PARIS: Pasukan bola sepak wanita Brazil mara ke pertandingan akhir Olimpik setelah menumbangkan juara dunia Sepanyol 4-2 pada 6 Ogos. Pasukan Brazil akan bersaing merebut pingat emas dengan pasukan Amerika Syarikat.
Ini adalah kali keenam Brazil berjaya mara ke pusingan separuh akhir. Pemain Brazil berjaya menghasilkan empat gol, ekoran kesilapan pertahanan Sepanyol.
Dengan kejayaan ini, Brazil berpeluang merebut gelaran Olimpik buat kali pertama, jika berjaya menewaskan juara bertahan Amerika Syarikat.
Sementara itu, gol daripada pemain Amerika Sophia Smith semasa pertandingan melawan Jerman dalam pertandingan separuh akhir yang berakhir 1-0, membolehkan Amerika maju ke pertandingan akhir.
Brazil tetap bangkit dan bersemangat meskipun harus bermain tanpa ketua pasukan dan penjaring gol terbanyak mereka, Marta, yang menerima kad merah saat kalah 2-0 melawan Sepanyol semasa pusingan kumpulan.
Kad merah tersebut menyebabkan Marta tidak dapat bermain bagi dua perlawanan selanjutnya.
Enam minit pertama pertandingan dibuka dengan gol sendiri Sepanyol. Penjaga gol Sepanyol, Cata Coll menepis bola ke arah kapten pasukannya, Irene Paredes, menyebabkan bola terpantul ke dalam golnya sendiri.
Pasukan asal Amerika Selatan itu menggandakan kelebihan pada saat-saat terakhir separuh pertama hasil gol cantik Gabi Portilho setelah mendapat hantaran daripada pemain Yasmim.
Kapten Adriana kemudian meningkatkan kedudukan kepada 3-0 dengan gol jarak dekatnya pada minit ke-72 sebelum gol sendiri oleh pemain Brazil Duda Sampaio pada lima minit terakhir mengurangkan kelebihan gol Brazil.
Pada minit ke-90 bola dikuasai pemain gantian Brazil, Kerolin, yang kemudian menjaringkan gol keempat dan terakhir untuk Brazil. Salma Paralluelo dari Sepanyol kemudian menjaringkan lagi satu gol sagu hati pada minit-minit terakhir. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg