Selepas berehat selama dua minggu bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa, Liga Perdana Singapura (SPL) kembali dengan pertembungan yang cukup menarik apabila dua pasukan teratas, Geylang International dan Lion City Sailors, bertemu di Stadium Jalan Besar pada 22 November.

Dengan hanya satu mata memisahkan dua pasukan itu, pertemuan ini berpotensi mengubah kedudukan di puncak liga.

Geylang kini mendahului dengan 14 mata daripada enam perlawanan, manakala juara bertahan Sailors mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan, dengan satu perlawanan dalam tangan.

Di bawah bimbingan Noor Ali, Geylang telah menunjukkan perubahan ketara berbanding musim lalu, khususnya dari segi kestabilan pertahanan.

Mereka belum tewas selepas enam perlawanan, dengan empat kemenangan dan dua keputusan seri.

Lebih mengagumkan, Geylang hanya dibolosi dua gol dan mencatat empat perlawanan tanpa bolos – jumlah yang sudah menyamai rekod tanpa bolos mereka sepanjang 21 perlawanan musim lalu.

Penjaga gol Geylang International, Milos Cupic (tengah), cemerlang mengawal gawang dengan mencatat empat perlawanan tanpa bolos setakat ini, termasuk ketika mengikat Tampines Rovers 0-0.
Penjaga gol Geylang International, Milos Cupic (tengah), cemerlang mengawal gawang dengan mencatat empat perlawanan tanpa bolos setakat ini, termasuk ketika mengikat Tampines Rovers 0-0. - Foto FAS

Antara sebab benteng Geylang begitu kukuh sekarang adalah penyertaan penjaga gol Serbia, Milos Cupic.

Cupic, yang menyertai Geylang selepas membantu kelab Filipina, One Taguig, memenangi Anugerah Sarung Tangan Emas dengan 12 perlawanan tanpa bolos daripada 22 penampilan, telah menjadi antara tonggak utama kebangkitan tersebut.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu turut memainkan peranan penting ketika Geylang menamatkan rekod kemenangan 100 peratus Tampines Rovers menerusi keputusan seri 0-0 pada 1 November, dengan beberapa aksi penting untuk menafikan Hide Higashikawa dan Faris Ramli.

“Saya mengambil tugas saya (sebagai penjaga gawang) dengan serius. Tidak ada gunanya jika kami menjaringkan lima gol tetapi dibolosi enam,” kata Cupic.

Benteng Geylang diperkukuhkan lagi dengan kehadiran kapten pasukan, Joshua Pereira, yang baru menerima panggilan semula skuad Singa untuk menentang Brazil dan Paraguay.

Beliau menekankan bahawa musim masih awal, tetapi apa yang menjadi perbezaan musim ini adalah keyakinan yang dirasakan oleh seluruh pasukannya.

“Saya rasa perkara paling penting, ialah kepercayaan bahawa kami boleh menang dan mendapatkan keputusan yang baik menentang sesiapa sahaja,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Namun, Geylang bakal berdepan ujian paling sukar setakat ini apabila menentang Sailors yang sudah menjaringkan 20 gol dalam hanya lima perlawanan liga.

Pemain sayap baharu Lion City Sailors, Matthias Phaeton (kiri), semakin menemui rentak dalam jentera serangan juara bertahan itu menjelang aksi menentang Geylang International pada 22 November.
Pemain sayap baharu Lion City Sailors, Matthias Phaeton (kiri), semakin menemui rentak dalam jentera serangan juara bertahan itu menjelang aksi menentang Geylang International pada 22 November. - Foto FAS

Barisan serangan pasukan pimpinan ketua jurulatih Mark Jackson mempunyai pelbagai pilihan, termasuk Shawal Anuar, Ilhan Fandi, Bart Ramselaar, Lennart Thy, Antonio Mance dan Matthias Phaeton.

Selepas mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan Jackson pada awal musim, Sailors kini semakin menemui rentak.

Dengan 20 gol dijaringkan dan hanya tiga dibolosi dalam liga, Sailors mempunyai keseimbangan yang baik antara kekuatan serangan dan pertahanan.

Mereka juga berpeluang merampas kedudukan teratas sekiranya berjaya mengatasi Geylang.

Satu lagi perkara menarik ialah pertemuan Shawal Anuar dengan bekas jurulatihnya, Noor Ali.

Shawal mengakui Geylang kini merupakan pasukan yang berbeza berbanding musim lalu.

“Mereka sememangnya pasukan yang berbeza sekarang. Mereka berada dalam prestasi terbaik dan lebih tersusun, jadi ini pastinya satu cabaran buat kami,

“Namun, kami juga mempunyai penyerang baharu yang tajam dan meyakinkan, dan kami bersedia untuk perlawanan yang sengit,” katanya.

Perlawanan kali ini merupakan pertembungan menarik antara pertahanan paling kukuh dengan serangan paling produktif dalam liga.

Geylang sudah membuktikan mereka mampu bertahan dan mengutip mata menentang pasukan besar.

Namun, berdepan serangan Sailors yang mempunyai begitu banyak pilihan, mereka mungkin perlu mempamerkan persembahan pertahanan terbaik musim ini.