Pada usia dua tahun enam bulan, Arfan Faisal tidak mengayuh basikal untuk berseronok, tetapi berbasikal agar dapat bernafas dengan lebih baik.
Dilahirkan dengan lemak berlebihan yang menghalang saluran hidungnya, tangisannya boleh membuatnya pengsan.
Doktor menawarkan dua pilihan pada waktu itu, iaitu menunggu untuk menjalani pembedahan pada usia enam tahun atau menurunkan berat badan.
Bapanya, Encik Faisal Meskam, seorang pelumba basikal amatur, memilih pilihan kedua dan beliau memulakan kegiatan berbasikal bersama Arfan.
Kini pada usia 25 tahun, Arfan ingin mengharumkan nama Singapura dalam Sukan SEA di Thailand pada Disember nanti, sambil mencipta nama dalam dunia berbasikal.
Perlumbaan pertama Arfan seawal usia tiga tahun – sekadar kayuhan santai mengelilingi padang – namun itulah juga bermulanya perjalanan beliau dalam menyertai pertandingan lumba basikal.
Meskipun beliau tidak berapa ingat mengenai perlumbaan yang disertainya ketika kecil, beliau sering mendengar kisah daripada ibu bapanya.
“Saya pelumba yang termuda pada masa itu. Saya akhiri perlumbaan di tempat terakhir.
“Setelah tamat perlumbaan, saya lari ke ibu saya dan menangis,” katanya sambil ketawa.
“Tapi betul, memang dari kecil, sukan lumba basikal sudah sebati dalam hidup saya.”
Antara kenangan terawal yang beliau ingati dalam lumba basikal adalah ketika beliau hampir menang dalam satu acara yang disertainya pada usia lapan atau sembilan tahun, tetapi terjatuh sebelum sampai ke garis penamat.
Bagaimana pun, beliau bangkit semula dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Keputusan itu membuatnya menangis kerana terlalu kecewa tidak dapat menjadi juara.
Namun, pengalaman itu juga menyemai semangat juang yang terus membakar hingga kini.
Dari 2011 hingga 2015, Arfan juga pernah terlibat dalam sukan triatlon namun sejak 2016, beliau menumpukan sepenuhnya pada lumba basikal.
Pada usia 17 tahun, beliau menyertai pasukan kebangsaan dan terus aktif hingga ke hari ini.
Menurut Arfan, beliau antara termuda yang menyertai pasukan kebangsaan pada waktu itu, tetapi beliau menambah, pada hari ini, ia adalah sesuatu yang biasa untuk melihat atlet yang lebih muda berada dalam pasukan kebangsaan akibat sistem pembangunan atlet lumba basikal yang lebih baik.
Perjalanan lumba basikal bagi Arfan tidak semuanya berjalan dengan lancar.
Pandemik Covid-19 menjadi tempoh mencabar buat Arfan.
Antaranya apabila perlumbaan utamanya dibatalkan akibat sekatan Covid-19 dan beliau berasa kecewa kerana telah meluangkan banyak masa berlatih untuk perlumbaan tersebut.
Beliau terus berlatih untuk acara perlumbaan yang lain, tetapi beliau sekali lagi kecewa kerana prestasinya tidak memberangsangkan.
“Saya rasa saya telah berlatih dengan sangat gigih, tapi hasilnya tidak sepadan.
“Akhirnya, saya dinasihatkan untuk berehat daripada lumba basikal,” kata Arfan.
Beliau mengambil keputusan untuk berehat selama tiga minggu pada pertengahan 2020 dan itu membantunya untuk temui semula semangat dalam sukan itu.
Masa berehat itu memberi ruang bagi Arfan untuk menilai semula tujuan asalnya iaitu bukan sekadar mengejar keputusan, tetapi untuk menikmati pengalaman berbasikal.
Sejak itu, pendekatannya berubah.
Bersama pasukan baru pada 2021, metadorRACING dengan bimbingan jurulatihnya, Weiliang Chung, Arfan menemui keseimbangan antara prestasi dengan kesejahteraan mental.
“Jurulatih saya sangat memahami aspek sains sukan dan emosi serta motivasi atlet,” kata Arfan.
Arfan juga berkongsi bahawa Weiliang merupakan pengasas Podium Performance, syarikat yang menaja latihan Arfan.
Selain itu, sebagai pelajar di Universiti Nasional Singapura (NUS), mengimbangi sukan dan akademik bukan sesuatu yang mudah.
Sebelum ini, Arfan mengambil jurusan Ekonomi dan pernah menjadi Presiden Persatuan Pengajian Melayu tetapi beliau menukar jurusan utamanya selepas menyedari minat dan bakatnya lebih terserlah dalam jurusan Pengajian Melayu.
Beliau meluahkan perasaan terima kasihnya terhadap ibu bapanya yang sentiasa menyokong keputusan yang diambilnya.
Menuju ke kejohanan besar seperti Kejohanan Kebangsaan OCBC 2025 – Lumba Jalan Raya yang berlangsung dari 20 hingga 22 Jun di Bintan, Indonesia, Arfan menjalani latihan enam kali seminggu, dengan sesi intensif, berbasikal secara kumpulan dan latihan jarak jauh.
“Biasanya saya akan berlatih antara 15 hingga 20 jam seminggu, bergantung pada jadual kuliah,” katanya yang menetap di kampus untuk menjimatkan masa menempuh perjalanan dari tempat tinggalnya ke NUS dan memudahkan pengurusan jadual.
Kejohanan kebangsaan tersebut dianggap sebagai matlamat utama beliau, dengan tiga acara utama iaitu ujian masa individu 40 kilometer, perlumbaan selama sejam dan perlumbaan sejauh 120 kilometer.
“Saya sasarkan untuk menang,” katanya dengan yakin.
Dalam kategori elit lelaki, beliau dijangka bersaing dengan sekitar 20 hingga 30 pelumba dalam dua acara pertama dan lebih 100 pelumba dalam lumba jalan raya.
Kini Arfan menyasarkan untuk layak ke Sukan SEA hujung 2025, dengan kejohanan kebangsaan itu menjadi antara penentu kelayakan.
“Saya mahu teruskan berbasikal sehingga 2030.
“Kalau dapat sertai pasukan profesional, bagus. Kalau tidak, saya tetap akan jadi pelumba amatur berprestasi tinggi.
“Terus kayuh, terus berlumba dan yang paling penting terus menikmati setiap saat,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg