BARCELONA: Rasa gerun yang Lamine Yamal timbulkan dalam kalangan pemain pertahanan lawan setiap kali beliau mengawal bola di bahagian kanan pasukan Barcelona sering mengingatkan ramai tentang Lionel Messi sewaktu zaman mudanya.
Seperti Messi, Yamal merupakan hasil akademi belia Barcelona yang terkenal.
Namun, bintang bola sepak yang baru berusia 17 tahun itu tidak mahu dirinya dikaitkan dengan gelaran, ‘Messi versi 2.0’, dan ingin menempa namanya sendiri.
“Saya tak mahu dibandingkan dengan mana-mana pemain, apatah lagi Messi. Beliau pemain terbaik di dunia,” kata Yamal.
Jurugambar bebas, Joan Monfort, tidak menyangka gambarnya yang menunjukkan Messi mendukung seorang bayi akan menjadi antara gambar ikonik dan tular.
Ini kerana bayi yang dipetik dalam gambar itu ialah Yamal, dan ia diambil semasa satu acara amal 17 tahun lalu.
Kini, bukan sahaja Messi yang menjadi antara pemain bola sepak terbaik dunia, malah Yamal turut dianggap sebagai antara bakat muda terbaik dunia bola sepak.
Yamal masih belum mencecah usia 18 tahun, namun perlawanan menentang Inter pada 1 Mei merupakan aksi ke-100 beliau bersama skuad senior Barcelona.
“Bukan semua orang boleh bermain sebanyak itu sebelum umur 18 tahun, jadi saya bangga dengan pencapaian ini,” ujarnya, sambil menambah bahawa rasa gementar yang pernah dirasai sewaktu dahulu kini sudah tiada.
Beliau turut menegaskan bahawa tumpuan utamanya hanyalah untuk membantu Barcelona memburu tiga kejuaraan musim ini.
Separuh akhir Liga Juara-Juara ini merupakan perlawanan paling besar baginya setakat ini, setaraf dengan peringkat Copa del Rey yang menyaksikan Barcelona menewaskan Real Madrid pada 27 April.
Yamal menyumbang dua bantuan gol penting untuk jaringan, Pedri González dan gol penyamaan, Ferran Torres, membantu Barca mendapatkan kemenangan 3-2 dalam masa tambahan.
Dalam perlawanan tersebut, beliau memberi dorongan kepada pasukannya, mengatakan bahawa Real Madrid tidak setaraf dengan mereka.
Yamal membawa keyakinan itu ke pertemuan menentang salah satu pertahanan terbaik Eropah; Inter yang telah berjaya melalui lapan perlawanan tanpa dibolosi dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini.
Barcelona pula merupakan pasukan paling tajam di depan gol dengan 37 jaringan berbanding hanya 19 oleh Inter.
Yamal sendiri telah menjaringkan empat gol dan merintis empat jaringan juga.
“Semua orang tahu Inter pasukan yang sangat kukuh bertahan dan bahaya dalam serangan balas,” kata Yamal.
“Kami perlu kawal bola dengan baik dan main ikut cara kami,” katanya.
Pemenang bagi peringkat separuh akhir perlawanan ini akan berdepan sama ada dengan Paris Saint-Germain atau Arsenal di Munich pada 1 Jun.
Yamal mencuri tumpuan musim lalu apabila memecah pelbagai rekod, termasuk sebagai penjaring termuda dalam sejarah La Liga – pada usia 16 tahun.
Beliau terus memukau peminat bola sepak apabila menjadi penjaring termuda dalam sejarah Kejohanan Eropah, menjaringkan gol terbaik kejohanan bagi pasukan negaranya, Sepanyol, ketika menentang Perancis di separuh akhir sebelum membantu mereka menjulang trofi ke atas England pada hari lahirnya yang ke-17.
Musim ini, Yamal kekal tekal bersama Barcelona.
Dengan 14 gol dan 24 bantuan jaringan dalam semua kejohanan, beliau turut membantu Barcelona mendekati kejuaraan La Liga ke-28 mereka.
Dan apabila ramai menyangka tiada lagi rekod untuk dipecahkan, Yamal muncul pula sebagai penjaring termuda dalam sejarah El Clasico – gelaran bagi perlawanan antara gergasi bola sepak Sepanyol, Madrid dan Barca.
Dengan pencapaian beliau sejauh ini, tidak hairanlah jika beliau merupakan seorang pemain yang tidak kurang keyakinannya.
Menjelang perlawanan peringkat akhir Euro 2024, Yamal berkata beliau tidak mengendahkan siapa pasukan lawan.
“Apabila anda berjaya ke peringkat akhir, anda akan berdepan dengan pasukan yang terbaik dan perlawanannya agak sengit,” kata beliau.
Namun, beliau tetap bersikap rendah hati di sebalik peningkatannya yang mendadak, menepis persoalan sama ada semua ini terlalu awal untuk usianya yang masih muda.
Sepanjang kerjayanya, Yamal telah mempamerkan kematangan dan membuktikan beliau setanding ataupun lebih baik daripada pemain yang lebih berpengalaman.
“Saya rasa bola sepak bukan tentang usia, tetapi bakat dan mentaliti setiap pemain. Usia itu hanya sekadar angka,” tambahnya. – Agensi berita.
“
“Saya tidak membandingkan diri saya dengannya kerana saya tidak membandingkan diri saya dengan sesiapa pun, lebih-lebih lagi (Lionel) Messi... saya hanya akan menikmati (keupayaan) diri sendiri dan menjadi diri sendiri.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg