Hanya dengan menyebutkan nama bintang renang Singapura, Joseph Schooling, sudah cukup untuk membuat perenang legenda dunia, Michael Phelps, tersenyum riang.
Ketika ditemui di Omega House di Paris, bekas jaguh renang dari Amerika Syarikat itu menyifatkan Schooling sebagai “jejaka muda yang cergas dan gagah”.
Masyarakat umum mungkin sering terlupa betapa luar biasanya pencapaian Schooling yang meraih pingat emas, selepas beliau menewaskan Phelps dalam acara renang kuak kupu-kupu 100 meter di Sukan Olimpik Rio pada 2016.
Namun, Phelps menyedari betapa besarnya pencapaian itu.
“Saya tahu beliau akan menjadi pesaing yang sukar ditandingi dalam perlumbaan itu, pada 2016.
“Jadi saya gembira melihat beliau dapat bersara pada masa yang beliau inginkan.
“Beliau memenangi pingat emas. Ia (pencapaian yang) sangat besar, ia sangat mengagumkan. Untuk menang pingat emas (bermakna anda berada dalam kelompok) kurang 1 peratus daripada 1 peratus.
“Untuk mempunyai peluang (meraih emas) seperti yang beliau dapat, pada masa yang beliau berjaya lakukan, menjadikannya satu kerjaya hebat. Saya ucapkan yang terbaik untuknya,” ujar Phelps.
Menurut Phelps, mereka berdua saling berkomunikasi pada 2023 melalui wadah kiriman mesej.
“Kami saling kirim mesej beberapa kali pada tahun lalu. Saya sukakan Jojo (gelaran Schooling). Beliau adalah pesaing yang hebat.
“Saya masih ingat bertemu beliau bersama ibu bapanya di kolam renang di sebuah kelab mewah (di Singapura) pada 2008 dan berpeluang melihat potensinya,” tambahnya.
Pada 2 April, Schooling mengumumkan di media sosial bahawa beliau telah bersara daripada sukan renang secara kompetitif.
Phelps tersenyum gembira ketika bercerita mengenai Schooling, namun nadanya menjadi tegas apabila bercakap mengenai atlet yang terjebak dalam salah guna dadah.
Ia adalah satu topik yang hangat dibincangkan dalam masyarakat sukan renang, selepas satu kontroversi sebelum Sukan Olimpik yang kini berlangsung di Paris – melibatkan beberapa perenang China yang terjebak dalam skandal pengambilan dadah.
Phelps tidak menunding jari ke arah sesiapa namun hanya inginkan keadilan dilaksanakan, lapor The Straits Times (ST).
Awal tahun ini, Phelps mengambil pendirian tegas semasa memberi pandangannya kepada panel kongres Amerika mengenai salah guna dadah dalam kalangan atlet.
“Sepanjang kerjaya saya, saya tidak fikir saya pernah bertanding dalam perlumbaan yang adil. Saya ada keraguan terhadap beberapa atlet (yang disyaki mengambil dadah) yang bersaing dengan saya ... tetapi itu di luar kawalan saya,” katanya.
Bagi menangkis tanggapan sebilangan orang bahawa beliau mengambil dadah semasa menyertai pertandingan renang, Phelps telah menjalani pelbagai ujian darah dan air kencing untuk membuktikan dirinya bersih daripada dadah.
“
“Saya tahu beliau (bekas perenang Singapura, Joseph Schooling) akan menjadi pesaing yang sukar ditandingi dalam perlumbaan itu pada 2016. Jadi saya gembira melihat beliau dapat bersara pada masa yang beliau inginkan. Beliau memenangi pingat emas. Ia (pencapaian yang) sangat besar, ia sangat mengagumkan. Untuk menang pingat emas (bermakna anda berada dalam kelompok) kurang 1 peratus daripada 1 peratus...Saya ucapkan yang terbaik untuknya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg