LONDON: Korea Utara mungkin negara yang memencilkan diri daripada dunia luar, namun, ia mempunyai pasukan bola sepak wanita yang merupakan antara yang terhandal di dunia.
Semasa menentang Amerika Syarikat dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia Wanita pada 2007, pasukan itu berada di tangga kelima dunia dan telah memenangi tiga kejuaraan Asia dalam masa 10 tahun.
Rekod Korea Utara pada peringkat remaja lebih baik.
Pada 2016, mereka memenangi Piala Dunia Wanita Bawah 20 tahun (U20), mengalahkan Sepanyol, Amerika dan Perancis dalam pusingan kalah mati.
Pada tahun yang sama, pasukan bawah 17 tahun mereka menjulang Piala Dunia bagi peringkat usia tersebut.
“Perlawanan pada 2007 itu mencabar, sangat sukar,” kata bekas pemain Amerika, Heather O’Reilly, mengenai pengalamannya menentang pasukan senior Korea Utara.
“Sukar merampas bola daripada mereka, mereka cukup lincah, sangat cepat,” katanya.
Ada satu lagi cabaran dalam menentang pasukan dari Korea Utara. Cabarannya unik.
“Keadaan penuh ketidakpastian.
“Rakaman video yang kami ada tentang mereka amat terhad. Setiap kali kami menentang Korea Utara, ia menjadi satu misteri buat kami,” ujar O’Reilly.
Misterinya sekarang, selepas kontroversi salah guna dadah dan empat tahun tidak menyertai bola sepak antarabangsa, berupayakah pasukan bola sepak wanita Korea Utara menjadi antara pasukan wanita handalan dunia sekali lagi?
O’Reilly dan rakan sepasukannya mempunyai sedikit rakaman aksi pasukan Korea Utara, tetapi tidak bagi Brigitte Weich.
Pembikin filem Austria itu menghabiskan masa lima tahun mengekori pasukan wanita Korea Utara.
Beliau mendapat akses yang tidak pernah diberikan dan bertemu pemain pasukan itu untuk dokumentari beliau, berjudul Hana, dul, sed.
Beliau berkata, seperti kebanyakan perkara yang berlaku di Korea Utara, pengaruh besar ke atas permainan pasukan wanitanya dikaitkan kepada pemimpin negara itu, Encik Kim Jong-un.
“Pemain sentiasa berkata kepada kami bahawa Pemimpin Tersayang Kim Jong-il (bapa Encik Kim Jong-un) secara peribadi menyokong bola sepak wanita,” kata Weich.
“Sudah tentu mereka merujuk segala-galanya terus kepada pemimpin itu dan tiada apa yang berlaku tanpa bimbingan, sokongan atau kehendaknya.
“Tetapi ia adalah satu pemerintahan diktator yang sangat hierarki dan totalitarian. Saya fikir itu benar,” tambah Weich.
Beliau berkata terdapat teori yang mengatakan tumpuan Korea Utara kepada bola sepak wanita terbit susulan sebuah pentas di Mexico pada 1986.
Dalam kongres Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada 1986, bekas pemain bola sepak Norway, Ellen Wille, yang hanya setinggi 1.50 meter, naik ke pentas dan berucap – kali pertama seorang wanita berucap di kongres Fifa – dengan nada marah.
Beliau marah bola sepak wanita diketepikan dan menuntut kejuaraan Piala Dunia diadakan bagi wanita.
Pengurusan Fifa, yang terkejut, bersetuju.
Menurut teori itu, perwakilan Korea Utara di dalam bilik mesyuarat itu pulang ke Pyongyang dengan satu rancangan.
“Mungkin ada orang pergi berjumpa Kim Jong-il dan berkata kepadanya bahawa mereka boleh memanfaatkan hal itu.
“Korea Utara bukanlah negara yang terbaik dari sudut ekonomi, sains, hak asasi manusia dan selebihnya, tetapi dalam negara seperti itu, mereka boleh menjadi mahir dalam beberapa sukan kerana... mereka boleh memberi tumpuan kepada latihan dan itu sahaja.
“Saya tidak fikir ia adalah satu mitos bahawa Kim Jong-il berminat dalam bola sepak wanita, mungkin kerana beliau melihatnya sebagai peluang untuk menjadi hebat di peringkat dunia,” kata Weich.
Pada era 2000-an, sedang perlawanan wanita England jarang menarik puluhan ribu penonton, Korea Utara berjaya memenuhi Stadium Kim Il-sung yang berkapasiti 50,000 orang.
Sama ada semua penonton hadir dengan rela hati – ramai askar atau seluruh tenaga kerja kilang digunakan sebagai latar belakang majlis-majlis negara – para pemain itu adalah tokoh berprofil tinggi.
“Mereka adalah bintang.
“Peminat mengenali mereka dan meminta autograf mereka,” dedah Weich.
“Malah ada pementasan opera yang mengisahkan pasukan bola sepak wanita, seperti kisah cereka – ibu bapa menentang mereka bermain bola sepak atau hubungan cinta terlarang dan sebagainya,” ujar beliau.
Bermain dalam pasukan nasional juga bermakna adanya kesempatan untuk dapat ke luar negara.
Rakyat Korea Utara tidak dibenarkan keluar negara tanpa kebenaran pemerintah.
Kejohanan dan perlawanan antarabangsa memberi pemain peluang mengenali realiti dunia luar yang jarang diketahui rakan-rakan senegara mereka.
“Pemain yang saya ekori berkata, ‘orang Amerika jauh lebih tinggi daripada kami dan lebih kuat daripada kami, kerana mereka mempunyai makanan yang cukup dan semua jenis kelengkapan yang kami tidak ada – tetapi minda kami amat kuat, tiada sesiapa menjangkanya’.
“Mereka semua suka bola sepak, tetapi pemimpin dan negara merekalah yang menjadi pendorong besar bagi mereka.
“Begitulah mereka dibesarkan, kegemilangan buat negara adalah segala-galanya dan (sudut) individu tidak penting,” tambah Weich. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg