Lion City Sailors terus memperkasa barisan pemain mereka dengan menandatangani bekas pemain akademi Liverpool, Bobby Adekanye, meskipun telah membawa masuk beberapa pemain baharu bagi musim 2026-27.

Penyerang berusia 27 tahun itu – yang pernah beraksi dalam kejohanan besar termasuk Serie A Italy, La Liga Sepanyol dan Liga Europa – telah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab tersebut, umum juara Liga Perdana Singapura (SPL) itu pada 6 Ogos.

Adekanye, yang mampu beraksi sebagai pemain sayap atau penyerang kedua, bakal menambah kelajuan serta kelincahan pada barisan serangan Sailors.

Pasukan itu sebelum ini telah pun memperkukuh barisan hadapan mereka menerusi pemindahan pemain antarabangsa Singapura, Ilhan Fandi, serta dua bekas penyerang Ligue 1 Perancis, Antonio Mance dan Matthias Phaeton.

Adekanye, yang bakatnya digilap menerusi akademi belia Ajax Amsterdam, Barcelona dan Liverpool, kerap beraksi untuk skuad bawah 18 tahun (U18) dan U23 The Reds dalam perlawanan seperti Liga Belia Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) serta Liga Perdana 2.

Beliau kemudian beraksi untuk beberapa kelab di Eropah, termasuk kelab Italy, Lazio; kelab Sepanyol, Cadiz CF; dan kelab Belanda, Go Ahead Eagles.

Penyerang asal Nigeria itu – yang pernah mewakili Belanda sehingga peringkat U20 – tiba di Singapura selepas beraksi selama satu setengah musim di Turkey, dan teruja untuk menyahut cabaran baharu di Asia.

“Jujurnya, saya tidak tahu banyak mengenai Singapura sebelum ini, tetapi selepas berbincang dengan kelab dan memahami visi serta impiannya, saya terus merasakan ini adalah tempat tepat untuk saya,” kata Adekanye, yang turut menerima tawaran daripada kelab-kelab di Asia dan Eropah, termasuk Belanda.

“Kelab ini ikhlas ingin menandatangani saya, dan projek yang mereka bentangkan amat menarik. Saya telah lalui banyak pengalaman menarik sepanjang kerjaya saya, dan saya berharap dapat memanfaatkannya untuk membantu pasukan ini mengejar setiap trofi serta menjadi antara kelab terkemuka di rantau ini.

“Saya seorang pemain yang menyerang secara terus dan cuba membuat para penyokong gembira menerusi gaya permainan saya. Saya tidak sabar untuk menunjukkannya di padang buat Sailors.”

Pengarah Bola Sepak Sailors, Luka Lalic, memuji kualiti teknikal cemerlang Adekanye serta pengalaman berharganya di Eropah, sambil menambah bahawa “aksi yang sukar dijangka serta keupayaannya menewaskan pihak lawan dalam situasi satu lawan satu akan memberi satu kelainan dalam barisan serangan kami”.

“Pada usia 27 tahun, beliau berada di kemuncak kerjaya yang menggabungkan kematangan dan pengalaman bersama dahaga serta cita-cita untuk menang. Kami percaya beliau mampu memberi impak besar kepada pasukan,” kata Lalic.

Awal minggu ini, Sailors turut mengumumkan penandatanganan bekas pemain tengah Ligue 2 Perancis, Giovanni Haag.

Mereka juga telah menandatangani tiga lagi pemain Singa iaitu pemain pertahanan, Ryhan Stewart; pemain sayap Farhan Zulkifli dan Glenn Kweh; selain pemain pertahanan Brazil, Hugo Gomes, yang menjuarai saingan V.League 1 2025-26 bersama kelab Vietnam, Cong An Ha Noi.

Beberapa pemain baharu Sailors ini dijangka beraksi apabila mereka berdepan Tampines Rovers dalam perlawanan ‘Community Shield’ pada 6 September, sebagai aksi pembukaan bagi musim SPL yang bermula pada 11 September.

Sailors juga menyasarkan untuk menampilkan aksi lebih mantap dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Dua dan Kejohanan Kelab Asean bagi musim akan datang.