Peminat badminton Singapura mungkin telah dapat melihat kemunculan seorang “ajumma” - istilah Korea untuk wanita berusia yang sudah berkahwin, di sudut pemain pada acara Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini.
Peminat yang lebih peka juga mungkin menyedari bahawa sejak Kim Ji-hyun dilantik sebagai jurulatih perseorangan negara pada Januari, beberapa pemain telah mencatatkan keputusan yang menggalakkan dalam kejohanan mereka.
Yeo Jia Min dan Jason Teh memenangi trofi di Terbuka Jerman dan Masters Thailand, manakala bekas juara dunia, Loh Kean Yew, melayakkan diri ke peringkat akhir Terbuka Jerman.
Menurut laporan The Straits Times, menjelang Kejohanan Badminton Asia pada 8-13 April di Ningbo, China, Kim berkata cabaran untuk mengasah bakat semula jadi yang ada untuk menjadi pemenang memberi keyakinan untuk beliau sertai Persatuan Badminton Singapura (SBA).
“Apabila saya melihat pemain-pemain terbaik Singapura yang mempunyai potensi besar tetapi sering kalah pada 2024, saya fikir mereka adalah ‘permata’ untuk diasah,” kata jurulatih berusia 50 tahun itu.
Pada mulanya Kim dilantik hanya sebagai jurulatih perseorangan wanita negara.
Namun, oleh kerana SBA menghadapi kesukaran mendapatkan jurulatih perseorangan lelaki, Kim mengambil peranan tambahan untuk membimbing pemain lelaki.
“Saya telah membantu mereka menganalisis permainan lawan mereka, seperti memikirkan cara menangani pukulan lawan, serta mengekalkan pemikiran seorang pemenang dan keyakinan diri, walaupun ketika jika ketinggalan lima mata dalam permainan,” kata Kim.
Jurulatih dari Korea Selatan itu pernah menduduki tangga keenam dunia dalam kategori perseorangan, dan tangga ke-14 dalam kategori beregu pada 1990-an.
Beliau juga merupakan sebahagian daripada pasukan wanita Korea Selatan yang memenangi pingat emas pada Sukan Asia 1994.
Selepas bersara pada 2001, beliau berhasrat meneroka dunia dan meningkatkan bahasa Inggerisnya.
Beliau berkahwin dengan seorang lelaki New Zealand dan mendapati dirinya melatih pemain muda negara tersebut sebelum mengambil alih pasukan senior dari 2004 hingga 2006.
Dari 2006 hingga 2008, beliau menjadi jurulatih BWF di akademi latihannya di Jerman.
Beliau merupakan jurulatih perseorangan wanita Korea Selatan dari 2008 hingga 2012, membantu mereka memenangi Piala Uber pada 2010 dan Piala Sudirman 2017, acara terakhir beliau sebagai pengurus pasukan.
Pengalamannya bersama India menyaksikan beliau membimbing P. V. Sindhu ke gelaran juara dunia pada 2019, sebelum beliau berpindah ke Thailand.
Beliau menyifatkan diri beliau sebagai bukan sekadar jurulatih, bahkan seorang ibu, penyokong, doktor, dan pakar strategi, kerana beliau perlu memikirkan tentang keseluruhan pemain badminton Singapura.
Menyedari bahawa masih terlalu awal untuk berbicara mengenai peluang pingat pada Olimpik 2028, Kim menunjuk kepada kumpulan bakat yang terhad di antara cabaran lain, sambil menambah bahawa bantuan diperlukan untuk membina generasi pemain seterusnya selepas Yeo, Teh dan Loh.
“Perkhidmatan Negara (NS) mengganggu kerjaya sukan elit pemain lelaki, dan Singapura tidak mempunyai sistem akar umbi atau kelab korporat yang kukuh seperti yang disokong oleh KB Kookmin Bank dan Samsung di Korea Selatan, di mana saluran pemain lebih berstruktur dan boleh dijangkakan,” kata Kim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg