Kelab Lion City Sailors memperkukuh serangan mereka dengan menandatangani pemain penyerang kelahiran Perancis, Matthias Phaeton, dari kelab divisyen tertinggi Bulgaria, CSKA Sofia, umum juara Liga Perdana Singapura (SPL) itu pada 28 Julai.

Pemain berusia 26 tahun itu menyertai Sailors menerusi kontrak tiga tahun menjelang musim SPL 2026-27 yang bermula pada 11 September.

Tiada yuran perpindahan didedahkan, namun Phaeton menolak tawaran daripada kelab divisyen kedua Turki, Bursaspor, untuk berpindah ke Singapura.

“Sejak perbualan pertama dengan Sailors, saya dapat merasakan cita-cita dan projek yang sedang mereka bina di sini,” katanya.

“Kelab ini mempunyai impian besar dan mahu membawa bola sepak di negara ini ke tahap lebih tinggi. Saya teruja untuk mencipta sejarah di Singapura.”

Phaeton boleh beraksi sebagai pemain sayap kiri atau penyerang tengah. Beliau tiba selepas menghabiskan musim lalu secara pinjaman bersama FC Zurich, menjaringkan lapan gol dalam 27 penampilan.

Beliau turut mencipta nama di Perancis dengan membuat 86 penampilan dalam Ligue 2 bersama Guingamp dan Grenoble dari 2018 hingga 2023, selain beraksi empat kali dalam Ligue 1 bersama Guingamp dalam musim 2028-19.

Selepas berpindah ke CSKA Sofia, beliau mencatatkan sembilan gol dan lapan bantuan jaringan serta beraksi dalam kelayakan Liga Persidangan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) pada 2023.

Mereka akhirnya tewas kepada kelab Romania, Sepsi OSK.

Di pentas antarabangsa, Phaeton pernah mewakili skuad bawah 16 dan bawah 17 tahun Perancis sebelum memilih Guadeloupe di peringkat senior pada 2021. Beliau menjaringkan 12 gol dalam 34 penampilan bersama pasukan anggota Gabungan Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf) itu.

Mengenai pemain baharu itu, ketua jurulatih Sailors, Jesus Casas, berkata: “Matthias ialah pemain yang telah lama kami pantau, dan kami gembira beliau memilih kami walaupun menerima tawaran lain dari Eropah.”

“Beliau membawa pengalaman bola sepak Eropah serta mutu yang sesuai dengan corak permainan kami. Paling penting, beliau mempunyai cita-cita dan keazaman untuk menyumbang, dan kami yakin beliau akan menyesuaikan diri di Singapura serta menguatkan serangan kami.”

Phaeton merupakan pemain terbaharu menyertai Sailors selepas penyerang Singapura Ilhan Fandi, menyusuli ketibaan Ryhan Stewart, Farhan Zulkifli, Glenn Kweh dan pertahanan dari Brazil, Hugo Gomes.

Menjelang kempen Liga Juara-Juara AFC Dua dan Kejohanan Kelab Asean (ACC), Phaeton berkata beliau bersedia menghadapi cabaran.

“Saya tahu harapan terhadap kelab ini sangat tinggi. Kami perlu memenangi setiap perlawanan dan beraksi cemerlang di pentas Asia,” katanya.

“Saya menyahut cabaran itu dan akan melakukan segala yang termampu untuk membawa kelab ini ke tahap lebih tinggi di rantau ini.”