Topik diikuti
Pergi ke BHkuBrazil bengang Jepun curi kemenangan di Stadium Negara
Ancelotti, Rapinha dilayang kad merah kerana bantah gol ketiga Jepun
Brazil bengang Jepun curi kemenangan di Stadium Negara
Lazimnya, perlawanan persahabatan jarang berakhir dengan kontroversi atau jurulatih yang dilayang kad merah.
Namun itulah yang berlaku di Stadium Negara dan disaksikan hampir 40,000 penonton pada 14 November, apabila Brazil tewas 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan Cabaran Mizuho Biru - Siri Bola Sepak Kallang Singapura.
Pengurus Brazil, Carlo Ancelotti dan bintang Barcelona, Raphinha Belloli, dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas mereka membantah keras gol ketiga dan kemenangan yang dijaringkan Tatsuhiro Sakamoto dalam masa kecederaan.
Malah, detik itu bak mendorong barisan jurulatihan dan pemain Brazil untuk mengelilingi pengadil perlawanan warga Singapura, Jansen Foo.
Mereka berpendapat bahawa pemain mereka telah dikasari semasa Jepun mengatur permainan untuk menjaring gol ketiga.
Namun jaringan itu tidak dibatalkan oleh Foo selepas melakukan pemeriksaan lanjut, yang bermakna Jepun mencatatkan kejutan untuk mencatat kemenangan kedua dalam sejarah ke atas Brazil.
Sesungguhnya, Jepun memulakan perlawanan dengan lebih rancak dan meluru untuk mendahului perlawanan dengan dua gol dengan perlawanan berusia kurang 20 minit.
Jepun membuka jaringan menerusi satu serangan balas pantas yang dimulakan Ritsu Doan. Pemain Eintracht Frankfurt dalam Bundesliga Jerman itu meleretkan bola kepada Pemain Real Sociedad Takefusa Kubo bijak mencari ruang untuk melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gawang Brazil, Pedro Morisco.
Sejurus kemudian, Doan sekali lagi menjadi pencetus serangan dengan pemain sayap Lyon, Keito Nakamura menyudahkan peluang untuk menggandakan kelebihan gol Jepun.
Brazil bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi kehebatan bintang Real Madrid, Vinicius Junior, yang menjaringkan dua gol - satu di akhir separuh masa pertama dan satu lagi dalam separuh masa kedua.
Momentum bak menyebelahi Brazil, yang mengatur serangan demi serangan, tetapi Jepun mencuri gol kemenangan apabila Sakamoto bertindak paling cepat untuk menguis bola melepasi penjaga gawang Brazil, Pedro Morisco dalam masa kecederaan.
Brazil seterusnya akan berdepan pasukan tuan rumah, Singapura pada 17 November, manakala Jepun akan menentang Paraguay pada hari yang sama.