Adalah sukar mengetahui suara hati sebenar, pemain badminton, Loh Kean Yew, di dalam dan di luar gelanggang.
Raut wajahnya yang sentiasa mengukir senyuman sentiasa tampak tenang.
Di gelanggang, semasa menentang lawan, beliau tidak memberikan sebarang bayangan mengenai corak permainan apa yang bakal dipaparkan.
Ada kalanya, Loh bersikap lebih bersabar dengan bermain ‘rally’ berpanjangan, membuatkan lawan menjadi letih sehingga melakukan kesilapan.
Pada perlawanan lain pula, beliau beraksi dengan lebih agresif, pantas mematikan lawan dengan pukulan smesy yang kencang dan gerak-gerinya yang lincah di dalam gelanggang.
Perwatakan Loh di luar gelanggang tidak kurang bezanya.
Dalam satu wawancara bersama Berita Minggu (BM) sebelum mulanya kejohanan Terbuka Badminton Singapura KFF, yang berlangsung dari 28 Mei hingga 2 Jun di Stadium Tertutup Singapura, senyuman dan gelak ketawa menyinari raut wajah juara dunia itu, meskipun beliau berada di bawah tekanan dek prestasi naik turun sejak kebelakangan ini.
Ditanya wartawan bagaimana beliau menangani jangkaan tinggi daripada orang ramai untuk melihatnya berjaya, Loh, 26 tahun, berseloroh sambil berkata:
“Apabila saya menangis di dalam hati, tiada siapa yang tahu.” Tapi dengan serta merta beliah menambah: “Eh saya bergurau sahaja.”
Namun, dengan musim bak roller coaster yang dihimpit juga oleh kecederaan bahu kanan, tidak hairan jika Loh pernah meluahkan rasa kecewa dengan nasibnya.
Sebelum bersaing di Singapura, beliau mara ke final Masters Thailand pada Februari dan memenangi Masters Madrid di Sepanyol pada bulan berikutnya, tetapi juga kalah 10 daripada 25 perlawanannya.
Selepas menamatkan kemarau kejuaraan selama 833 hari sejak memenangi Kejohanan Dunia 2021, Loh tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Masters Malaysia yang turut menyaksikannya tumbang lima kali pada halangan pertama dalam 10 kejohanan yang disertainya musim ini.
“Keyakinan bukan sesuatu yang boleh dipupuk menerusi latihan. Tetapi, jika anda melihatnya, saya percaya semua orang boleh tahu anda sedang berasa yakin,” kata Loh lalu tertawa kecil.
“Ia akan ditunjukkan di dalam gelanggang,” tambah beliau.
Di Terbuka Singapura, tahap keyakinan Loh menyaksikan peningkatan positif. Beliau berjaya melepasi pusingan pertama meskipun diheret ke set ketiga untuk menewaskan pemain nombor 15 dunia, Lu Guangzu, dari China, 25-27, 21-15, 21-5. Loh kemudian menang 21-15, 11-21, 22-20, ke atas pemain nombor empat dari Denmark, Anders Antonsen. Namun, kemaraannya terhenti di suku akhir apabila tewas kepada pemain nombor enam dunia, Li Shifeng, dari China, 21-19, 21-16.
Seperti dalam beberapa perlawanan itu, yang mana Loh mengambil masa untuk berasa selesa, beliau juga menjadi lebih terbuka untuk berkongsi sepanjang wawancara itu.
Loh, yang pada awalnya kelihatan berjaga-jaga ketika menjawab soalan, berkata bahawa isterinya menjadi tonggak kekuatan tatkala jatuh bangunnya.
Loh mendirikan rumah tangga pada suku pertama 2023 dan telah berkongsi berita baik itu dalam hantarannya di media sosial pada Januari.
Enggan mendedahkan identiti isterinya bagi menjaga privasi hubungan mereka, Loh, berkata:
“Saya banyak berbual dengan isteri saya. Dialah yang benar-benar mendorong saya dan membuat saya rasa lebih yakin selepas kekalahan.
“Meskipun saya masih dapat tersenyum, tetapi apabila saya kembali ke pangkuan isteri saya, saya akan mengadu dan meluahkan kesedihan saya kepadanya,” ujar beliau.
Akur bahawa kehidupan sebagai pemain profesional penuh onak duri, Loh namun rasa beruntung dengan peluang yang diberikan untuk menguji dirinya menentang pemain hebat dunia bahkan kekal positif mengenai masa depannya.
“Menjadi seorang atlet, pasti ada turun dan naiknya, bukan?,” kata Loh,
“Jadi, saya hanya boleh terus berfikir bahawa semakin tinggi saya melompat, semakin ke bawah saya harus melangkah untuk bangkit kembali.
“Saya sedang berusaha, dan mudah-mudahan, masa saya (untuk menang) akan tiba,” ujarnya lagi.
Detik itu diharapkan muncul ketika beliau berentap dalam Sukan Olimpik 2024, yang bakal diadakan di Paris, Perancis dari 26 Julai hingga 11 Ogos.
Dalam penampilan Sukan Olimpik pertamanya di Tokyo 2020 - yang diadakan pada 2021 kerana ditunda dek pandemik Covid-19 - Loh menang satu daripada dua perlawanan dalam pusingan kumpulan namun tidak berjaya layak ke peringkat kalah mati.
“Ia adalah impian setiap atlet untuk bermain di Sukan Olimpik. Ia sememangnya amat bermakna buat saya sebab kami sebagai atlet berusaha gigih untuk mencapai ke detik itu... Dengan harapan, usaha kami selama ini berbaloi apabila di sana,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg