PARIS: Pengurus Aston Villa, Unai Emery, berkata pasukannya “percaya pada Villa Park” dan kelebihan beraksi di padang sendiri boleh memberi tenaga tambahan kepada pemainnya.
Paris Saint-Germain (PSG) kini mendahului dengan kelebihan dua gol selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Villa dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara mereka di Perancis.
Juara Perancis itu menjadi pilihan untuk mara ke separuh akhir apabila dua pasukan itu bertemu lagi di Birmingham pada 16 April.
Namun, Villa belum pernah tewas di Villa Park dalam persaingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini – malah mencapai kemenangan menakjubkan ke atas juara enam kali, Bayern Munich, pada peringkat kumpulan.
Pasukan Liga Perdana England (EPL) itu mencatat 11 kemenangan dan enam seri dalam 17 perlawanan terakhir mereka di padang sendiri dalam semua kejohanan – rekod sejak hujung musim luruh lalu.
“Kami akan bermain di padang sendiri minggu depan (16 April) dan ia pasti menjadi cabaran besar buat kami, tetapi kami akan rasa lebih kuat di Villa Park bersama sokongan penyokong kami.
“Kami percaya pada penyokong kami, kami percaya pada aura Villa Park, dan kami percaya pemain kami berupaya beraksi pada tahap terbaik minggu depan (16 April),” kata Emery.
Pemain Villa berkongsi keyakinan itu.
“Pengurus baru sahaja bercakap bersama kami dan beliau berkata ‘ini baru separuh masa’,” kata pemain pertahanan Matty Cash kepada BBC Radio 5 Live.
“Di padang sendiri, kami benar-benar kuat. Kami lebih daripada berupaya menjaringkan dua atau tiga gol di rumah,” tambahnya.
Penjaring gol Villa, Morgan Rogers, yang memberikan mereka gol pertama semasa perlawanan di Parc des Princes, dilaporkan dalam TNT Sports, sebagai berkata:
“Ada keyakinan tinggi di dalam bilik persalinan.
“Tiada apa-apa yang kami perlu dirisaukan, sejak mula tiada sesiapa berasa kami boleh memenangi perlawanan itu. Jadi, mengapa tidak terus mencuba?”
Impian Villa mahu bangkit semula tidak mustahil, dengan pelbagai kejutan disaksikan di kejohanan UCL.
Sebanyak sembilan pasukan pernah ketinggalan dua gol selepas perlawanan pertama dalam pusingan kalah mati UCL tetapi berjaya bangkit pada perlawanan kedua untuk mara ke pusingan seterusnya.
Kali terakhir yang melakukannya ialah Juventus, yang tewas 0-2 kepada Atletico Madrid dalam pusingan ke-16 pada 2018/19, namun menang 3-0 pada perlawanan kedua.
PSG dua kali kehilangan kelebihan dua gol dalam pusingan kalah mati dan tersingkir – rekod paling banyak oleh mana-mana kelab. Ini berlaku pada 2013/14 semasa menentang Chelsea, dan pada 2018/19 apabila berentap dengan Manchester United.
PSG juga pernah kehilangan kelebihan empat gol pada perlawanan pertama menentang Barcelona – menang 4-0 di rumah tetapi kalah 1-6 di Nou Camp.
Peristiwa itu berlaku pada 2016/17 ketika Emery mengurus PSG, dan pengurus PSG sekarang, Luis Enrique, adalah pengurus Barcelona ketika itu.
Secara realistik, kem PSG menegaskan perlawanan suku akhir itu masih jauh daripada selesai.
Enrique memberitahu TNT Sports adalah “sukar” bagi pasukannya di Villa Park.
Penjaring gol Khvicha Kvaratskhelia, berkata kepada BBC Radio 5 Live: “Kerja kami belum selesai.”
Sementara itu, dalam perlawanan suku akhir lain, penyerang Barcelona, Raphinha, menyamakan rekod Lionel Messi bagi keterlibatan dalam jaringan gol dalam satu musim UCL bersama Barcelona.
Ini selepas beliau membantu pasukannya membelasah Borussia Dortmund 4-0 untuk menguasai persaingan suku akhir.
Penyerang Brazil itu menjaringkan satu gol dan mencipta membuka dua laluan (assist) bagi menjaringkan gol untuk mencapai 19 pelibatan jaringan gol dalam kempen musim ini, menyamakan rekod Messi yang dicatat pada musim 2011/12.
Gol ke-12 Raphinha dalam saingan Eropah musim ini membuka jaringan buat Barcelona pada separuh masa pertama, sebelum Robert Lewandowski menambah dua gol selepas rehat, dan Lamine Yamal melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol keempat.
Kemenangan itu meletakkan Barcelona di landasan kukuh untuk mara ke separuh akhir. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg