Gunung Fansipan berdiri megah di Vietnam. Dengan ketinggian 3,147 meter, seseorang memerlukan kekuatan dan kesungguhan untuk mencapai puncak gunung tersebut.
Hal itu boleh disamakan dengan cabaran yang dihadapi skuad bola sepak Singapura yang juga berhadapan ‘gunung’ yang perlu didaki di Vietnam.
Mereka harus menewaskan Vietnam dengan jaringan sekurang-kurangnya 3-0 di Stadium Viet Tri di Phu Tho, Vietnam, pada 29 Disember untuk melangkah ke peringkat akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.
Ini menyusuli kekalahan 0-2 kepada pasukan bergelar ‘Pendekar Bintang Emas’ itu di separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar pada 26 Disember.
Anak didik Tsutomu Ogura dihukum dua gol lewat pasukan lawan – Nguyen Tien Linh dan pemain kelahiran Brazil, Rafaelson, atau lebih dikenali sebagai Nguyen Xuan Son.
Walau berjaya bertahan selama 90 minit, kelekaan di bahagian pertahanan menghadiahkan gol buat Vietnam pada minit ke-11 dan 14 masa kecederaan.
Perlawanan tersebut menzahirkan lima aspek yang perlu direnungkan pasukan Singa.
Walau permulaan perlawanan adalah penting, pengakhiran yang akan menentukan pemenang.
Singa tidak mampu leka pada minit-minit akhir permainan. Hal ini jelas dilihat pada dua perlawanan mereka – menentang Vietnam serta Thailand di peringkat kumpulan.
Ketika menentang Thailand, mereka turut dibolosi pada masa kecederaan separuh masa kedua, lantas memberikan kemenangan kepada Thailand.
Ogura turut akur kekurangan anak didiknya dan berpendapat gol kedua Vietnam seharusnya tidak berlaku.
“Inilah bola sepak, kami perlukan tuah, tetapi kami juga perlukan kerja keras. Kami dihukum penalti yang malang, tetapi kami tidak perlu melepaskan satu lagi gol, jadi itu adalah kesalahan kami.
“Tetapi permainan ini sudah tamat. Hari ini kami menyukarkan Vietnam, dan mereka menewaskan kami. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar di Hanoi juga, jadi mengapa kami tidak boleh melakukan perkara yang sama kepada mereka? Kami akan bersiap sedia untuk ‘separuh masa kedua’ di Hanoi,” ujar beliau di sidang media selepas perlawanan di Stadium Jalan Besar.
Kecergasan pemain jelas dilihat sebagai satu isu buat pasukan Singa. Mereka sering memulakan perlawanan dengan garang, namun kerap hilang taringnya ketika lewat permainan.
Jika terdapat sesuatu yang perlu diperbaiki Ogura, ia adalah mengekalkan fokus serta disiplin barisan pemainnya ketika bertahan.
Ketika perlawanan pertama, pemain sering kehilangan bola apabila gagal berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain.
Pemain dilihat menghantar bola terlalu awal atau lewat, dan sering bertembung antara satu sama lain ketika bersaing bagi bola.
Tanpa komunikasi yang baik, pasukan lawan mampu mengambil kesempatan dan melakukan serangan.
Hal itu jelas dilihat apabila pemain Vietnam mampu memulakan serangan kilat hasil daripada kesilapan pemain Singa.
Namun, mereka gagal menyempurnakan peluang tersebut kerana tidak serasi dengan keadaan rumput tiruan di Stadium Jalan Besar.
Hal itu turut dipersetujui jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik.
Bercakap di sidang media selepas perlawanan, beliau berkata:
“Saya rasa terdapat masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru itu namun ia hanya satu alasan kerana semua pasukan menghadapi persekitaran baru untuk setiap perlawanan.
“Separuh masa pertama amat sukar bagi saya untuk melaksanakan apa yang kami rancangkan namun, selepas melakukan perubahan taktikal melalui pertukaran yang sesuai pada separuh masa kedua, saya rasa kami dapat bermain dengan baik pada saat-saat akhir.”
Singa tidak mampu mengharapkan perkara itu berulang di Stadium Viet Tri. Beraksi di tempat dan penyokong sendiri, Vietnam sudah pasti akan menyempurnakan peluang yang terhidang.
Jika Singa ingin menembusi kubu pertahanan Vietnam, mereka harus menggunakan pendekatan berbeza.
Persembahan yang dipamerkan dalam pertemuan pertama terlalu direct dan mudah diramal pemain Vietnam.
Antara lain, pergerakan bola yang agak perlahan serta tidak mengambil kesempatan ruang yang kosong.
Pada perlawanan pertama, Singa juga sering mengumpan bola dari bahagian pertahanan ke penyerang seperti Shawal Anuar dan pada satu tempoh kepada pemain pertahanan, Safuwan Baharudin, yang beraksi di bahagian depan untuk memenangi tandukan.
Dengan Vietnam menurunkan lima pemain pertahanan, Singa perlu mencari jalan alternatif untuk menembusi kubu lawan dan bukan sekadar mengumpan bola tinggi ke bahagian serangan.
Pemain midfield, Kyoga Nakamura, merupakan pemain yang mampu memberikan sentuhan kreativiti pada pasukan Singa.
Beliau tidak diturunkan pada perlawanan pertama akibat digantung satu perlawanan kerana menerima dua kad kuning di peringkat kumpulan.
Kehilangan beliau jelas terasa apabila Singa tidak mempunyai pemain yang mampu melakukan ‘hantaran terakhir’ atau final pass kepada pemain penyerangnya.
Pemain berbakat kelahiran Jepun itu yang beraksi sebagai pemain midfield ofensif mempunyai kebolehan untuk membuat umpanan berbahaya, malah mengawal bahagian tengah padang.
Ketika pertahanan Vietnam mempunyai disiplin, ia memerlukan sentuhan ajaib daripada seorang pemain untuk menghantar bola leret berbahaya ke penyerang Singa.
Jika terdapat sesuatu yang boleh dibanggakan Singa, ia adalah keupayaan mengawal penyerang berbisa Vietnam itu selama 90 minit.
Namun, pemain itu tetap berjaya membolosi pertahanan Singa pada minit-minit akhir dengan merintis penalti serta menjaringkan gol.
Singa harus terus mengawal bintang tersebut agar beliau tidak meledakkan sebarang gol di Vietnam.
Tonggak pertahanan Singa, Safuwan, dan Lionel Tan, berjaya melaksanakan tugas itu untuk sebahagian besar permainan dan harus terus ‘mengunci’ bintang penyerang Vietnam itu pada perlawanan separuh akhir kedua nanti.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg