Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Bintang pemain Bayern, PSG bantu pasukan ke peringkat suku akhir

Mar 06, 2024 | 01:11 PM



MUNICH: Penjaring terbanyak Bayern Munich, Harry Kane, menjaringkan dua gol untuk meraih kemenangan 3-0 untuk pasukannya ke atas Lazio pada 5 Mac.


Ini bermakna Bayern akan mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan agregat 3-1 dan semangat peminat Bayern untuk melihat pasukan mereka memenangi pertandingan itu kembali berkobar.

Jaringan Kane pada minit ke-38 menyamakan agregat, dan Kane juga menjaringkan gol keduanya pada minit ke-66 untuk menjadikannya 3-0 selepas jaringan Thomas Muller pada masa tambahan separuh masa pertama.

Kemenangan itu melegakan tekanan yang dihadapi pengurus Bayern, Thomas Tuchel, yang akan meninggalkan Bayern pada akhir musim ini.

Sebelum kemenangan ini, pasukannya hanya berjaya memenangi satu daripada lima perlawanan mereka dan kini 10 mata di belakang pasukan tempat teratas Liga Jerman (Bundesliga), Bayer 04 Leverkusen.

“Ia malam yang sempurna bagi kami. Ini satu perlawanan yang besar,” kata Kane yang telah menjaringkan enam gol untuk Bayern di Liga Juara-Juara dan 27 lagi gol di Bundesliga.

“Sudah tentu kami tahu bahawa kami perlu pertingkatkan prestasi kami, tetapi perlawanan seperti ini boleh mengubah musim kami. Saya sungguh bangga dengan pasukan saya dan kami hanya perlu kekalkan rentak kemenangan ini,” tambahnya.

Lazio cuba bertahan dan menantikan peluang untuk melakukan serangan balas ke atas Bayern semasa perlawanan itu.

Peluang terbaik mereka jatuh kepada Ciro Immobile, dengan tandukan beliau terlepas sasaran.

Kemenangan itu bermakna Bayern telah berjaya untuk mara ke pusingan suku akhir lapan kali daripada sembilan kempen terkini mereka di Liga Juara-Juara.

Di Sepanyol pula, penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, juga menjaringkan dua gol untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Real Sociedad pada 5 Mac.

PSG juga mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan agregat 4-1.

Dengan tekad memenangi Piala Liga Juara-Juara pertama mereka, PSG memperkukuhkan barisan pertahanan mereka, menantikan peluang untuk memanfaatkan kepantasan Mbappe dalam serangan balas.

Kepantasan dan kelicikan beliau terbukti terlalu hebat untuk ditangani Real Sociedad.

Dua jaringan beliau bermakna Mbappe telah menjaringkan 11 daripada 15 gol pusingan kalah mati Liga Juara-Juara PSG.

“Kami tahu dari awal bahawa kami tidak boleh mengambil mudah perlawanan ini. Jika mereka telah jaringkan dulu, mereka akan bertekad untuk dapatkan satu lagi gol dengan sokongan penyokong mereka,” kata Mbappe kepada media.

“Kami perlu patahkan semangat mereka dari awal. Itulah apa yang kami lakukan, dan kami sangat gembira dapat kembali ke peringkat suku akhir,” tambahnya.

Mbappe menghasilkan beberapa peluang untuk rakan sepasukannya sebelum menjaringkan golnya sendiri pada minit ke-15. Beliau menjaringkan gol keduanya pada minit ke-56 melalui hantaran Lee Kang-in.

Selepas itu PSG kelihatan selesa untuk mempertahankan gawang mereka daripada Sociedad yang tidak mengancam.

Mikel Merino akhirnya berjaya menjaringkan gol untuk Sociedad pada minit ke-89, tetapi jaringan itu terbukti terlalu lambat dan tidak mencukupi untuk menghalang PSG daripada mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara pertama mereka dalam tiga tahun. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >