Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BG Tampines Rovers kecewa, terlepas peluang tumpas pasukan Thai

Apr 17, 2025 | 5:07 PM
Shuya Yamashita dari BG Tampines Rovers menanduk masuk gol pembukaan dalam aksi menentang BG Pathum United.
Shuya Yamashita dari BG Tampines Rovers menanduk masuk gol pembukaan dalam aksi menentang BG Pathum United. - Foto ST

Ia adalah malam yang mengecewakan buat BG Tampines Rovers, selepas mereka seri 1-1 dengan pasukan Thailand, BG Pathum United, dalam aksi separuh akhir pertama Piala Singapura di Stadium Jalan Besar pada 16 April.

Jurulatih Tampines Rovers, Gavin Lee, kesal dengan beberapa peluang yang terlepas begitu sahaja untuk menewaskan satu-satunya pasukan jemputan dalam kejohanan itu, yang mempunyai sebulan untuk membuat persiapan bagi perlawanan timbal balik pada 27 Mei di tempat sama.

Pasukan ‘The Rabbits’ (gelaran BG Pathum United), yang menduduki tempat ketiga dalam Liga Thai 1 yang mempunyai 16 pasukan, akan menamatkan musim liga mereka pada 27 April, manakala ‘Stags’ (gelaran Tampines Rovers) akan menamatkan kempen Liga Perdana Singapura (SPL) pada 24 Mei, lapor The Straits Times.

“Menyatakan kami kecewa belum cukup untuk menggambarkan perasaan kami.” kata Lee.

“Saya rasa kami bermain dengan sangat baik, terutamanya pada separuh masa pertama, untuk cuba mendapatkan kelebihan jaringan, tetapi sayangnya, kami bolos satu gol.

“Pada saya, kami cuai dan saya pasti ramai yang agak kecewa dengan perkara itu.

“Kami terus menyerang dan mencipta peluang tetapi peluang yang ada disia-siakan.

“Kami tidak cukup agresif seperti yang sepatutnya.

“Memandangkan kami sudah agak lama tidak bermain dalam rentak sebegini, perlawanan ini terasa seperti aksi Liga Juara-Juara, jadi kami bergelut untuk mengekalkan kualiti permainan selama 90 minit,” tambahnya.

Dengan baki lima perlawanan SPL, Tampines kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga itu, Lion City Sailors, yang masih mempunyai satu lagi perlawanan.

Oleh itu, Piala Singapura ini dilihat sebagai peluang terbaik ‘Stags’ untuk benar-benar memenangi piala.

Para pemainnya memulakan perlawanan dengan begitu bertenaga dan berjaya mendahului perlawanan seawal minit kedua.

Sepakan sudut Glenn Kweh menemui Faris Ramli, yang kemudian menghantar bola kepada Kyoga Nakamura.

Pemain kelahiran Jepun dan antarabangsa Singapura itu melambungkan bola ke dalam kotak penalti dan disambut pemain pertahanan, Shuya Yamashita yang menanduk masuk gol pembukaan.

Namun, Pathum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-34.

Pemain antarabangsa Singapura, Ikhsan Fandi, merempuh masuk ke kotak penalti Tampines Rovers dan dalam pergelutan merebut bola, Freddy Alvarez sempat menghantar bola kepada Kodai Tanaka, yang menjaringkan gol penyamaan.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, pasukan Sailors akan menentang Brunei DPMM dalam perlawanan pertama pada 22 April di Stadium Jalan Besar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg