Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Brazil tekad kalahkan Argentina

Mar 25, 2025 | 2:00 PM
Pengurus Brazil, Dorival Junior.
Pengurus Brazil, Dorival Junior. - Foto EPA-EFE

BRASILIA: Brazil boleh membuktikan pengkritik mereka silap dengan menamatkan rentetan tanpa kemenangan ke atas seteru lama Argentina, kata jurulatih Dorival Jr menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia antara kedua-dua pasukan di Buenos Aires pada 25 Mac.

Brazil belum pernah menewaskan juara dunia itu dalam tempoh enam tahun, dan rekod itu berlanjutan sehingga 16 tahun bagi perlawanan yang berlangsung di Argentina.

Penyerang Brazil, Raphinha menambah kehangatan menjelang pertembungan kelayakan Piala Dunia yang dinanti-nantikan menentang Argentina pada 26 Mac.

Beliau memberi jaminan bahawa beliau akan menjaringkan gol serta berkata perlawanan itu akan menjadi lebih fizikal daripada sepatutnya.

“Kami akan mengalahkan mereka... Pasti! Mengalahkan mereka! Di atas padang dan di luar padang jika perlu,” kata Raphinha dalam satu temu bual di “Romario TV” bersama legenda Brazil itu.

“Saya pasti akan (menjaringkan gol menentang Argentina). Saya akan berikan segala yang saya ada...”

Kali terakhir Brazil menang di Argentina adalah pada 2009, dengan kemenangan 3-1 di Santa Fe.

Sejak kemenangan 2-0 mereka dalam separuh akhir Copa America pada 2019, Brazil telah kalah tiga daripada empat perlawanan terakhir mereka menentang musuh ketat mereka, kesemuanya dengan keputusan 0-1

Selepas kemenangan dramatik 2-1 ke atas Colombia pada 20 Mac, Dorival yakin pertembungan 25 Mac adalah peluang terbaik untuk membuktikan pasukannya masih digeruni.

Berkongsi kepada sidang media pada 24 Mac, Dorival berkata:

“Kita akan berdepan juara dunia dan Amerika Selatan, pasukan paling berjaya di dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan kami akan turun untuk menang, bermain bola sepak terbaik kami, dan menewaskan mereka di tempat mereka sendiri.

“Kita hidup dalam sebuah negara yang gemar mengkritik. Ia satu perkara yang menyedihkan, tetapi itulah yang saya rasakan. Kita suka mengkritik dan jarang mendapat penghormatan yang sepatutnya. Namun, masa akan meletakkan setiap orang di tempatnya.”

Dalam pada itu, kenyataan Raphinha telah mencetuskan kekecohan di Argentina, dengan media tempatan menganggap “kata-katanya yang keras” sebagai satu ancaman.

Namun, pengurus juara dunia, Lionel Scaloni, memilih untuk tidak menghangatkan lagi keadaan.

“Pejuang di atas padang, rakan baik di luar padang,” katanya dalam sidang media pada 24 Mac.

“Saya tidak memberi perhatian yang mendalam kepada kenyataan pemain (Raphinha). Argentina menentang Brazil adalah perlawanan penting tetapi ia tetap perlawanan bola sepak. Ia tidak perlu melebihi itu.”

Beliau memberi contoh situasi Lionel Messi dan Neymar selepas final Copa America di tangga stadium Maracana, Brazil. Walau berlainan negara, kededua mereka menunjukkan persahabatan mereka dengan tingkah laku positif.

Perlawanan di El Monumental, Buenos Aires, akan menjadi perlawanan pertama Raphinha di Argentina sejak 2021, apabila beliau disiku pada mulutnya oleh pemain pertahanan tuan rumah, Nicolas Otamendi, dan terpaksa menerima lima jahitan.

Argentina kini mendahului liga kelayakan Amerika Selatan dengan 28 mata, enam mata di hadapan Ecuador di tempat kedua dan tujuh mata di hadapan Brazil di tempat ketiga.

Sekiranya Bolivia gagal menewaskan Uruguay dalam perlawanan awal pada 26 Mac, Argentina akan menjamin tempat di Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada dengan berbaki empat perlawanan lagi. Jika tidak, mereka boleh melayakkan diri dengan keputusan seri menentang Brazil.

Enam pasukan teratas layak secara langsung ke kejohanan tersebut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg