Ketua jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, memberi amaran kepada Singa untuk mengubah pemikiran dan mahu pemainnya bermain perlawanan menentang Hong Kong dalam Kelayakan Piala Asia pada 25 Mac seolah-olah ia adalah perlawanan terakhir mereka.
Jurulatih asal Jepun itu memberikan amaran tersebut dalam usaha memastikan pemainnya tidak mempamerkan aksi hambar seperti yang disaksikan ketika tewas 1-0 kepada Nepal pada 21 Mac.
Bercakap pada sidang media menjelang perlawanan menentang Hong Kong di Stadium Negara pada 24 Mac, ketua jurulatih dari Jepun itu mengingatkan pemainnya bahawa kerjaya bola sepak agak singkat, terutama untuk pasukan kebangsaan.
“Dalam satu tahun, anda hanya akan bermain untuk negara hanya beberapa kali. Jadi saya arahkan pemain saya supaya bermain seperti esok merupakan perlawanan terakhir mereka dan saya akan lihat respons mereka esok,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu.
Ogura, bagaimanapun, tidak menjelaskan apa tindakan yang akan diambilnya jika ada pemain yang tidak menunjukkan peningkatan dalam permainan mereka dalam perlawanan tersebut.
Pemain tengah Singapura, Shah Shahiran, turut berkongsi pandangan jurulatihnya, sambil berkata beliau dan rakan-rakannya berazam untuk bangkit dan bertekad mendapat kemenangan apabila berdepan Hong Kong.
Menurut beliau, pasukan Singa berazam melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat itu.
Beliau juga menekankan kepentingan memenangi perlawanan itu, kerana hanya pasukan yang menduduki tempat teratas akan layak ke pusingan seterusnya Piala Asia.
“Kami harus lakukan apa jua untuk dapatkan tiga mata dan memanfaatkan kelebihan apabila bermain di tempat sendiri,” katanya.
Jika Singapura dikalahkan, peluang untuk mara ke pusingan seterusnya semakin tipis, kerana hanya pasukan teratas Kumpulan C akan layak ke pusingan seterusnya.
Singapura dan Hong Kong berada dalam Kumpulan C, bersama India dan Bangladesh.
Ogura juga berharap pemainnya akan memberi semangat kepada satu sama lain, dan menekankan kepentingan pemain berpengalaman untuk membimbing pemain yang lebih muda.
“Dengan pemain seperti Hariss (Harun) dan Safuwan (Baharudin), saya tahu mereka akan membimbing saya sehingga mereka bersara,” kata Shah Shahiran lagi.
Apabila ditanya tentang ketandusan gol Singapura, Ogura menjelaskan bahawa pasukannya harus ikut sistem dan gaya bola sepak yang telah ditetapkan, terutama di bahagian menyerang, dan gol akan datang.
Ketua jurulatih Hong Kong, Ashley Westwood, mendedahkan bahawa walaupun dengan kekalahan terkini Singapura, pasukannya tidak akan leka apabila berdepan dengan anak didik Ogura.
Malah, Ashley berkata bahawa beliau lebih rela jika Singa menang besar semasa perlawanan itu kerana beliau percaya pasukan Singa kini akan rasa lebih bersemangat untuk menebus kekalahan mereka.
“Kami akan memberi tumpuan kepada diri kami sendiri, berpegang pada falsafah kami, dan menegakkan gaya kami bermain bola serta melakukan yang terbaik kerana kami berada dalam rentak perlawanan yang baik,” kata beliau.
Hong Kong memperoleh empat kemenangan perlawanan antarabangsa berturut-turut baru-baru ini menentang pasukan Macau, Mauritius, Filipina dan Kemboja.
Penyerang Hong Kong, Matt Orr juga akur dengan ancaman Singa yang disifatkan beliau sebagai “binatang yang terluka” dan menekankan bahawa pasukan beliau harus kekal berwaspada.
Hong Kong mempunyai beberapa pemain yang dinaturalisasikan, antaranya Matt sendiri; pemimpin baris pertahanan Hong Kong, Leon Jones dan penyerang muda, Michael Udebuluzor.
Menurut Matt, pemain-pemain tersebut membuat skuad Hong Kong yang dipilih untuk kempen kelayakan Piala Asia ini antara skuad yang terkuat dalam sejarah Hong Kong.
Pada 2022, Hong Kong layakkan diri bagi Piala Asia 2023 di Qatar, dan pengalaman ini telah memberikan lebih rangsangan untuk pasukannya lakukan yang terbaik bagi kempen ini juga.
“Saya rasa pengalaman untuk beraksi di Piala Asia di Qatar adalah salah satu pencapaian terbesar dalam kerjaya kami,” kata Matt
“Ia memberikan kami sedikit gambaran berada di kemuncak bola sepak Asia dan semakin membakar semangat dan keinginan kami untuk kembali bermain di peringkat itu.”
Kali terakhir kededua pasukan ini bertemu pada 2023,di mana perlawanan persahabatan tersebut berakhir 1-1.
Walaupun Hong Kong mempunyai kelebihan dari segi ranking Fifa (155), Singapura tidak jauh belakang, hanya lima tempat belakang Hong Kong di kedudukan 160.
Dengan keinginan pasukan Singa untuk bangkit dan kembali menang, pertemuan Hong Kong dan Singapura pada 25 Mac bakal menjadi perlawanan yang menghiburkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg