Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadir Yahaya dilantik Pengarah Bola Sepak projek negara, ‘Unleash The Roar’

Mar 8, 2025 | 5:59 PM
Kadir Yahaya, telah menyertai projek bola sepak negara, Unleash The Roar! (UTR!), sebagai Pengarah Bola Sepak.
Kadir Yahaya, telah menyertai projek bola sepak negara, Unleash The Roar! (UTR!), sebagai Pengarah Bola Sepak. - Foto UNLEASH THE ROAR!
Kadir Yahaya berjaya menggilap bakat beberapa pemain negara seperti kapten bola sepak Singapura, Hariss Harun dan penjaga gawang, Izwan Mahbud.
Kadir Yahaya berjaya menggilap bakat beberapa pemain negara seperti kapten bola sepak Singapura, Hariss Harun dan penjaga gawang, Izwan Mahbud. - Foto UNLEASH THE ROAR!

Bekas pemain bola sepak negara, Kadir Yahaya, telah dilantik sebagai Pengarah Bola Sepak bagi satu projek bola sepak negara, Unleash The Roar! (UTR!), yang diusahakan Majlis Sukan Singapura dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Projek ini merupakan satu lakaran visi yang menyatukan warga Singapura menerusi sukan dengan memacu kecemerlangan dalam bola sepak di samping mewujudkan lebih banyak peluang bagi warga Singapura muda, baik lelaki atau perempuan, untuk mengejar impian dan membangun bakat mereka ke tahap paling tinggi.

UTR! juga bertujuan menyatukan warga Singapura bagi memberi sokongan padu terhadap arena bola sepak di Singapura.

Sebagai Pengarah Bola Sepak, Kadir, 57 tahun, akan mengawasi aspek teknikal inisiatif pembangunan belia di bawah UTR!, termasuk di Pusat Pembangunan Nasional Junior (JNDC) dan Pusat Pembangunan Nasional (NDC).

Beliau akan bekerjasama rapat dengan akademi dan kelab bola sepak untuk merangka strategi pembangunan pemain yang akan membolehkan Singapura bersaing di peringkat antarabangsa.

Pelantikan itu diumumkan UTR! dalam satu kenyataan pada 8 Mac.

Mengulas pelantikannya, Kadir, yang juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Tiger 1998, berkata:

“Ia merupakan satu penghormatan untuk kembali terlibat dalam bola sepak Singapura dan menjadi sebahagian daripada projek Unleash The Roar!

“Menerusi projek ini, kami mempunyai peluang mencipta model pembangunan belia yang mampan untuk generasi akan datang, dan saya teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

“Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan akademi, kelab, dan semua pihak berkepentingan UTR! dalam meraikan permulaan baru bagi bola sepak Singapura.”

Pelantikan itu bermakna Kadir telah meninggalkan jawatannya sebagai penolong jurulatih di kelab Liga Thai 1, BG Pathum United, peranan yang digalas sejak 2024. Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Bola Sepak Belia kelab berkenaan, antara 2022 hingga 2024.

Kadir mempunyai pengalaman luas sebagai seorang jurulatih yang membangun kemahiran pemain muda dan senior di dalam dan luar negara.

Sebelum ini, beliau adalah ketua jurulatih Tampines Rovers pada 2018, jurulatih Akademi Bola Sepak Kebangsaan (NFA) (2004 hingga 2006), dan ketua jurulatih pasukan bola sepak bagi Sukan OIimpik Belia 2010.

Kadir, malahan, berjaya menggilap bakat beberapa pemain negara seperti kapten bola sepak negara, Hariss Harun dan penjaga gawang, Izwan Mahbud.

Pelantikan Kadir disambut baik Ketua Kumpulan Pembangunan Sukan di Majlis Sukan Singapura, yang juga menyelia UTR!, Marcus Tan.

“Minat Kadir terhadap permainan ini dan rekodnya yang baik dalam membangun pemain muda menjadikannya aset yang berharga kepada UTR!.

“Kami percaya kepimpinannya akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan bola sepak Singapura,” ujar Tan.

Selain itu, sebuah Jawatankuasa Penasihat Teknikal (TAC) yang baru turut ditubuhkan. Ia terdiri daripada pentadbir bola sepak berpengalaman dan pakar teknikal.

TAC akan memberi nasihat kepakaran teknikal mengenai perkara yang berkaitan dengan aspek bola sepak dalam projek UTR!.

TAC terdiri daripada anggota FAS, termasuk anggota majlis dan jurulatih kebangsaan, dalam usaha memastikan keselarasan dan penyelarasan hal teknikal dapat dikendalikan bersama FAS, terutamanya dalam pembangunan pemain untuk pasukan kebangsaan senior.

TAC akan dipengerusikan Pengerusi BG Tampines Rovers dan Anggota Majlis FAS serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif UTR!, Desmond Ong.

Beliau akan disertai ketua jurulatih bola sepak lelaki negara, Tsutomu Ogura; penolong ketua jurulatih bola sepak lelaki negara, Gavin Lee; dan bekas kapten dan bekas jurulatih pasukan kebangsaan, Aide Iskandar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg