Cita-cita utama Loh Kean Yew masih lagi tidak berubah – menjadi juara Olimpik dan meraih kedudukan sebagai pemain badminton ‘Nombor 1 dunia’.
Namun, dalam tempoh 12 bulan yang lalu, tanggungjawabnya semakin bertambah dengan beberapa perubahan besar berlaku pada kehidupan bintang badminton Singapura itu.
Beliau bergelar bapa pada Julai 2024, dan mengalami pertukaran jurulatih pada Januari 2025.
Lantas, pada permulaan 2025, atlet berusia 27 tahun itu memiliki sasaran baru.
Selain mencapai kejayaan di Terbuka Singapura KFF (dari 27 Mei hingga 1 Jun), Kejohanan Dunia dan Sukan SEA, beliau menyasarkan untuk “cari rezeki, jadi bapa yang baik dan luangkan lebih banyak masa bersama keluarga.”
Dengan tidak mengabaikan impiannya untuk meraih pingat emas Olimpik dan menjadi pemain ‘Nombor 1 dunia’ demi memberi inspirasi kepada generasi muda, Loh kini mendapat dorongan tambahan daripada anak dan isterinya.
Beliau berkongsi, walaupun perlu mengimbangi tugas menukar lampin anak dan menghadapi pukulan hebat dari pemain terbaik dunia, beliau masih mampu meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional dek sokongan isterinya.
Dalam wawancara bersama akhbar The Straits Times (ST) pada 26 Mei, Loh berkata:
“Saya telah meluangkan lebih banyak masa sebagai pemain badminton berbanding sebagai seorang ayah. Saya juga ingin luangkan lebih banyak masa bersama anak dan isteri.
“Maka, jika mempunyai masa, saya akan cuba sebaik mungkin untuk bersama mereka dan lakukan apa yang saya mampu – tukar lampin anak saya, bermain dengannya, beri makan, tidur bersama, tidurkan dia – agar isteri saya dapat berehat.”
Beliau menambah bahawa isterinya sangat memahami, lebih-lebih lagi apabila Loh tidak dapat membantu dengan banyak tugasan di rumah kerana sering berada di luar.
“Selepas bergelar bapa, banyak perkara yang sebelum ini saya anggap penting, kini tidak lagi begitu. Fokus saya kini hanya pada badminton dan menjadi contoh yang baik buat anak saya,” ujarnya.
Konsistensi sering menjadi cabaran buat Loh.
Selepas mara ke suku akhir Olimpik Paris 2024 – di mana beliau tewas kepada juara kejohanan dari Denmark, Viktor Axelsen – Loh hanya menang lima daripada 15 perlawanan berikutnya, tersingkir pada pusingan pertama dalam enam daripada sembilan kejohanan, dan terkeluar daripada kelompok ‘10 Terbaik dunia’.
“Ada banyak kejohanan yang kami perlu sertai, jadi saya tiada pilihan selain hadir dan cuba sedaya upaya, walaupun ketika itu saya perlukan rehat selepas Olimpik,” katanya, sambil menambah bahawa enam tahun persiapan untuk Sukan Olimpik Tokyo 2021 dan Paris 2024 amat memenatkan.
Di sebalik senyumannya, tersimpan luka kekalahan. Loh mengakui beliau bergelut dengan tekanan psikologi setiap hari.
“Persoalan seperti sama ada saya boleh beraksi dengan cemerlang, adakah saya akan kalah hari ini? Bagaimana saya akan bermain, apa yang boleh saya lakukan untuk menang hari ini?
“Ia kelihatan seperti perkara mudah... tetapi sebenarnya merupakan satu perjuangan dalaman yang sangat sukar dan tidak diketahui ramai,” tambahnya.
Namun, selepas meluangkan masa bersama keluarga, prestasi Loh kembali meningkat.
Pada 2025, beliau mara ke peringkat akhir Terbuka Germany dan suku akhir Terbuka All England, serta menjuarai Terbuka Taipei.
Beliau juga layak ke separuh akhir Kejohanan Asia dan Terbuka Thailand, menjadikan jumlah hadiah wang yang diraih tahun ini (2025) melebihi $70,000.
Namun, Loh turut menghargai sumbangan bekas jurulatihnya, Kelvin Ho, kerana membentuknya menjadi pemain yang kuat.
Pemain ‘Nombor 10 dunia’ itu berkata:
“Sebagai jurulatih, Kim telah memberikan saya lebih keyakinan dalam beberapa perkara yang beliau minta saya cuba. Saya dapat rasakan perbezaannya apabila saya beraksi di gelanggang.”
Loh berharap dapat memberi impak di Stadium Tertutup Singapura, dengan Terbuka Singapura KFF yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1 juta ($1.28 juta) serta meraih mata kedudukan yang penting.
Dalam pusingan pertama kejohanan Super 750 pada 27 Mei, beliau akan menentang pemain kesembilan dunia, Alex Lanier.
Sementara itu, rakan senegara yang menduduki kedudukan ke-22 dunia, Jason Teh, bakal menentang juara bertahan dari China, Shi Yuqi, yang juga pemain ‘Nombor 1 dunia’.
Dalam perseorangan wanita, Yeo Jia Min (Nombor 12 dunia) akan menentang pemain ‘Nombor 10 dunia’ dari Thailand, Busanan Ongbamrungphan.
Manakala pasangan beregu campuran, Terry Hee dan Jin Yujia (kedudukan ke-28), akan bertemu pasangan Indonesia, Rehan Kusharjanto dan Gloria Widjaja, pada 28 Mei.
Mengenai pertemuan dengan Lanier, Loh berkata mereka merupakan “rakan baik di luar gelanggang, tetapi akan ‘berlawan habis-habisan’ di gelanggang”.
“Beliau seorang lawan yang hebat dan baru sahaja menjuarai Kejohanan Eropah, jadi sudah tentu beliau merupakan cabaran yang hebat.
“Saya teruja untuk beraksi dengannya. Tetapi beliau pemain pilihan, jadi tekanannya sepatutnya padanya,” tambah Loh, yang tidak disenaraikan sebagai pemain pilihan.
Dalam satu-satunya pertemuan mereka di kejohanan sebelum ini – suku akhir Terbuka Denmark 2024 – Lanier menang dalam perlawanan penentuan 24-22. Namun, Loh kini kelihatan menemui kekuatan mental yang baru, setelah menang enam perlawanan tiga set terakhirnya.
Ini termasuk perlawanan panjang menentang Shi pada suku akhir Kejohanan Asia dan Chou Tien-chen (nombor 7 dunia) dalam final Terbuka Taipei.
Namun, beliau sedar masih banyak kerja yang perlu dilakukan, dan berkata:
“Matlamat saya bukan sekadar untuk bermain dengan baik dalam beberapa bulan ini. Saya mahu kekal konsisten sepanjang tahun dan selama beberapa tahun mendatang.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg