LONDON: Pasaran bola sepak Eropah meningkat 8 peratus dari segi pendapatan pada musim 2023-24 kepada 38 bilion euro ($56.1 bilion) dengan Liga Perdana England (EPL) menjana jumlah tertinggi, kata kajian oleh syarikat perundingan, Deloitte yang diterbitkan pada 11 Jun.
Dalam Tinjauan Tahunan Kewangan Bola Sepak, Deloitte berkata lima liga teratas – EPL, Bundesliga, La Liga, Serie A dan Ligue 1 – menjana pendapatan 20.4 bilion euro, iaitu peningkatan sebanyak 4 peratus.
Kelab EPL mencatatkan hasil tertinggi dalam kalangan liga utama Eropah dengan jumlah £6.3 bilion ($10.9 bilion).
Namun, kelab tradisional ‘Big Six’ di liga utama England melaporkan pertumbuhan hasil purata yang lebih rendah (3 peratus) berbanding kelab lain yang berada dalam Liga Perdana pada musim 2023-24 dan 2022-23 (11 peratus).
Kajian itu menyatakan bahawa pertumbuhan tersebut sebahagian besarnya didorong pengembangan penawaran kelab komersial.
Ia turut menyebabkan pasukan secara keseluruhan menjana lebih daripada 2 bilion euro dalam hasil komersial buat kali pertama.
“Tumpuan terhadap pembangunan stadium dan kepelbagaian hasil komersial telah mendorong pertumbuhan dalam pasaran bola sepak Eropah bagi musim 2023-24,” kata rakan kongsi utama dalam Kumpulan Perniagaan Sukan Deloitte, Tim Bridge.
“Namun, kelab dan liga tidak boleh leka kerana cabaran baru akan muncul, termasuk landskap peraturan dan tingkah laku peminat yang turut berubah.
“Tekanan semakin meningkat untuk lebih banyak kelab menjana hasil tambahan sambil mengurus kos yang semakin meningkat.
“Pemimpin dan pemilik perlu menyedari tanggungjawab besar yang mereka pikul dalam mengurus perniagaan, untuk mengekalkan nilai sejarah sebuah kelab bola sepak sambil menghormati peranannya yang tiada tandingan sebagai aset masyarakat untuk generasi akan datang.”
Protes peminat telah menjadi satu pemandangan biasa di stadium EPL berikutan kenaikan harga tiket dan penyingkiran penyokong tempatan bagi memberi laluan kepada pelancong yang sanggup berbelanja lebih untuk pengalaman menonton perlawanan yang istimewa.
“Tidak dapat nafikan bahawa sistem bola sepak England sedang mengalami tekanan,” tambah Bridge.
“Laporan berulang mengenai kekacauan peminat berkaitan harga tiket menunjukkan cabaran dalam era moden untuk mengimbangi pertumbuhan komersial dengan nilai sejarah dan kedudukan sebuah kelab bola sepak dalam masyarakat.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg