tumpuan di Singapura dan England pada 2 September apabila dijemput menyertai kem latihan Lions bagi latihan suai kenal semasa jendela antarabangsa.
Menyedari bahawa “intensiti dan mutu sangat bagus”, pemain kelahiran Liverpool itu mengesahkan hasratnya memohon kerakyatan Singapura.
Jika berjaya, Ng, yang pertama kali menyatakan minatnya seawal 2017, akan menjadi pemain bola sepak Singapura pertama yang menyertai Lions melalui laluan warisan – datuknya dilahirkan di Singapura tetapi berpindah ke Liverpool pada 1970-an untuk melanjutkan pelajaran, di samping terpengaruh dengan kegemaran terhadap kumpulan The Beatles.
Di Liverpool, datuknya memulakan keluarga dan membina perniagaan dalam bidang pengimportan dan pengilangan.
Kaitannya dengan Singapura jelas apabila Ng bersama ibu bapanya, Perry Sr. dan Lisa, disambut mesra oleh 14 ahli keluarga besar di gerai mi Fu Xing Ji Hokkien, milik nenek saudaranya, Ng Pel Leng, di Pasar dan Pusat Makanan 511 Bedok North pada 4 September.
Ng turut mengakui bahawa etika kerja kerasnya diwarisi daripada Pel Leng, suaminya, Yeo Eng Cheng, serta adik perempuannya, Ng Seh Eng.
“Semasa kecil, saya tidak begitu mahir bermain bola sepak, tetapi keazaman saya sentiasa terserlah, dan itulah yang membantu saya bermain dengan baik,” kata Ng.
Kedua-dua ibu bapanya bukan peminat bola sepak, namun pada usia lima tahun, Lisa membawanya ke kem musim panas.
Ketika itu, beliau menarik perhatian pencari bakat dengan tenaganya yang luar biasa sebelum menyertai akademi Crewe Alexandra.
Memandangkan ketika itu belum ada kontrak rasmi untuk kanak-kanak bawah sembilan tahun, Ng turut mencuba di akademi Liverpool dan Everton, namun berasakan “kurang serasi” dengan mereka, walaupun beliau adalah peminat The Reds.
Baginya, kelab-kelab itu terlalu menekankan kemenangan, manakala Crewe Alexandra lebih memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh bakat muda.
Crewe Alexandra terkenal kerana menghasilkan pemain akademi berbakat yang melangkah ke pasukan utama, termasuk bekas pemain antarabangsa England seperti, Danny Murphy dan Dean Ashton, serta pernah menurunkan pasukan yang keseluruhannya terdiri daripada lulusan akademi.
Walaupun Ng semakin meningkat baik dan mengalami lonjakan ketinggian pada usia 16 tahun, perjalanan bola sepaknya penuh cabaran.
Pada usia 18 tahun, beberapa pengurus ragu-ragu sama ada beliau mampu bersaing dalam pasukan senior di Liga Satu.
“Selepas saya menandatangani kontrak profesional pertama, pengurus pasukan utama memanggil saya dan mengatakan beliau tidak mahukan saya.
“Tetapi ini memberi saya dorongan dan begitu teringin untuk membuktikan beliau salah,” kata Ng.
Selepas Crewe diturunkan pada 2016, Ng membuat 182 penampilan untuk kelab itu dan membantu mereka kembali ke liga ketiga pada 2020.
Pada 2021, beliau menandatangani kontrak dengan kelab Kejuaraan, Cardiff City.
Setelah beralih daripada bek tengah ke bek kanan, beliau memenangi anugerah Pemain Terbaik Musim bagi Cardiff City dua kali berturut-turut pada 2023 dan 2024, dan menegaskan bahawa “Liga Perdana adalah matlamat yang sedang saya usahakan”.
Sambil menyasarkan peringkat teratas England, Ng dan keluarga juga berharap beliau boleh bermain untuk Singapura tidak lama lagi.
Lisa, 50 tahun, menambah: “Ia membuatkan kami semua terharu apabila beliau beritahu kami beliau mahu bermain untuk Singapura dan melakukannya demi datuknya.
“Beliau cuba lakukan ini (bermain untuk Singapura) selama bertahun-tahun, jadi kami berharap ia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.”
Pel Leng, 71 tahun, berkata: “Perry sentiasa menjadi budak yang baik yang gemar kari ayam dan ketam kari saya setiap kali saya melawat mereka.
“Saya sangat berbangga dengannya, tetapi saya hanya pernah melihatnya berlatih di sana, jadi adalah bagus jika kita dapat menontonnya bermain untuk Singapura di sini.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg