Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SILAT

Beri sumbangan kepada masyarakat selepas bersara daripada silat

Mar 18, 2019 | 05:30 AM



SEJAK hari pertama beliau menjejakkan kaki ke dalam gelanggang latihan skuad pencak silat negara, perjalanannya sebagai pendekar negara bukanlah sesuatu yang mudah.



Bengkak dan lebam-lebam menjadi perkara lumrah bagi setiap pesilat negara, terutama bagi dirinya.



Tekad mahu menjadi antara yang terbaik, Muhammad Shakir Juanda terpaksa menahan segala kesakitan agar dapat bangkit membuktikan keupayaan beliau.



Ujian demi ujian yang dilalui, namun pesilat Singapura itu tetap tabah mengharunginya.



Pandangannya terhadap sukan seni mempertahankan diri itu berubah sepenuhnya apabila menjadi anak didik kepada pesilat yang memegang gelaran empat juara dunia - dua dalam Kejohanan Pencak Silat Sedunia dan dua lagi dalam Kejohanan Terbuka Antarabangsa - selain tiga pingat emas Sukan SEA, Sheik Alau'ddin Yacoob Marican.



Tiap latihan bagaikan pertarungan akhir...Sheik Alau'ddin tidak memberi muka kepada Shakir yang ketika itu baru berusia sekitar 17 tahun dan masih bertanding dalam Kelas C (55-60 kilogram).



"Bayangkan saya yang waktu itu bersaiz sederhana terpaksa berdepan dengan beliau yang besar dan tinggi sewaktu sesi sparring.



"Memang beliau tidak kasi peluang. Beliau membuat sapuan, habis tersungkur saya di gelanggang.



"Setiap kali habis latihan, saya pulang dengan bengkak dan lebam baru," seloroh Shakir, terkenangnya akan waktu itu.



Tidak tahan 'dibelasah' habis-habisan, Shakir pernah pulang dengan air mata berlinangan, mengadu kepada bapanya tentang apa yang telah dilalui sewaktu latihan.



Namun apa yang dilakukan bapanya seterusnya, bukanlah apa yang disangkakan beliau.



Bukan aduan yang dibuat, sebaliknya bapanya memuji cara Sheik Alau'ddin melatih anak bongsunya itu.



Terbukti cara Sheik Alau'ddin, yang waktu itu merupakan pengarah teknikal Persatuan Silat Singapura (Persisi), mengendalikan latihan tersebut membawa hasil.



Dua gelaran juara dunia (2007 dan 2012) dan 13 gelaran juara nasional menjadi antara kejuaraan yang berada dalam genggaman Shakir selepas hampir 15 tahun berkecimpung dalam sukan pencak silat sebagai atlit profesional.



Kecemerlangannya dalam silat juga telah membawa Shakir merantau ke pelbagai pelosok negara, termasuk Eropah, bagi menguji keupayaannya selain mengembangkan lagi sukan tersebut.



Tahun lalu, jaguh negara itu juga pernah menjuarai kejohanan Terbuka Belgium dan telah diiktiraf Anugerah Pesilat Lelaki Terbaik selepas mempamerkan prestasi cemerlang menewaskan tiga pencabar awal sebelum memenangi finalnya dengan keputusan 5-0.



LIHAT MASA DEPAN DI LUAR GELANGGANG



Namun usia pantas menjangkauinya dan keutamaan dirinya pun sudah berubah.



Baru-baru ini, Shakir, 31 tahun, telah mengumumkan persaraannya akhir bulan ini kepada wartawan Berita Harian, selepas kontrak Sokongan Biasiswa Kecemerlangan Sukan (Biasiswa Spex) yang diterimanya sejak 2013 tamat.



"Keputusan untuk bersara telah saya pertimbangkan sebelum Kejohanan Dunia tahun lalu. "Selepas sekian lama menjadikan silat sebagai kerjaya sepenuh masa saya, saya rasa sudah tiba masanya saya tumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting dalam hidup saya.



"Apabila anda sudah berkeluarga dengan dua orang cahaya mata yang masih kecil, kalau boleh anda mahu luangkan lebih banyak masa bersama mereka.



"Ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dibuat, tetapi setelah berfikir panjang dan mendapatkan pendapat keluarga serta rakan-rakan, terutama Abang Sheik, saya rasa saya bersedia memulakan bab baru dalam kehidupan saya," kata bapa kepada dua orang anak lelaki berusia empat dan dua tahun.



Shakir menambah bahawa beliau melihat peluang ini sebagai satu peluang untuk terus mengembangkan serta meningkatkan dirinya di luar pencak silat.



Sukan yang sudah sebati dengan dirinya tidak akan ditinggalkan sepenuhnya.



Meskipun masih menunggu tawaran bagi jawatan Pengurus Prestasi Sukan di Sport Singapore (SportSG), Shakir, yang mempunyai kelulusan Ijazah dalam Latihan Sukan dari Universiti Wolverhampton, menegaskan beliau masih akan tetap menyumbang kembali kepada masyarakat yang telah menyokongnya.



Masa lapang yang ada akan dihabiskan bersama Seni Grasio sebagai jurulatih sambilan.



"Sudah tentu saya tidak mahu hilang sentuhan saya terhadap silat, jadi saya akan tetap membantu dan menyumbang kembali apa yang saya pelajari selama ini kepada pesilat muda lain, dengan harapan mereka dapat mewakili negara seperti saya satu hari nanti," katanya lagi.



PAHIT MANIS DIKONGSI BERSAMA



Persahabatan yang terjalin ketika bersama skuad silat negara merupakan detik yang akan Shakir rindu selepas bersara nanti.



Dan sebagai salah seorang pesilat yang berpengalaman dalam pasukan negara, beliau juga tidak lokek ilmu dan sentiasa bersedia untuk membantu dan membimbing pesilat muda lain.



"Kami ada bersama ketika setiap detik pahit dan manis. Gembira, ketawa dan menangis bersama. Jadi kalau diikutkan memang berat hendak tinggalkan pasukan ini.



"Mereka boleh diibaratkan sebagai keluarga kedua saya," ujarnya.



Antara mereka yang mungkin akan merasakan kehilangan Shakir ialah tidak lain dan tidak bukan, Sheik Alau'ddin sendiri.



Perkembangan Shakir dalam sukan ini sejak kecil lagi telah disaksikannya dengan mata sendiri.



Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa akan tetap memberi sokongan penuh terhadap keputusan anak didiknya itu.



Sheik Alau'ddin berkata: "Shakir adalah seorang yang sangat berdisiplin dan menjadi 'role model' kepada pesilat muda lain.



"Sudah tentu, kalau boleh saya mahu beliau teruskan perjuangan ini bersama kami, mungkin hingga usianya 35 tahun.



"Beliau telah mengharungi kemenangan dan kekalahan dan yang penting menjadi kebanggaan negara.



"Saya telah melihat perkembangan beliau, dari tidak mempunyai pengetahuan tentang silat hingga menjadi juara dunia. Bagi saya itu merupakan satu kepuasan untuk diri saya.



"Kini beliau telah membuat keputusan untuk bersara dan saya hanya ingin mengucapkan yang terbaik baginya."




KERJAYA SHAKIR JUANDA



2012: Pingat Emas, Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-15 (Match Class I)



2013: Antara atlit negara pertama yang menerima Biasiswa Kecemerlangan Sukan (Spex) SportSG



2013: Pingat Gangsa, Sukan SEA (Match Class H)



2015: Pingat Gangsa, Sukan SEA. (Seni Ganda)



2015: Pingat Perak, Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-16 (Seni Ganda)



2015: Pingat Gangsa, Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-16, (Match Class H)



2015: Penerima Anugerah Belia Singapura, anugerah tertinggi negara yang mengiktiraf pencapaian cemerlang belia



2017: Pingat Perak, Sukan SEA. (Tanding Class I)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >