Topik diikuti
Pergi ke BHkuCadillac kekalkan Bottas bagi F1 2027, akhiri spekulasi mengenai Herta dan Ocon
Cadillac kekalkan Bottas bagi F1 2027, akhiri spekulasi mengenai Herta dan Ocon
LAS VEGAS: Cadillac telah mengekalkan Valtteri Bottas bagi musim Formula 1 (F1) 2027, menurut satu kenyataan pasukan yang disokong Amerika Syarikat itu pada 18 November, sekali gus menamatkan spekulasi bahawa tempatnya bakal diisi oleh pelumba Amerika, Colton Herta, atau pelumba Perancis, Esteban Ocon.
Pengumuman itu mengesahkan bahawa pelumba dari Finland yang merupakan pemenang 10 kali Grand Prix tersebut akan terus bergandingan bersama pelumba Mexico, Sergio Perez, untuk musim kedua Cadillac dalam saingan F1.
Cadillac, yang mendapat sokongan General Motors dan TWG Motorsports, membuat penampilan sulung mereka pada 2026 dan sedang membangunkan program mereka daripada pangkalan di Indianapolis, Charlotte, serta Silverstone di Britain.
“Kepada sesiapa yang berkenaan, saya dikekalkan!” kata Bottas dalam satu kenyataan menjelang perlumbaan Grand Prix Las Vegas hujung minggu ini, merujuk kepada ungkapan popular yang pernah digunakannya sebelum ini untuk membidas pengkritik.
“Kami sedia maklum bahawa membina satu pasukan Formula 1 baharu dari bawah bukanlah sesuatu yang mudah, namun itulah yang menjadikan cabaran ini begitu istimewa,” kata Bottas yang berpengalaman luas itu, sambil menambah bahawa beliau masih dahagakan kejayaan.
Pengekalan Bottas itu menamatkan sebarang prospek segera buat Cadillac untuk menaikkan pangkat pemandu ujian mereka, Herta, yang sedang merintis laluan ke F1 dengan berlumba untuk pasukan Hitech dalam saingan Formula 2.
Pelumba kelahiran California berusia 26 tahun itu merupakan antara pelumba IndyCar paling berjaya di Amerika dan sepatutnya mampu menawarkan pilihan bakat tempatan buat Cadillac, sebuah pasukan Amerika yang sedang berusaha mengukuhkan kedudukannya di arena F1.
Ia juga menutup pintu kepada Ocon, yang masa depannya menjadi bahan spekulasi sejak beliau mengumumkan pada September bahawa beliau akan meninggalkan Haas pada akhir musim.
Beliau kemudiannya diketepikan oleh pasukan tersebut atas sebab yang tidak dinyatakan.
Sebaliknya, Cadillac memilih pengalaman dan kestabilan ketika mereka terus membangunkan pasukan susulan perubahan besar peraturan teknikal dan unit kuasa F1. – Reuters.
