Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura hadapi tugas berat perlawanan kedua tentang Vietnam

Dec 26, 2024 | 11:43 PM
Penyerang Vietnam, Nguyen Xuan Son,melakukan aksi sepakan bicycle kick, dengan kapten dan pemain pertahanan Singapura Safuwan Baharudin (jersi nombor 21) cuba menghalang percubaan Xuan Son. Barisan pertahanan Singapura, bijak mengawal Xuan Son sepanjang perlawanan separuh akhir pertama Piala Mitsubishi Electric 2024 pada 26 Disember di Stadium Jalan Besar.
Penyerang Vietnam, Nguyen Xuan Son,melakukan aksi sepakan bicycle kick, dengan kapten dan pemain pertahanan Singapura Safuwan Baharudin (jersi nombor 21) cuba menghalang percubaan Xuan Son. Barisan pertahanan Singapura, bijak mengawal Xuan Son sepanjang perlawanan separuh akhir pertama Piala Mitsubishi Electric 2024 pada 26 Disember di Stadium Jalan Besar. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pasukan Singapura berhadapan dengan tugas mencabar apabila berkunjung ke Stadium Viet Tri di Phu Tho, Vietnam pada 29 Disember bagi perlawanan kedua peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.

Ini kerana skuad kendalian Tsutomu Ogura itu tewas 0-2 kepada Vietnam dalam perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Jalan Besar pada 26 Disember.

Namun pasukan negara mempamerkan permainan yang boleh dibanggakan dalam perlawanan yang penuh drama itu.

Sehinggakan ramai yang menyangka perlawanan akan berakhir dengan keputusan seri.

Nasib menyebelahi pasukan pelawat.

Vietnam bangkit dalam masa tambahan akhir perlawanan dengan menjaringkan dua gol – salah satu menerusi tendangan penalti.

Nguyen Tien Linh menyempurnakan tendangan penalti yang diambilnya pada minit ke 90+11 sementara pemain kelahiran Brazil, Rafaelson atau nama Vietnamnya, Nguyen Xuan Son, mengukuhkan kedudukan tiga minit kemudian, apabila menjaringkan gol kedua buat pasukannya itu.

Padahal pasukan Singapura mempamerkan semangat dan kegigihan untuk mengawal perlawanan menentang Vietnam, sepanjang 90 minit perlawanan. 

Sorakan seramai 5,233 penonton di Stadium Jalan Besar begitu hebat bagaikan di Stadium Negara. 

Para penyokong Singapura bersatu suara menyorak dan mendorong pasukan kesayangan mereka untuk cuba mendapatkan kemenangan.

Malangnya kelalaian bahagian pertahanan membenarkan pasukan pelawat memanfaatkan perlawanan itu di minit-minit terakhir perlawanan penuh mendebarkan itu.

Gol pertama hasil penalti akibat pemain pertahanan Singapura, Shakir Hamzah terjatuh lalu dikatakan memegang bola – mengakibatkan pengadil meniup wisel dan menghadiahkan Vietnam dengan sepakan penalti.

Sepakan Tien Linh memperdayakan Izwan Mahbud dan meletakkan Vietnam satu gol di hadapan.

Gol kedua dihasilkan selepas para pemain pertahanan Singapura kelihatan lalai membiarkan pemain lawan mudah membuat umpanan sebelum disempurnakan Rafaelson yang tidak terkawal.

Di sebalik kedua-dua jaringan itu, pasukan Singapura boleh berbangga kerana dapat mengawal perlawanan dengan baik dalam separuh masa pertama.

Dalam separuh masa pertama, Vietnam cuba untuk menembusi pertahanan Singapura yang diketuai oleh Safuwan Baharudin, namun barisan pertahanan Singa kekal teguh.

Pasukan Singapura pula tidak sekadar bertahan sahaja, sebaliknya menghasilkan beberapa serangan yang mengancam pihak lawan.

Vietnam yang mula membuat percubaan jaringan dalam separuh masa pertama, apabila gawang Singapura dibolosi pada minit kelapan selepas tendangan kencang oleh Vietnam, tetapi jaringan dibatalkan kerana ofsaid.

Barisan pertahanan Singapura pula bijak mengawal penyerang Vietnam, Xuan Son, memastikan beliau tidak diberi ruang untuk membuat jaringan.

Namun, walaupun dikawal rapi, Xuan Son tetap mempamerkan ancamannya terhadap gawang Singapura, apabila melakukan sepakan ala bicycle kick pada minit ke-19 yang terkena palang Singapura.

Beliau sekali lagi mengancam gawang Singapura pada minit ke-36, apabila berdepan penjaga gawang Singapura, namun percubaannya tidak menemui sasaran.

Pasukan Singapura melakukan beberapa gerakan yang mengancam pihak lawan, namun kurang penyudah atau umpanan yang baik untuk dimanfaatkan.

Separuh masa berkesudahan 0-0, dan pada ketika itu dapat dirasakan bahawa penyokong Singapura yakin pasukan negara mempunyai peluang yang baik untuk memenangi perlawanan tersebut.

Malah permulaan separuh masa kedua tidak kurang mendebarkan, dengan Singapura terus memburu kemenangan.

Penyerang Singapura, Shawal Anuar, menjadi kunci utama serangan Singapura sekali lagi.

Pada minit ke-60 beliau menghasilkan gerakan hebat bersama Faris Ramli, yang menghantar bola ke sudut kotak penalti Vietnam, tetapi ia dihalang oleh pertahanan lawan.

Shawal hampir menambah kepada jumlah jaringannya sejauh ini dengan gol yang hebat pada minit ke-61, tetapi ia dibatalkan kerana ofsaid.

Singapura bertekad untuk mencari gol kemenangan, dan pada minit ke-65, penyerang gantian Singapura, Taufik Suparno hampir-hampir menemui sasaran, tetapi penjaga gawang Vietnam, Dinh Trieu Nguyen berjaya menampan bola keluar dengan aksi baik.

Vietnam juga menanti peluang untuk melakukan serangan balas, dan taktik mereka hampir berjaya apabila Xuan Son menjaringkan gol pada minit ke-85 tetapi ia dibatalkan akibat bola terkena tangannya.

Sudah pasti dengan kekalahan ini, pasukan Singapura berhadapan tugas berat apabila berkunjung ke padang lawan dalam perlawanan kedua.

Apatah lagi Vietnam bakal bermain di padang sendiri di hadapan ribuan penyokong mereka dan pasukan itu mempunyai kelebihan hasil kemenangan pertama.

Tiket untuk perlawanan itu sudah habis dibeli oleh penyokong Vietnam, mempamerkan semangat mereka untuk melihat pasukan negara itu membaham pasukan Singa untuk mara ke peringkat akhir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg