Lazimnya, perlawanan persahabatan jarang berakhir dengan kontroversi atau jurulatih yang dilayang kad merah.

Namun itulah yang berlaku di Stadium Negara dan disaksikan hampir 40,000 penonton pada 14 November, apabila Brazil tewas 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan Cabaran Mizuho Biru-Siri Bola Sepak Kallang Singapura.

Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, dan bintang Barcelona, Raphinha, dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas mereka membantah keras gol ketiga kemenangan Jepun yang dijaringkan Tatsuhiro Sakamoto dalam masa kecederaan.

Malah, detik itu bak mendorong barisan kejurulatihan dan pemain Brazil untuk mengelilingi pengadil perlawanan warga Singapura, Jansen Foo.

Mereka berpendapat bahawa pemain mereka telah dikasari semasa Jepun mengatur permainan dalam menjaringkan gol ketiga itu.

Namun jaringan itu tidak dibatalkan oleh Foo selepas melakukan pemeriksaan lanjut, yang bermakna ‘Samurai Blue’ mencatatkan kejutan dengan hanya kemenangan kedua dalam sejarah ke atas juara dunia lima kali itu.

Sesungguhnya, Jepun memulakan perlawanan dengan lebih rancak dan meluru untuk mendahului perlawanan dengan dua gol dengan perlawanan berusia kurang 20 minit.

Jepun membuka jaringan menerusi satu serangan balas pantas yang dimulakan Ritsu Doan. Pemain Eintracht Frankfurt dalam Bundesliga Jerman itu meleretkan bola kepada pemain Real Sociedad, Takefusa Kubo, yang bijak mencari ruang untuk melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gawang Brazil, Pedro Morisco.

Sejurus kemudian, Doan sekali lagi menjadi pencetus serangan dengan pemain sayap Lyon, Keito Nakamura, menyudahkan peluang untuk menggandakan kelebihan gol Jepun.

Digelar ‘Messi’ Jepun, Takefuso Kubo, bijak mencari ruang untuk menjaringkan gol pertama dalam perlawanan persahabatan dengan Brazil di Stadium Negara di Singapura.
Digelar ‘Messi’ Jepun, Takefuso Kubo, bijak mencari ruang untuk menjaringkan gol pertama dalam perlawanan persahabatan dengan Brazil di Stadium Negara di Singapura. - Foto BM oleh KHALID BABA

Brazil bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi kehebatan bintang Real Madrid, Vinicius Junior, yang menjaringkan dua gol cemerlang – satu di akhir separuh masa pertama dan satu lagi dalam separuh masa kedua.

Momentum bak menyebelahi Brazil, yang mengatur serangan demi serangan, tetapi Jepun mencuri gol kemenangan apabila Sakamoto bertindak paling cepat untuk menguis bola melepasi penjaga gawang Brazil dalam masa kecederaan.

Brazil seterusnya akan berdepan pasukan tuan rumah, Singapura, pada 17 November, manakala Jepun akan menentang Paraguay pada hari yang sama.