Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemandu F1 Valtteri Bottas berbasikal dari GP Sepang ke S’pura
Pemandu F1 Valtteri Bottas berbasikal dari GP Sepang ke S’pura
Pemandu Formula Satu (F1) pasukan Cadillac, Valtteri Bottas, memilih untuk mengayuh basikal ke Grand Prix (GP) Singapura dari Malaysia selepas menamatkan saingan GP Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor pada 4 Oktober.
Pelumba veteran F1 yang juga peminat tegar sukan berbasikal itu enggan menaiki pesawat atau memandu bagi perjalanan sejauh 350 kilometer berkenaan, sebaliknya memilih untuk mengayuh basikal.
Jurucakap pasukannya memaklumkan bahawa pelumba Finland itu akan mengambil masa tiga hari untuk sampai ke destinasi.
Sesi latihan bagi perlumbaan di Singapura dijadualkan bermula pada 9 Oktober.
Bottas turut memuat naik satu video di Instagram yang memaparkan dirinya berbasikal dalam kegelapan malam dengan hanya dibantu cahaya lampu suluh untuk menerangi laluan di hadapannya.
Pelumba berusia 37 tahun itu sememangnya terkenal melakukan pelbagai cabaran di media sosial, termasuk pada 2024 apabila beliau berjaya menyempurnakan cabaran triatlon jarak Ironman di dalam kediamannya.
Beliau telah menyertai pelbagai perlumbaan berbasikal sepanjang kerjayanya, malah pasangannya dari Australia, Tiffany Cromwell, merupakan seorang pelumba basikal profesional.
Minggu lalu, Cromwell turut memuat naik video di akaun Instagram miliknya yang menunjukkan beliau dan Bottas sedang menjalani latihan di sekitar kawasan ladang kelapa sawit dan pesisir pantai Sepang. – Reuters.