Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeluang pemain cilik timba ilmu dari wira bola sepak S’pura
Beberapa bekas pemain antarabangsa Singa turun padang bagi Kem Bola Sepak Singa Legends
Peluang pemain cilik timba ilmu dari wira bola sepak S’pura
Bagi sebahagian besar kanak-kanak yang membesar dengan nama Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, jaguh bola sepak dunia mungkin lebih mudah dikenali menerusi skrin telefon atau televisyen.
Namun, di Kem Bola Sepak Singa Legends, mereka berpeluang pula mengenali wira yang lebih dekat dengan mereka – legenda yang pernah menyarung jersi Singapura, mendengar kisah mereka dan belajar sendiri daripada pengalaman legenda ini di padang.
Itulah antara nilai istimewa kem sulung yang berlangsung pada 7 dan 8 September di Sekolah Rendah Sembawang apabila bekas pemain antarabangsa Singa turun padang bukan sekadar mengajar kemahiran bola sepak, tetapi juga memperkenalkan warisan bola sepak negara kepada generasi muda.
Lebih menarik, kesemua 80 tempat yang ditawarkan habis ditempah dalam tempoh hanya empat jam, manakala kira-kira 20 ibu bapa lagi menghubungi penganjur untuk bertanya mengenai tempat tambahan.
Sambutan itu tidak memeranjatkan kerana mereka berpeluang belajar daripada barisan jurulatih yang cukup hebat.
Antara yang turun padang adalah Fandi Ahmad, Abdullah Noor, Nazri Nasir, Noor Ali, Yasir Hanapi, Amy Recha, Hazzuwan Halim, Iqbal Hussain, Baihakki Khaizan, Indra Sahdan, Shukor Zailan dan Samawira Basri.
Bagi pengerusi Singa Legends, Farehan Hussein, sambutan itu mengharukan kerana ia membuktikan masih ramai kanak-kanak mencintai bola sepak.
Namun, baginya, kem ini juga mempunyai tujuan lebih besar – menghubungkan semula generasi muda dengan legenda bola sepak Singapura.
“Yang menjadikan mereka legenda sebenarnya ialah masyarakat. Mereka bermain untuk negara dengan sorakan penyokong di belakang mereka,” katanya.
Farehan berkata beliau sendiri pernah berada di tempat mereka.
Ketika berusia 10 tahun, beliau mengidolakan pemain seperti Samawira, Indra dan Fandi, malah pernah berangan menunjukkan kebolehan bola sepaknya kepada pemain-pemain tersebut.
Kini, generasi baharu pula mendapat peluang sama – bukan sekadar melihat legenda dalam video lama, tetapi berdiri di padang yang sama, menerima bimbingan dan nasihat secara langsung daripada mereka.
Kehadiran nama seperti Fandi dan Baihakki, kata Farehan, boleh mencetuskan satu impian mudah dalam fikiran kanak-kanak: “Satu hari nanti, saya mahu jadi seperti mereka. Saya mahu sarung jersi Singapura sama seperti mereka.”
Bagi Fandi, peluang berinteraksi secara langsung dengan pemain muda juga penting kerana perkembangan seorang pemain bukan hanya bergantung kepada bakat.
“Paling penting kalau nak jadi pemain bola sepak, kita harus ada disiplin, kecekalan, dedikasi, pengorbanan dan paling penting mereka harus belajar mendengar.
“Kadang-kadang apabila mereka sudah bagus, mereka lupa diri. Saya akan selalu ingatkan agar mereka kekal rendah hati,” kata legenda bola sepak itu.
Bagi bekas penyerang Singapura, Indra Sahdan, perkara paling penting untuk pemain bawah 13 tahun ialah mereka terlebih dahulu seronok menikmati permainan.
Beliau sendiri bermain bola sepak ketika kecil “kerana ia menyeronokkan” setiap hari dan tidak pernah membayangkan bahawa minat itu akhirnya akan membawanya menjadi pemain kebangsaan.
“Yang penting mereka nikmati boleh sepak. Apabila mereka melaluinya dan mereka suka dan mereka pulang kepada ibu bapa dan cakap, ‘Saya nak datang lagi untuk kem seterusnya’... itu sudah cukup,” katanya.
Bagi Zafirah Zaibarudin, ibu kepada Yusof Iman Muhammed Noor Esham, tujuh tahun, yang menghadiri kem tersebut, berkata acara itu memberi peluang kepada anaknya mengenali pemain tempatan yang mungkin tidak begitu dekat dengan generasi muda hari ini.
“Kalau mereka mahu mewakili Singapura, mereka perlu kenal pemain Singapura sendiri,” kata Zafirah.
Menurutnya, bagi anaknya yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak, peluang untuk belajar daripada legenda yang selama ini hanya dikenali melalui video memberikan dimensi berbeza kepada pengalamannya di padang.
Dengan sambutan awal yang menggalakkan itu, Farehan berkata Singa Legends merancang menganjurkan kem seterusnya pada cuti sekolah November, berkemungkinan dengan kapasiti lebih besar.
Dalam jangka panjang, mereka mahu menjadikan kem tersebut program setiap cuti sekolah, selain mengenal pasti bakat istimewa yang berpotensi diberi peluang menyertai kem Singa Legends di luar negara seperti di Asia Tenggara.
