Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berdepan prestasi turun-naik, Kean Yew anggap setiap pertarungan sebagai final

May 27, 2024 | 6:05 PM
(Dari kiri) Pemain Singapura, Jessica Tan, Terry Hee, Loh Kean Yew dan Yeo Jia Min, berkongsi persiapan mereka menjelang Terbuka Badminton Singapura KFF, yang berlangsung dari 28 Mei hingga 2 Jun di Stadium Tertutup Singapura, semasa satu sidang media pada 27 Mei.
(Dari kiri) Pemain Singapura, Jessica Tan, Terry Hee, Loh Kean Yew dan Yeo Jia Min, berkongsi persiapan mereka menjelang Terbuka Badminton Singapura KFF, yang berlangsung dari 28 Mei hingga 2 Jun di Stadium Tertutup Singapura, semasa satu sidang media pada 27 Mei. - Foto BH oleh KHALID BABA

Setiap perlawanan dianggap sebagai final, kata pemain nombor 12 dunia Singapura, Loh Kean Yew, ketika beliau bersiap sedia untuk berdepan pemain yang menduduki ranking dunia ke-19 dari China, Lu Guangzu, dalam pusingan pertama perseorangan lelaki Terbuka Badminton Singapura KFF yang berlangsung dari 28 Mei hingga 2 Jun di Stadium Tertutup Singapura.

Loh, 26 tahun, mengalami musim naik-turun sedang beliau bergelut dengan kecederaan bahu kanan dan jangkaan tinggi.

Beliau mara ke final Masters Thailand pada Februari dan memenangi Masters Madrid di Sepanyol pada bulan berikutnya, tetapi juga kalah 10 daripada 25 perlawanannya.

Selepas menamatkan kemarau kejuaraan selama 833 hari sejak memenangi Kejohanan Dunia 2021, Loh tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Masters Malaysia yang turut menyaksikannya tumbang lima kali pada halangan pertama dalam 10 kejohanan yang disertainya musim ini.

Meskipun dibebani tekanan untuk memaparkan persembahan meyakinkan menjelang Sukan Olimpik di Paris pada 26 Julai hingga 11 Ogos, Loh kekal positif, dengan ukiran senyuman dan gelak tawa semasa sidang media Terbuka Badminton Singapura KFF pada 27 Mei.

Ditanya Berita Harian (BH) sama ada beliau menetapkan mana-mana persiapan “istimewa” untuk elak tersingkir awal di depan penyokong sendiri, Loh berkata: “Anda tidak boleh membuat lebih banyak persiapan semata-mata anda kalah atau menang. 

“Pastinya, anda boleh mempersiapkan diri secara mental dengan lebih baik lagi. Tetapi, dari segi latihan, masa yang kami miliki setiap hari adalah terhad dan keupayaan badan kami untuk berlatih juga ada hadnya.”

Prestasi Loh menentang Lu dan dalam edisi Terbuka Singapura sebelum ini akan memberikannya sedikit keyakinan. Loh telah mengalahkan Lu dalam pertemuan mereka sebelum ini.

Pada 2022, Loh mara ke separuh akhir Terbuka Singapura sebelum tewas kepada juara Indonesia, Anthony Ginting. Loh kemudian mengalami kekalahan mengejut kepada pemain Perancis, Christo Popov, pada pusingan 16 pemain terakhir dalam edisi 2023.

“Pada akhirnya, apa yang penting adalah bagaimana kami beraksi semasa hari perlawanan dan saya berharap dapat menunjukkan prestasi terbaik. Saya akan tetap menganggap setiap perlawanan seperti final,” tambah Loh.

Sekiranya beliau melepasi halangan pembukaan itu, Loh dijangka bertemu pemain nombor empat dunia, Anders Antonsen, dari Denmark pada pusingan kelompok 16 pemain terbaik, dan juara Sukan Asia dan pemain nombor enam dunia dari China, Li Shifeng, di suku akhir.

Bakal lawan separuh akhirnya termasuk pemenang Olimpik dan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen, dan juara bertahan dua kali Terbuka Singapura, Ginting, pemain nombor tujuh dunia.

Ginting, 27 tahun, pula berdepan laluan sukar untuk mempertahankan gelarannya. Beliau akan bertemu pemain nombor 10 dunia dari Malaysia, Lee Zii Jia, dalam pusingan pertama.

“Lawan pertama saya benar-benar sukar dan Lee telah meraih keputusan baik dalam dua kejohanan sebelum ini. Saya tidak ingin terlalu memikirkan tentang perlawanan dan mahu fokus pada persiapan saya sendiri untuk mendapat keputusan yang diinginkan,” kata Ginting kepada BH

Sementara itu, wakil Singapura yang lain dalam acara BWF Super 750 itu, yang menawarkan hadiah tunai AS$850,000 ($1.15 juta), berharap sokongan tempatan dapat membantu mereka mencapai kejayaan di tempat sendiri.

Dalam perseorangan wanita, pemain nombor 18 dunia, Yeo Jia Min, kembali daripada kecederaan tumit untuk menentang pemain nombor lapan dunia dari China, He Bingjiao, yang belum tewas dalam empat pertemuan terakhir mereka.

“Terbuka Singapura adalah kejohanan bermakna buat saya dan amat dinanti-nantikan setiap tahun. Beraksi di depan keluarga dan teman, saya bersemangat mahu beraksi dengan cemerlang,” kata Yeo, 25 tahun.

Dalam beregu campuran, pasangan suami-isteri nombor 17 dunia, Terry Hee dan Jessica Tan, berharap rehat selama enam minggu mereka selepas Kejohanan Asia dapat memberi kelebihan apabila menentang juara dunia Korea Selatan, Seo Seung-jae dan Chae Yu-jung, yang telah memenangi tiga pertemuan mereka sebelum ini.

Walaupun mengakui rasa gementar beraksi di depan penyokong sendiri, Tan, 30 tahun, tekad untuk memberi persembahan terbaik bersama Hee, 28 tahun.

Tan berkata: “Kami tahu semua orang di stadium akan menyokong kami dan ingin kami beraksi dengan baik... sesuatu yang boleh meningkatkan tekanan. Tetapi, kami menerima cabaran itu dengan tangan terbuka.”

Tan dan Hee juga disahkan telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris oleh BWF pada 27 Mei, menjadikan mereka regu campuran tempatan pertama untuk bersaing dalam temasya sukan besar itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg