Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, Neymar dan Sadio Mane.

Senarai bakat bertaraf dunia yang memilih untuk beraksi dalam Liga Pro Arab Saudi semakin meningkat saban tahun.

Namun, adakah kehadiran pemenang Liga Juara-Juara Eropah dan Ballon d’Or ini akhirnya memberi manfaat kepada negara yang telah dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034 itu?

Selama bertahun-tahun, pasukan kebangsaan Arab Saudi bergelut di pentas dunia.

Pada Piala Dunia 2002 di Jepun, mereka mengalami kekalahan memalukan 8-0 di tangan Jerman dalam perlawanan pertama.

Pasukan Saudi tersingkir daripada kejohanan tanpa meraih satu mata atau menjaringkan satu gol pun. 

Walau bagaimanapun, prestasi skuad Saudi semakin meningkat sejak Liga Pro Saudi mula melaburkan wang untuk menarik nama-nama besar, sebagaimana yang dilaporkan BBC dan agensi berita lain.

Di Russia pada 2018, Arab Saudi menewaskan Mesir yang dibarisi bekas bintang Liverpool, Mohamed Salah, 2-1 hasil gol kemenangan lewat permainan oleh Salem al-Dawsari.

Empat tahun kemudian di Qatar, mereka mengejutkan dunia dengan menewaskan Argentina dalam perlawanan pembukaan, dengan Al-Dawsari sekali lagi muncul penjaring gol kemenangan bersejarah itu.

Pada Isnin, mereka memulakan penampilan ketujuh di Piala Dunia 2026 ini dengan keputusan memberangsangkan – seri 1-1 dalam perlawanan pembukaan yang sengit menentang antara pasukan gagah Amerika Selatan, Uruguay, di Miami.

Adakah episod kekalahan memalukan di Piala Dunia 2002 bagi Arab Saudi di pentas dunia sudah menjadi sejarah silam?

“Kami perlu mengajar pemain muda di sini tentang apa yang diperlukan supaya mereka boleh berhijrah ke kelab lain,” kata bekas bintang Perancis, Benzema, selepas menyertai juara Arab Saudi, Al-Ittihad, pada 2023.

“Ia liga yang bagus dan terdapat ramai pemain yang bermutu.”

Dengan pengecualian pemain pertahanan, Saud Abdulhamid, yang beraksi di Perancis bersama Lens, kesebelasan utama yang menentang Uruguay kesemuanya beraksi dalam liga domestik Arab Saudi.

Pasukan itu, yang diberi julukan, Green Falcons, dibentuk menerusi gabungan pemain muda dan berpengalaman.

Al-Dawsari, 34 tahun, yang merupakan kapten pasukan kebangsaan, kini tampil di edisi Piala Dunia ketiganya.

Beliau penjaring gol dalam edisi 2018 dan 2022.

Bintang veteran dan kapten, Salem al-Dawsari, kekal menjadi pemain harapan pasukan Arab Saudi yang berharap terus menunjukkan peningkatan di Piala Dunia 2026. Piala Dunia ini adalah edisi ketiga bagi al-Dawsari.
Bintang veteran dan kapten, Salem al-Dawsari, kekal menjadi pemain harapan pasukan Arab Saudi yang berharap terus menunjukkan peningkatan di Piala Dunia 2026. Piala Dunia ini adalah edisi ketiga bagi al-Dawsari. - Foto AFP

Musab al-Juwayr merupakan pemain muda berbakat yang membuktikan nilainya kepada pasukan semasa kelayakan dengan mencatatkan bantuan jaringan terbanyak.

Pemain berusia 22 tahun itu dijangka menjadi tonggak utama pasukan pada masa hadapan, manakala Abdulelah al-Amri, yang menjaringkan gol menentang Uruguay, dan Abdullah al-Khaibari, merupakan rakan sepasukan Ronaldo di Al-Nassr.

“Liga Saudi lebih baik daripada MLS (Major League Soccer di Amerika Utara),” kata Ronaldo selepas berpindah ke Arab Saudi pada 2023. Beliau baru-baru ini menjaringkan gol ke-100 dalam Liga Pro Saudi.

Al-Amri menjadi pemain pertahanan pertama yang menjaringkan gol untuk Arab Saudi di Piala Dunia, dengan jaringannya itu juga menjadi gol pertama negara tersebut yang terhasil daripada sepakan sudut dalam kejohanan itu.

Satu-satunya gol antarabangsa beliau sebelum ini dijaringkan dalam perlawanan pertama menyarung jersi Arab Saudi – semasa perlawanan persahabatan menentang Kuwait pada Mac 2021.

Perlawanan menentang Uruguay menandakan kali pertama Arab Saudi membuka tirai jaringan dalam perlawanan Piala Dunia sejak kemenangan 1-0 ke atas Belgium pada 1994.

Mereka tidak pernah menjaringkan gol pembukaan dalam 16 perlawanan sebelum ini dalam kejohanan tersebut.

Lebih £700 juta ($1.2 bilion) telah dibelanjakan oleh kelab-kelab Saudi untuk membawa masuk pemain seperti Neymar, Benzema, dan bekas pemain sayap Manchester City dan Leicester City, Riyad Mahrez, yang menyertai Ronaldo di negara bola sepak yang sangat bercita-cita tinggi itu tiga tahun lalu.

Mane juga berpindah ke Arab Saudi pada 2023.

“Saya boleh katakan Liga Saudi adalah liga yang baik dan ditonton oleh semua orang di dunia,” kata bekas penyerang Liverpool dari Senegal itu.

“Jadi, bagi saya, selagi saya memberikan yang terbaik dan menikmati setiap minit, itu lebih penting.”

Wang masih terus mengalir dengan pengambilan pemain luar negara, tetapi berbanding kemuncak pada 2023, kini terdapat lebih banyak tumpuan untuk membawa masuk pemain yang lebih muda dengan potensi nilai jualan semula.

Menurut sumber di Riyadh, dana masih tersedia untuk mendapatkan bintang veteran yang masih boleh mencetus kesan positif, seperti Salah.

Bintang Mesir itu, yang telah meninggalkan Liverpool, kini menjadi sasaran Al-Ittihad.

Dalam pada itu, menjelang perlawanan dengan Sepanyol pada tengah malam 22 Jun, Saudi – yang melantik ketua jurulatih baru hanya 59 hari sebelum Piala Dunia ini – terbuka mengambil risiko besar.

Mereka telah memecat Herve Renard, jurulatih yang merancang kemenangan sensasi ke atas Argentina empat tahun lalu, dan membawa masuk jurulatih asal Greece, Georgios Donis, sebagai penggantinya.

Menentang Uruguay, mereka hampir meraih kemenangan yang cemerlang sebelum Maxi Araujo, menyamakan kedudukan pada minit ke-80.

“Arab Saudi pasti kecewa kerana gawang dibolosi memandangkan dari segi pertahanan mereka sangat padu dari aspek permainan, formasi dan menutup ruang bagi pasukan lawan merintis peluang,” kata bekas pertahanan Scotland, Rachel Corsie, di BBC Radio 5 Live

Sepanyol, yang diikat seri oleh Cape Verde dalam perlawanan pembukaan, pastinya memburu kemenangan dan dijangka mengasak kubu Saudi dari wisel pertama.

Namun, asakan bertubi-tubi yang dijangka itu juga boleh memberi manfaat kepada Donis dan anak didiknya, yang boleh mengambil kesempatan ruang yang lebih terbuka untuk melancarkan serangan balas kilat dan mencatatkan satu lagi keputusan sensasi.

Kata orang, bola itu bulat, jadi usah terkejut jika barisan pemain Arab Saudi – yang kini lebih berpengalaman dan lebih matang seiringan liga profesional setempat yang kian berdaya saing – mengatasi saingan peringkat kumpulan di Piala Dunia kali ini.