Topik diikuti
Pergi ke BHkuBerbilion dolar dicurah ke Liga Saudi berbaloi akhirnya?
Berbilion dolar dicurah ke Liga Saudi berbaloi akhirnya?
Hampir semua pemain Arab Saudi di Piala Dunia 2026 beraksi dalam liga domestik dan pasukan pimpinan Georgios Donis itu nyaris mencatat kemenangan ke atas Uruguay dalam perlawanan pertama, berbekal permainan kemas dan kemahiran teknikal tinggi. Adakah pelaburan berbilion dolar untuk memikat bintang dunia ke negara itu mula menunjukkan hasil?
Berbilion dolar dicurah ke Liga Saudi berbaloi akhirnya?
Cristiano Ronaldo. Karim Benzema. Neymar. Sadio Mane.
Senarai bakat bertaraf dunia yang memilih untuk beraksi dalam Liga Pro Saudi semakin meningkat saban tahu
Namun, adakah kehadiran pemenang Liga Juara-Juara Eropah dan Ballon d’Or ini akhirnya memberi manfaat kepada negara yang telah dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034 itu?
Selama bertahun-tahun, pasukan kebangsaan Arab Saudi bergelut di pentas dunia
Pada Piala Dunia 2002 di Jepun, mereka mengalami kekalahan memalukan 8-0 di tangan Jerman dalam perlawanan pertama.. Mereka tersingkir daripada kejohanan tanpa meraih satu mata atau menjaringkan gol pun.
Walau bagaimanapun, prestasi pasukan kebangsaan Saudi semakin meningkat sejak Liga Pro Saudi mula melaburkan wang untuk menarik nama-nama besar, sebagaimana yang dilaporkan BBC dan agensi berita lain.
Di Rusia pada 2018, Arab Saudi menewaskan pasukan Mesir yang dibarisi Mohamed Salah 2-1 hasil jaringan kemenangan lewat permainan oleh Salem al-Dawsari.
Empat tahun kemudian di Qatar, mereka mengejutkan dunia dengan menewaskan Argentina dalam perlawanan pembukaan, dengan Al-Dawsari sekali lagi menjadi penjaring gol kemenangan yang ikonik itu.
Pada Isnin, mereka memulakan penampilan ketujuh di Piala Dunia dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanann yang sengit dengan Uruguay di Miami.
Adakah episod kekalahan 8-0 bagi Arab Saudi di pentas dunia sudah menjadi sejarah silam?
“Kami perlu mengajar pemain muda di sini tentang apa yang diperlukan supaya mereka boleh berhijrah ke kelab lain,” kata Benzema selepas menyertai juara Arab Saudi, Al-Ittihad, pada 2023.
“Ia liga yang bagus dan terdapat ramai pemain yang berkualiti.”
Dengan pengecualian pertahanan Saud Abdulhamid yang beraksi di Perancis bersama Lens, kesebelasan utama yang menentang Uruguay kesemuanya beraksi di liga domestik Arab Saudi.
Pasukan itu, yang diberi julukan Green Falcons, dibentuk menerusi gabungan pemain muda dan berpengalaman.
Al-Dawsari, 34 tahun, yang merupakan kapten pasukan kebangsaan, sedang beraksi dalam Piala Dunia ketiganya. Beliau penjaring gol dalam edisi 2018 dan 2022.
Musab al-Juwayr merupakan pemain muda berbakat yang membuktikan nilainya kepada pasukan semasa kelayakan dengan mencatatkan bantuan jaringan terbanyak yang mencetus tiga gol.
Pemain berusia 22 tahun itu diramal menjadi tonggak utama pasukan pada masa hadapan, manakala Abdulelah al-Amri, yang menjaringkan gol menentang Uruguay, dan Abdullah al-Khaibari merupakan rakan sepasukan Ronaldo di Al-Nassr.
“Liga Saudi lebih baik daripada MLS (Major League Soccer di Amerika Utara),” kata Ronaldo selepas berpindah ke Arab Saudi pada 2023. Beliau baru-baru ini menjaringkan gol ke-100 dalam Liga Pro Saudi.
Al-Amri menjadi pemain pertahanan pertama yang menjaringkan gol untuk Arab Saudi di Piala Dunia, dengan jaringannya itu juga menjadi gol pertama negara tersebut yang terhasil daripada sepakan sudut dalam kejohanan itu.
Satu-satunya gol antarabangsa beliau sebelum ini dijaringkan dalam perlawanan pertama menyarung jersi nasional, iaitu dalam perlawanan persahabatan menentang Kuwait pada Mac 2021.
Perlawanan menentang Uruguay menandakan kali pertama Arab Saudi membuka tirai jaringan dalam perlawanan Piala Dunia sejak kemenangan 1-0 ke atas Belgium pada 1994. Mereka tidak pernah menjaringkan gol pembukaan dalam 16 perlawanan sebelum ini dalam kejohanan tersebut.
Lebih £700 juta ($1.2 bilion) telah dibelanjakan oleh kelab-kelab Saudi untuk membawa masuk pemain seperti Neymar, Benzema, dan bekas pemain sayap Manchester City dan Leicester City, Riyad Mahrez, yang menyertai Ronaldo di negara bola sepak yang sangat bercita-cita tinggi itu tiga tahun lalu.
Mane juga berpindah ke Arab Saudi pada 2023.
“Nasib baik, saya boleh katakan Liga Saudi adalah liga yang sangat bagus dan ditonton oleh semua orang di dunia,” kata bekas penyerang Liverpool dari Senegal itu.
“Jadi, bagi saya, selagi saya memberikan yang terbaik dan menikmati setiap minit, itu lebih penting.”
Wang masih terus mengalir dengan pengambilan pemain luar negara, tetapi berbanding kemuncak pada 2023, kini terdapat lebih banyak tumpuan untuk membawa masuk pemain yang lebih muda dengan potensi nilai jualan semula.
Menurut sumber di Riyadh, dana masih tersedia untuk mendapatkan bintang veteran yang masih boleh mencetus impak positif, seperti Mohamed Salah.
Pemain Mesir itu, yang telah meninggalkan Liverpool, kini dalam buruan Al-Ittihad.
Dalam pada itu, menjelang perlawanan dengan Sepanyol pada tengah malam 22 Jun, Saudi yang melantik ketua jurulatih baru hanya 59 hari sebelum menentang Uruguay merupakan pertaruhan yang besar
Arab Saudi memecat Herve Renard, individu yang merancang kemenangan terkenal ke atas Argentina empat tahun lalu, dan membawa masuk jurulatih Greece, Georgios Donis, sebagai penggantinya.
Menentang Uruguay, mereka hampir meraih kemenangan yang cemerlang sebelum Maxi Araujo menyamakan kedudukan pada minit ke-80
.“Arab Saudi pasti kecewa kerana mereka bolos, memandangkan dari segi pertahanan mereka sangat padu dari aspek jarak, formasi, dan antara barisan,” kata bekas pertahanan Scotland, Rachel Corsie, di BBC Radio 5 Live.
Sepanyol, yang diikat seri oleh Cabo Verde dalam perlawanan pembukaan masing-masing kini memburu kemenangan pertama dan dijangka mengasak kubu Saudi dari wisel pertama.
Namun, asakan bertubi-tubi yang dijangka ini juga boleh memberi manfaat kepada Donis dan anak didiknya, yang boleh mengambil kesempatan ruang yang lebih terdedah untuk menjaringkan gol dan mencatat keputusan menjolok mata sekali lagi.
