SOUTHAMPTON: Southampton telah bersetuju dengan Arsenal untuk membeli penjaga gol England, Aaron Ramsdale, dalam satu perjanjian bernilai sehingga 25 juta paun ($43 juta).
Ramsdale, 26 tahun, dijangka membuat pemindahan itu sebelum tarikh akhir pemindahan pada 30 Ogos, dengan pasukan Saints membayar 18 juta paun wang pendahuluan dengan potensi tujuh juta paun sebagai tambahan.
Bercakap kepada, BBC Radio Solent, selepas kemenangan pusingan kedua Piala Carabao di Cardiff, ketua Southampton, Russell Martin, berkata:
“Jika ia berlaku ia sangat, sangat mengujakan.
“Tetapi kita perlu tunggu dan lihat. Saya pasti kita akan bercakap mengenainya pada satu ketika jika dan apabila ia berlaku.”
Wolverhampton Wanderers juga telah berbincang dengan Arsenal tentang hasrat mendapatkan penjaga gol itu, yang menjadi pemain sokongan kepada David Raya di Stadium Emirates.
Bagaimanapun, mereka menarik diri kerana harganya dikatakan terlalu tinggi bagi Wolves.
Ramsdale bermain setiap minit dalam setiap perlawanan liga ketika Arsenal menduduki tempat kedua di belakang Manchester City pada 2022-23.
Namun, beliau kehilangan tempat kepada Raya, yang menyertai Arsenal secara pinjaman daripada Brentford pada musim lalu.
Ramsdale hanya tampil enam kali dalam pertandingan liga manakala Arsenal telah menukar perjanjian pinjaman Raya kepada menjadi pemain tetap.
Secara keseluruhan, Ramsdale membuat 78 penampilan Liga Perdana untuk Arsenal selepas menyertainya dari Sheffield United pada 2021 dengan harga 24 juta paun.
Pasukan Southampton sebelum ini telah tewas kedua-dua perlawanan mereka sejak naik kembali ke Liga Perdana.
Penjaga gol Alex McCarthy, 34 tahun, memulakan perlawanan menentang Newcastle dan Nottingham Forest, yang kedua-duanya berakhir dengan kekalahan 0-1.
Ramsdale telah menyarung jersi sebanyak lima kali bersama pasukan England, yang terakhir semasa menentang Iceland pada Jun, sebelum Kejohanan Eropah di Jerman. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg