Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerajaan Argentina halang 13,000 penyokong sendiri hadiri Piala Dunia 2026
Kerajaan Argentina halang 13,000 penyokong sendiri hadiri Piala Dunia 2026
Kerajaan Argentina halang 13,000 penyokong sendiri hadiri Piala Dunia 2026
BUENOS AIRES: Kerajaan Argentina dilaporkan meminta pihak berkuasa Amerika Syarikat menghalang sekitar 13,000 penyokong mereka sendiri daripada menghadiri perlawanan Piala Dunia 2026.
Argentina hadir ke kejohanan sebagai juara bertahan dan dianggap antara pasukan pilihan untuk menjulang trofi sekali lagi.
Skuad kendalian Lionel Scaloni mengetuai Kumpulan J dan dijadualkan membuka kempen menentang Algeria di Kansas City, pada 17 Jun.
Mereka turut berdepan Austria dan Jordan untuk memburu tempat ke pusingan kalah mati.
Tumpuan dunia dijangka terarah kepada Argentina, tetapi kerajaan negara itu mahu memastikan sebahagian penyokong tidak dibenarkan melakukan perjalanan untuk menyaksikan aksi berkenaan.
Menurut laporan media, pihak berkuasa Argentina menyerahkan senarai kepada Amerika yang mengandungi kira-kira 13,000 penyokong terdiri daripada kalangan ibu bapa yang gagal melunaskan bayaran nafkah anak.
Kerajaan berpendapat individu yang gagal memenuhi tanggungjawab kewangan terhadap anak-anak mereka tidak sepatutnya dibenarkan menghadiri Piala Dunia.
Datuk Bandar Buenos Aires, Jorge Macri berkata: “Jika mereka tidak menyara anak-anak mereka, mereka tidak akan dibenarkan masuk ke stadium.”
Tindakan tegas itu berpunca daripada inisiatif kerajaan dikenali sebagai ‘Safe Stands’, yang bertujuan mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang masih mampu membiayai kehadiran ke acara sukan tetapi mengabaikan keperluan asas anak-anak mereka.
Difahamkan senarai diberikan kepada pihak Amerika turut merangkumi individu yang mempunyai tunggakan nafkah dan sebelum ini dikenal pasti oleh mahkamah Argentina sebagai gagal membuat bayaran mengikut ketetapan.
Sejak program ‘Safe Stands’ diperluaskan pada 2023, inisiatif itu mendapat sokongan meluas dalam masyarakat Argentina.
Statistik rasmi mendakwa lebih empat juta penonton diperiksa sepanjang 1,328 perlawanan bola sepak.
Dalam tempoh itu, 1,166 individu dengan waran tangkap tertunggak dikenal pasti dan puluhan larangan pentadbiran dikenakan.
Selain individu yang mempunyai tunggakan nafkah, senarai lebih besar itu turut merangkumi mereka yang mempunyai rekod jenayah ganas.
Menteri Keselamatan Negara Argentina, Patricia Bullrich berkata: “Senarai itu mengandungi lebih 15,000 individu yang akan dilarang memasuki stadium.
“Bagi kami, ini sangat penting kerana tiada individu ganas atau mereka yang melakukan jenayah di stadium Argentina akan dibenarkan menghadiri acara sukan ini.” – Agensi berita.
