Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SEPAK TAKRAW

Bekas pemain, pegawai sepak takraw sokong langkah SNOC

Selain di Sukan SEA, jawatankuasa dilantik SNOC selia sepak takraw di Sukan Asia juga
Mar 03, 2023 | 05:30 AM



FRATERNITI sepak takraw setempat berkata mereka lega dan senang hati kerana pemain sepak takraw negara akhirnya diberi peluang beraksi di Sukan SEA 2023.



Namun ada juga pihak yang berkata mereka prihatin langkah itu bermakna Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) sentiasa dipantau teliti.



Ini apabila mereka diminta berkongsi pandangan mengenai penyertaan pasukan sepak takraw nasional ke Sukan SEA 2023 di bawah pimpinan jawatankuasa persiapan pertandingan utama yang dilantik Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC).



Pada Selasa, Berita Harian (BH) melaporkan bahawa satu Jawatankuasa Persiapan Pertandingan Utama (MGPC) telah dibentuk untuk menguruskan pasukan sepak takraw yang mewakili Singapura di Sukan SEA yang berlangsung di Kemboja dari 5 hingga 17 Mei.



Pasukan sepak takraw tidak dimasukkan dalam senarai asal Team Singapore bagi temasya sukan dwitahunan itu, tetapi dimasukkan selepas rayuannya diluluskan oleh SNOC pada 1 Mac.



Jurulatih pasukan nasional, Padzli Othman akan terus memimpin latihan pasukan itu.



Menjawab pertanyaan BH, jurucakap SNOC berkata MGPC akan menyelia latihan dan persiapan, serta menguruskan pasukan yang dipilih bagi Sukan SEA Kemboja 2023 dan ke Sukan Asia di Hangzhou nanti.



"Jawatankuasa itu termasuk wakil dari SNOC dan Institut Sukan Singapura," katanya.



Aturan ini serupa dengan yang dikenakan ke atas pasukan atletik negara bagi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.



Sekitar dua bulan sebelum temasya sukan itu bermula, SNOC dan Majlis Sukan Singapura (SportSG) berkata mereka membentuk jawatankuasa persiapan bagi pertandingan utama untuk melindu-ngi dan mengasingkan kepentingan atlet daripada persengketaan dalaman yang berlaku di Singapore Athletics.



Langkah SNOC menubuhkan MGPC bagi sepak takraw ini, diumumkan sekitar tiga bulan selepas presiden Perses Nasri Haron; dan setiausaha agung Perses, Zahid Abdul Aziz masing-masing digantung 10 dan lima tahun daripada terlibat dalam sukan itu - di dalam dan luar negara - oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).



Semasa dihubungi BH, Nasri enggan mengulas lebih lanjut mengenai penggantungannya itu, tetapi berkata beliau berbesar hati kerana sepak takraw telah diberi peluang mewakili Singapura di Kemboja.



Beliau menganggap penglibatan SNOC dalam pasukan sepak takraw bukan satu cara majlis sukan itu hendak mengambil alih kuasa tetapi sebaliknya, merupakan sokongan daripada pihak berkuasa.



"Apabila SportSG memberitahu kami bahawa jalan terbaik untuk pasukan adalah diuruskan oleh SNOC, saya cepat-cepat bersetuju. Ia adalah yang terbaik untuk sukan ini di Singapura.



"Saya berharap langkah ini akan mendatangkan kesudahan positif untuk sepak takraw. Lebih daripada itu, kami harap sebarang masalah yang dihadapi boleh dihuraikan secara damai.



Bekas pemain nasional Danial Feriza, yang pernah beraksi di Sukan Asia 2014 dan Sukan SEA 2015, berkata penglibatan SNOC dalam pasukan nasional sepak takraw dapat memanfaatkan kedua-dua pemain dan pengurusan Perses.



"Pemain akan rasa lebih terjamin dari segi elaun dan sokongan perubatan. Perses juga akan dapat belajar daripada SNOC cara menguruskan persekutuan ini," kata beliau.



Beliau menambah bahawa terdapat lebih banyak perlawanan persahabatan antarabangsa yang dianjurkan di bawah pengurusan SNOC sejak kebelakangan ini.



Bekas jurulatih nasional, Salleh Nanang pula berpendapat bahawa langkah itu bermakna pergerakan Perses akan dipantau teliti oleh SNOC.



"Sebaiknya, fraterniti sepak takraw yang harus menguruskan pasukan nasional kami kerana kami lebih memahami keperluan mereka.



"Tapi saya tetap gembira kerana pemain yang tidak berhenti berlatih kini dapat ke Sukan SEA," kata beliau lagi.



Dalam pada itu, dengan urusan di luar gelanggang terjaga, Padzli menggesa anak didiknya untuk fokus pada saingan mendatang.



"Gunakan kaki anda untuk menunjukkan persembahan dalam gelanggang dan bukannya mulut anda," kata beliau.



"Kami harus buktikan yang kami boleh bersaing...dan mudah-mudahan dapat membawa pulang pingat untuk Singapura."



Kali terakhir Singapura diwakili dalam sepak takraw di Sukan SEA adalah pada 2019 apabila ia diadakan di Manila. Pasukan sepak takraw negara gagal memenangi sebarang pingat.



Kali terakhir pasukan sepak takraw negara memenangi pingat di Sukan SEA pula adalah pada 2015 di Singapura, apabila ia menggondol satu perak dan tiga gangsa.



Pasukan sepak takraw Singapura juga terpilih untuk bertanding dalam Sukan Asia di Hangzhou, China pada September nanti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >