Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia berisiko temui keyakinan diri melalui senaman kecergasan

Mohammed Hazim kini kembali sebagai alumni Operation Broken Wing bantu belia lain
Sep 6, 2024 | 6:49 PM
Benifisiari acara ‘Operation Broken Wing’, Mohammed Hazim Mohd Dali kembali menyumbang kepada gerakan kecergasan itu untuk mengumpul dana untuk belia berisiko.
Benifisiari acara ‘Operation Broken Wing’, Mohammed Hazim Mohd Dali kembali menyumbang kepada gerakan kecergasan itu untuk mengumpul dana untuk belia berisiko. - Foto FACEBOOK OPERATION BROKEN WING

Ketika membesar, Mohammed Hazim Mohd Dali merupakan seorang introvert dan pendiam dan tidak mempunyai ramai teman.

Beliau sering dibuli di sekolah dan hadapi masalah mengawal kemarahannya.

Namun, sikapnya berubah menjadi lebih yakin dan kuat secara mental apabila beliau diperkenalkan kepada kegiatan kecergasan.

Pada 2014, Hazim, 24 tahun, menyertai RoundBox, iaitu pusat bantuan oleh Persatuan Kanak-Kanak yang bertujuan menggunakan program sukan dan seni untuk menggalak tingkah laku positif dalam kalangan belia yang berisiko.

Antara program yang disediakan di sana adalah CrossFit – sejenis latihan yang menggabungkan banyak senaman kecergasan. Ia dikendalikan jurulatih Lionel Choong, juga pengasas bersama Operation Broken Wing.

Operation Broken Wing ialah acara kecergasan amal serantau dengan tujuan menghimpunkan komuniti kecergasan dan bersama mengumpul dana untuk belia terpinggir.

“Tanpa kegiatan kecergasan, saya mungkin masih terperangkap di keadaan saya pada masa lalu. Pastinya, ia menjadikan saya seorang yang lebih kuat, bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga mental dan emosi,” kongsi Hazim.

“Semasa bersenam, badan kita hasilkan endorfin dan hormon menggembirakan ini menghilangkan tekanan. Senaman kecergasan benar-benar membantu saya,” tambah pegawai sokongan pembelajaran di firma institusi pendidikan, LearnCollab itu.

Sebagai benefisiari Operation Broken Wing, Hazim pernah menyertai gerakan itu pada 2017 ketika bersama RoundBox. Tujuh tahun kemudian, beliau terdorong untuk menyumbang kembali kepada Operation Broken Wing tetapi kini sebagai alumni daya usaha itu.

Pada 24 dan 25 Ogos, beliau turut serta dalam edisi 2024 Operation Broken Wing di Ngee Ann City, yang diadakan sebagai sebahagian Pesta Sukan Bandar dan Kecergasan Singapura dari 23 Ogos hingga 1 September.

“Saya mahu menyumbang kembali melalui acara kecergasan sebegini kerana ia adalah sesuatu yang saya minat, tetapi juga sebab saya tahu bahawa usaha saya dapat membawa makna kepada pertubuhan ini untuk teruskan usaha mereka membantu belia berisiko,” ujar Hazim.

Acara Operation Broken Wing dibahagikan kepada dua kategori, ‘Fight For Hope’ dan ‘Lift Off’. Peserta dalam setiap kategori berpeluang mengumpul mata, yang akan dijadikan wang tunai untuk disalurkan kepada dana inisiatif itu.

‘Fight For Hope’ adalah litar senaman yang dijalankan dalam format ‘Every Minute On the Minute’ (EMOM), dengan peserta bersenam selama seminit sebelum rehat untuk seminit.

Peserta harus melakukan senaman ‘pull-up’ (tarik naik), ‘box jump’ (lompat kotak), ‘push press’ (juak tolak), ‘burpee’ dan ‘med ball squat’ (cangkung dengan gunakan bola berat) pada setiap stesen dan seberapa banyak yang boleh dalam seminit. Ini dilakukan sebanyak tiga pusingan.

Mata keseluruhan adalah jumlah ulangan yang dilakukan peserta sepanjang semua stesen senaman dan pusingan.

Bagi ‘Lift Off’, pasukan seramai dua peserta daripada jantina sama akan bergilir-gilir mengangkat berat untuk mencapai jumlah berat tertinggi ketika melakukan ‘clean’ (mengangkat berat ke atas bahu) dalam tempoh 15 minit. Mata diraih menerusi jumlah keseluruhan berat yang tertinggi yang berjaya diangkat setiap anggota.

Hazim mengambil bahagian dalam kategori ‘Fight For Hope’ sebanyak dua kali. Pada 24 Ogos, beliau seorang diri mampu mencatat 322 ulangan, manakala keesokan harinya, beliau bersama seorang teman berjaya mengumpulkan 567 ulangan.

“Saya menemui diri saya bukan hanya menerusi kaunseling, tetapi juga senaman kecergasan. Saya berharap kisah saya dapat menjadi inspirasi kepada mereka yang senasib untuk mencuba senaman kecergasan kerana ia boleh memberi manfaat seperti mana ia berlaku kepada saya untuk berkembang dan menjadi versi terbaik saya,” tambah Hazim.

Laporan berkaitan
Tekad mahu jadi juaraJul 8, 2024 | 3:39 PM
Puas kerja berpeluhJul 9, 2024 | 9:30 AM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg