ATHENS: Bekas pemain pertahanan Sheffield United, George Baldock, telah meninggal dunia pada usia 31 tahun.
Pemain antarabangsa Greece yang dilahirkan di England itu ditemui mati di kolam renang rumahnya di Glyfada, selatan Athens.
Polis telah cuba memberikan bantuan pernafasan di tempat kejadian tetapi beliau tidak dapat diselamatkan.
Menurut Reuters yang memetik pegawai polis, unit kecemasan perubatan mengesahkan kematiannya.
Baldock telah menyertai pasukan Greece, Panathinaikos, pada musim panas selepas tujuh tahun bersama The Blades.
“Dengan dukacita, kami mengesahkan bahawa George telah meninggal dunia.
“Sebagai sebuah keluarga, kami berada dalam keadaan terkejut dengan kehilangan ini,” kata satu kenyataan keluarganya.
Panathinaikos, dalam satu kenyataan, berkata: “Kami terkejut dengan kehilangan George. Keluarga Panathinaikos meratapi kematian beliau yang tidak dijangka.
“Kami berada bersama keluarga dan orang tersayang George Baldock.”
Sheffield United turut merakam perasaan yang sama.
“Pemain pertahanan itu meninggalkan kelab pada musim panas setelah tujuh tahun di Bramall Lane dan sangat popular dalam kalangan penyokong, kakitangan dan rakan sepasukan yang menyarung jersi merah dan putih bersamanya.
“Ucapan takziah yang ikhlas daripada semua yang terlibat dengan Sheffield United disampaikan kepada keluarga dan rakan-rakan George,” kata kelab Liga Perdana England (EPL) itu.
Baldock membuat empat penampilan untuk Panathinaikos dan tampil dalam perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan ketika menentang Olympiakos pada Ahad.
Beliau membuat 12 penampilan untuk Greece, negara asal neneknya.
Greece akan menentang England di kejohanan Liga Negara-Negara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) pada 10 Oktober, meskipun Baldock tidak dipilih untuk perlawanan tersebut.
Pasukan kebangsaan Greece turut bersedih dengan kematian Baldock.
“Dengan rasa sedih dan duka yang mendalam, pasukan kebangsaan dan Persekutuan Bola Sepak Greece mengucapkan selamat tinggal kepada George Baldock.
“Tiada kata yang dapat menggambarkan kepedihan manusia akibat berita kehilangan salah seorang daripada anak muda kami pada waktu yang tidak dijangka.
“Saat ini memerlukan keheningan. Ucapan takziah kepada keluarganya...” kata pasukan Greece dalam satu kenyataan.
Pemain Manchester United, Harry Maguire, bekas pemain Sheffield United, menyiarkan emoji menyayat hati dan huruf RIP bersama imej Baldock di Instagram.
Baldock memulakan kerjaya bola sepaknya di MK Dons pada 2009 dan telah beraksi lebih 100 kali untuk pasukan tersebut. Beliau pernah dipinjamkan kepada beberapa kelab, termasuk Northampton dan Oxford United, sebelum menyertai Sheffield United pada 2017.
Baldock membuat 219 penampilan dalam semua pertandingan untuk Sheffield United, membantu mereka meloncat ke EPL pada 2019 dan sekali lagi pada 2023. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg