Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Christian Ho bakal jadi pemandu pertama S’pura lumba dalam Formula 3

Sep 17, 2024 | 3:11 PM
Pemandu Singapura Christian Ho di Litar Paul Ricard di Perancis, tempat beliau memenangi satu daripada dua perlumbaan dalam acara siri Eurocup-3. Demi mencapai impiannya menjadi pemandu F1, Ho  berpindah ke Eropah ketika berusia 10 tahun dan sejak itu telah berjaya meraih beberapa pencapaian besar.
Pemandu Singapura Christian Ho di Litar Paul Ricard di Perancis, tempat beliau memenangi satu daripada dua perlumbaan dalam acara siri Eurocup-3. Demi mencapai impiannya menjadi pemandu F1, Ho berpindah ke Eropah ketika berusia 10 tahun dan sejak itu telah berjaya meraih beberapa pencapaian besar. - Foto FOTO CAR

Sedang kehangatan Grand Prix Singapura Singapore Airlines dari 20 hingga 22 September kian terasa, ada satu lagi perkara yang boleh dirai rakyat Singapura – pencapaian pemandu warga negara ini, Christian Ho.

Pemandu berusia 17 tahun itu sedang mengorak langkah penting untuk mencapai impiannya berlumba dalam Formula Satu (F1) dengan berjaya mara ke Formula 3 (F3) pada musim hadapan.

Ho, yang mengumumkan berita itu pada 16 September, akan menjadi warga Singapura pertama berlumba dalam F3, iaitu dua anak tangga di bawah F1 dalam laluan global Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Laluan itu membolehkan pemandu muda dan berbakat menyertai perlumbaan daripada go-kart ke kemuncak sukan itu, F1.

Butiran mengenai pasukan F3 yang beliau akan sertai akan diumumkan kelak, lapor The Straits Times.

Musim F3 biasanya berlangsung di luar litar F1, termasuk di beberapa tempat ikonik, seperti Silverstone England, litar jalanan Monaco dan Red Bull Ring di Austria.

Ho mara daripada siri Eurocup-3, yang berperanan sebagai batu loncatan untuk pemandu antara F4 dengan F3.

Juara dunia tiga kali, Max Verstappen daripada Red Bull, dan pemenang Grand Prix Azerbaijian pada 15 September, Oscar Piastri daripada McLaren, yang juga juara F3 pada 2020, adalah contoh bintang F1 yang melalui perlumbaan F3.

“Saya sangat teruja mendapat tempat dalam F3 tahun depan. Saya telah belajar banyak daripada bersaing dalam F4 dan Eurocup-3. Pengalaman itu akan membantu saya sedang saya menyahut cabaran baru ini.

“Ia bukan satu perjalanan mudah, terutama kerana saya berada jauh daripada keluarga, dan perlu mengimbangi antara belajar dengan perlumbaan pada masa sama,” ujar Ho.

Sebagai pemandu baru bersama pasukan Campos Racing  semasa musim Eurocup-3, Ho menduduki tempat kedua dalam kalangan 32 dalam kedudukan pemandu dengan 164 mata selepas enam pusingan.

Pemandu Sepanyol, Javier Sagrera, berada di tempat pertama dengan 192 mata.

Setiap pusingan mempunyai dua perlumbaan kecuali acara Portimao dari 7 hingga 9 Jun di Portugal, yang mempunyai tiga perlumbaan.

Pemandu Singapura itu memenangi tiga perlumbaan dan berjaya menaiki podium enam kali setakat ini.

Dengan baki dua lagi pusingan musim ini, Campos Racing berada di tempat kedua dalam kedudukan pasukan, dengan 328 mata dan 88 mata di belakang MP Motorsport.

Walaupun mengakui tidak mudah memenangi perlumbaan F3, Ho ingin sekali menyahut cabaran baru itu.

“F3 akan menjadi satu perlumbaan baru dengan pemandu lebih baik, lebih pantas. Walaupun ia lebih sukar, saya tahu saya boleh berjaya.

“Saya bersedia belajar, bersedia maju ke peringkat seterusnya dan terus menjadi lebih baik,” katanya.

Untuk mencapai impiannya menjadi pemandu F1, Ho berpindah ke Eropah ketika berusia 10 tahun dan sejak itu telah berjaya meraih beberapa pencapaian besar, termasuk menjadi pemandu pertama Asia memenangi perlumbaan dalam siri Kejohanan Karting Jerman Deutsche Kart Meisterschaft (DKM).

Siri karting itu adalah antara kejohanan terbesar di Eropah.

Juara sebelum ini termasuk legenda F1, Michael Schumacher, dan juara dunia empat kali, Sebastian Vettel.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg