Misi “Journey to Tanah Haram” pelakon Amar Baharin dan penjelajah Grand Slam Negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, atau lebih dikenali sebagi Qobin, sampai ke penghujungnya, setelah mereka selamat tiba di Masjid Nabawi, Madinah, pada 10.45 pagi waktu Arab Saudi (3.45 petang waktu Singapura), pada 29 Mei.
Kedua-dua mereka tiba selepas berkayuh dari pekan akhir di Al Henakiyah pagi tadi sejauh 115 kilometer.
Qobin berkata mereka bersyukur kerana berjaya menamatkan pengembaraan itu dengan selamat, lapor agensi berita, yang ditukil Berita Harian Malaysia (BHM).
”Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana mengizinkan kami berdua menjejakkan kaki ke bumi Madinah dengan sebahagian besarnya berkayuh basikal, (menaiki) kenderaan darat dan udara.
“Kami berdua bukanlah mahu mencipta apa-apa rekod, kami hanya mahu mencapai impian bersama untuk berkayuh basikal dan mengembara dari tanah air ke bumi Madinah,” katanya dalam kenyataan kepada media pada 29 Mei.
Sementara itu, Amar menyifatkan pengembaraan itu sebagai perjalanan ‘epik’ buat dirinya yang amat mencabar mental serta fizikal termasuklah terpaksa mengharungi cuaca panas dengan suhu mencecah 50 darjah Celsius.
“Perasaan saya amat terharu, tergamam dan tak sangka boleh sampai ke Madinah dengan mengembara melalui jalan darat menggunakan basikal sebagai kenderaan utama. Kami berdua tak sabar untuk ke Masjid Nabawi untuk ziarah Makam Rasulullah,” katanya.
Dilepaskan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dari Padang Besar, Perlis pada 27 April lalu, pengembaraan Amar dan Qobin merentasi empat negara mengambil masa 33 hari.
“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat Allah permudahkan perjalanan kami. Terharu, saya sambil kayuh bergenang air mata bila nampak bumbung Masjid Nabawi.
“Masih tak percaya saya mengembara dengan berbasikal (kenderaan utama) dari Malaysia ke Madinah. Satu pengalaman bernilai dalam hidup pada usia mencecah 40 tahun.
“Rindu sangat nak jejak kaki ke Tanah Haram selepas kali terakhir kira-kira enam tahun lalu,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) pula.
Menurut Ammar, misi JourneyToTanahHaram berjaya diselesaikan lebih awal daripada jangkaan.
Bagaimanapun, katanya, beliau dan Qobin tidak dapat menunaikan haji berikutan undang-undang kerajaan Arab Saudi diperketatkan untuk jemaah, tahun ini (2025).
“Kami jangka akan sampai pada Julai, tapi nampaknya terawal sebulan disebabkan faktor beberapa negara yang menutup sempadan disebabkan peperangan seperti India dan Pakistan.
“Kembara sejauh 8,000 kilometer ini juga tidak sepenuhnya berbasikal, sebaliknya kami ada juga menaiki kapal terbang dan kenderaan darat lain.
“Oleh kerana tak dapat menunaikan haji, insya-Allah saya dan keluarga akan datang semula melakukan ibadah umrah,” katanya yang bakal pulang ke tanah air sehari sebelum Aidiladha.
Kata Amar, beliau tidak sabar mahu pulang ke tanah air kerana terlalu merindui isteri dan anak-anaknya.
“Saya nak beraya dengan keluarga. Rindu sangat,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman mengembara secara berbasikal, Amar berkata, banyak pengalaman ditempuhi sepanjang sebulan.
Pengalaman paling menarik, katanya, apabila dipertemukan dengan ramai orang yang baik-baik.
“Paling menarik, jumpa ramai orang baik-baik sepanjang perjalanan terutama orang Malaysia di Thailand, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi,” katanya.
Namun, Amar tidak menyangka apabila ada segelintir individu menyifatkan perkara dilakukan sebagai pekerjaan bodoh.
Melalui hantaran di Instagram (IG), Amar berkongsi komen sinis dilayangkan pelayar media sosial terhadap pengembaraan dilakukan bersama Qobin itu.
“Tak sangka ada yang cakap saya mengembara ke Masjid Nabawi kerja bodoh?,” tulis Amar yang turut memaparkan komen diberikan pengguna media sosial terhadapnya.
Antara komen diberikan terhadap Amar dan Qobin adalah menyuruh mereka berhenti melakukan perkara itu kerana bukan perintah daripada Allah.
Selain itu, suami kepada pelakon dan pengacara, Amyra Rosli itu berkongsi komen seorang pelayar yang seolah-olah hairan mengapa masih ada individu melakukan perkara sebegitu.
Bagaimanapun, melalui entri sama, Amar berkongsi hadis mengenai perkara yang dilakukannya itu.
“Daripada Abu Hurairah RS, bahawa SAW bersabda. Maksudnya: Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah dan juga masjid al-Aqsa (riwayat al-Bukhari),” kongsi Amar.
Pada hantaran berikutnya, Amar berkongsi pesanan Rasulullah SAW.
“Ubat bagi kebodohan adalah bertanya - pesan Nabi SAW (mafhumnya),” kongsinya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg