Walaupun Singa ditewaskan 4-1 Paraguay dalam Cabaran Mizuho Blue – Siri Bola Sepak Kallang Singapura di Stadium Negara, mereka mempamerkan semangat juang dan prestasi yang meyakinkan.

Pasukan Singa memulakan perlawanan dengan baik apabila mempamerkan corak permainan menarik dan tidak gentar berdepan cabaran Paraguay, yang berada jauh lebih tinggi dalam ranking dunia.

Farhan Zulkifli tampil yakin mempamerkan kelicikannya untuk melepasi pemain Paraguay, sekali gus menghasilkan tendangan sudut pertama Singa dalam tempoh tiga minit pertama perlawanan.

Namun, Paraguay menunjukkan mutu permainan mereka apabila memanfaatkan peluang pertama untuk membuka tirai jaringan pada minit ketujuh.

Gustavo Caballero menanduk masuk bola hasil hantaran lintang Alexandro Maidana untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Gavin Lee tidak mudah mengalah dan terus berusaha mengatur beberapa serangan mengancam mencari gol penyamaan.

Bukan sahaja barisan penyerang Singa menunjukkan semangat juang, malah benteng pertahanan turut bekerja keras mematahkan serangan Paraguay bagi menghalang pasukan pelawat daripada menggandakan kelebihan.

Usaha Singa akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-30 menerusi satu gerakan menarik yang memperlihatkan ketekunan mereka merampas bola di bahagian tengah padang.

Kyoga Nakamura bergabung dengan Harhys Stewart sebelum bola kembali kepada Kyoga, yang kemudian membuat umpanan kepada Song Ui-young.

Song menanduk bola masuk ke gawang lawan untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Jaringan tersebut menyuntik semangat kepada Singa, yang terus menghasilkan beberapa gerakan serangan mengancam dalam usaha mencari gol pendahuluan.

Namun, pasukan pelawat yang mencuri kelebihan perlawanan apabila sentuhan kemas Eduardo Delmas temui Mauricio Magalhaes yang memanfaatkan peluang untuk meletakkan pasukannya di hadapan 2-1 sebelum separuh masa pertama berakhir.

Walaupun pasukan Singa mempamerkan persembahan yang memberangsangkan, mutu permainan dan pemain Paraguay tetap menyerlan dan mereka berjaya memenangi perlawanan tersebut 4-1.
Walaupun pasukan Singa mempamerkan persembahan yang memberangsangkan, mutu permainan dan pemain Paraguay tetap menyerlan dan mereka berjaya memenangi perlawanan tersebut 4-1. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Paraguay berjaya meluaskan jurang jaringan pada awal babak kedua apabila Gustavo Caballero memanfaatkan kesilapan komunikasi antara penjaga gawang Izwan Mahbud dengan kapten Hariss Harun.

Satu hantaran lintang gagal dikutip Izwan sebelum bola jatuh ke kaki Caballero, yang mudah menyudahkan peluang itu untuk menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan dan meletakkan Paraguay di hadapan 3-1.

Paraguay hampir menambah jaringan keempat menerusi satu serangan balas pantas, namun Izwan berjaya menepis percubaan Caballero bagi menghalang pasukan pelawat daripada terus menjarakkan kedudukan.

Meskipun rentak perlawanan semakin perlahan, Singa tetap berusaha mencari peluang untuk merapatkan jurang jaringan.

Tetapi Paraguay tetap berjaya mencari jalan untuk mendapatkan satu lagi gol melalui jaringan pemain gantian, Julio Enciso.

Hasrat Singa untuk merapatkan jurang tidak kesampaian apabila keputusan 4-1 kekal sehingga wisel penamat.

Walaupun tewas, sokongan penyokong terhadap skuad Singa tetap jelas kedengaran menerusi sorakan yang bergema selepas perlawanan.

Singa kini akan mengalihkan perhatian kepada pertemuan menentang Brazil pada 17 November.