Sempena sambutan ulang tahun ke-70 Berita Harian (BH), akhbar ini bekerjasama dengan Singa Legends untuk menganjurkan kem bola sepak dua hari yang bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat muda, malah memberi peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan menyertai kegiatan sukan.

Kem Bola Sepak BH-Singa Legends itu akan berlangsung pada 24 dan 25 November di Our Tampines Hub, dengan 40 tempat dikhaskan bagi kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Terbuka kepada kanak-kanak berusia antara tujuh dengan 13 tahun, kem tersebut menawarkan peluang kepada peserta mempelajari kemahiran bola sepak secara langsung daripada barisan legenda bola sepak Singapura.

Antara bekas pemain negara yang terlibat ialah Fandi Ahmad, Nazri Nasir, Aleksandar Duric, S. Subramaniam dan Steven Tan, yang akan berkongsi pengalaman serta membimbing peserta sepanjang kem tersebut.

Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada usaha BH untuk mendekati masyarakat melalui kegiatan yang memberi manfaat, khususnya kepada generasi muda, sempena sambutan BH70 yang bertemakan Kisah Kita.

Singa Legends yang menyatukan bekas pemain negara untuk perlawanan dan acara amal dan kem bola sepak adalah sebuah pertubuhan tidak mencari untung.

BH menyambut ulang tahunnya yang ke-70 pada 1 Julai 2027, namun sambutannya telah bermula pada 25 Oktober menerusi acara podcast secara ‘Live’, Jom BHerbual.

Our Tampines Hub merupakan penaja lokasi kem tersebut.

Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen akhbar itu untuk terus menyumbang kepada masyarakat yang telah menyokongnya selama hampir tujuh dekad.

“Berita Harian mengalu-alukan kerjasama dengan Singa Legends untuk menganjurkan klinik bola sepak bagi kanak-kanak, termasuk mereka daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau menambah bahawa keseluruhan hasil kutipan daripada yuran pendaftaran acara tersebut akan disumbangkan kepada badan amal.

“Selama hampir 70 tahun, BH telah berkembang bersama masyarakat Melayu Singapura.

“Melalui sambutan BH70, kami bukan sahaja mahu meraikan perjalanan dan kemajuan yang dicapai bersama, tetapi juga memandang ke hadapan,” ujar beliau.

Menurut Encik Nazry, BH berharap dapat terus kekal relevan dan memainkan peranan bermakna dalam kehidupan masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau penganjuran kem tersebut turut mencerminkan pendekatan BH70 yang bukan sekadar meraikan sejarah dan pencapaian akhbar itu, tetapi juga memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui inisiatif yang inklusif dan bermakna.

Melalui sukan bola sepak yang dekat di hati ramai rakyat Singapura, BH berharap dapat menyemai semangat kebersamaan sambil membuka peluang kepada generasi muda untuk mencipta kisah kejayaan mereka sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Singa Legends, Encik Farehan Hussein, berharap kem tersebut dapat menjadi sumber inspirasi kepada peserta untuk mengejar cita-cita mereka dalam sukan bola sepak.

Beliau berkata peluang berinteraksi dan belajar daripada bekas pemain negara bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran peserta, malah memberi mereka dorongan untuk terus berusaha mencapai potensi masing-masing.

“Harapan saya ialah kem ini dapat memberikan inspirasi dan dorongan kepada para peserta untuk belajar daripada legenda tanah air yang telah menyumbang kepada pasukan negara Singapura,” katanya.

“Semoga satu hari nanti peserta-peserta ini dapat mewakili pasukan negara kita dan sekali gus menjadi legenda juga.”

Maklumat pendaftaran bagi kem bola sepak ini akan diumumkan tidak lama lagi. Ikuti platform media sosial Berita Harian Singapura di Facebook, Instagram dan TikTok serta Instagram Singa Legends untuk butirannya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti