Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Carlos Alcaraz: Kejayaan Terbuka Perancis detik membanggakan

Jun 10, 2024 | 11:43 AM
Pemain tenis terkemuka Sepanyol, Carlos Alcaraz, bergambar dengan piala kejuaraan selepas menewaskan pemain Jerman, Alexander Zverev, dalam perlawanan akhir Terbuka Perancis.
Pemain tenis terkemuka Sepanyol, Carlos Alcaraz, bergambar dengan piala kejuaraan selepas menewaskan pemain Jerman, Alexander Zverev, dalam perlawanan akhir Terbuka Perancis. - Foto EPA-EFE

PARIS: Pemain tenis terkemuka Sepanyol, Carlos Alcaraz, berkata kejayaan sulungnya di Terbuka Perancis pada 9 Jun adalah detik paling membanggakan dalam kerjaya cemerlangnya, selepas menjadi pemain termuda memenangi Grand Slam di tiga gelanggang berbeza (keras, tanah liat, rumput) sukan itu selepas kejuaraannya di Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat.

Pemain berusia 21 tahun itu menewaskan pemain Jerman, Alexander Zverev 6-3, 2-6, 5-7, 6-1, 6-2 di Roland Garros untuk menyertai kumpulan pemain hebat seperti – Mats Wilander, Jimmy Connors, Andre Agassi, Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic.

Tetapi setelah tiba di Paris dengan hampir tidak bermain dalam sebarang perlawanan sebelum ini kerana kecederaan lengan kanan, Alcaraz berkata, pencapaian terbarunya lebih istimewa.

“Tentu sekali memenangi Terbuka Amerika (pada 2022) dan mencapai nombor 1 buat kali pertama ialah sesuatu yang saya impikan sejak saya mula bermain tenis, mendapat Grand Slam pertama saya. Jadi ia cukup istimewa,” kata Alcaraz.

“Cara saya memenangi Wimbledon (pada 2023), menewaskan Djokovic dalam lima set adalah satu pencapaian yang hebat buat saya. Kini, selepas melalui pelbagai cabaran bulan lalu dengan kecederaan dan sebagainya, saya akhirnya menjulang piala Roland Garros.

“Mungkin inilah saat yang saya sangat bangga, semua yang saya lakukan pada bulan lalu hanya untuk menyiapkan diri untuk menghadapi kejohanan ini bersama pasukan saya, banyak berbincang dengan mereka sama ada saya perlu atau tidak perlu berlatih.

“Secara jujur, ia benar-benar sukar untuk saya.”

Alcaraz menarik diri dari Monte Carlo dan Terbuka Barcelona kerana kecederaan dan walaupun dia cuba mengekalkan gelarannya di Madrid, beliau tewas pada saingan suku akhir. Beliau juga terlepas bertanding di Terbuka Italy.

“Saya menganggap diri saya seorang pemain yang tidak memerlukan terlalu banyak perlawanan hanya untuk mencapai 100 peratus. Saya mempunyai minggu yang sangat baik di sini di Paris, berlatih dengan pemain yang hebat,” kata Alcaraz.

“Saya berasa sangat baik pada permainan set, pada pergerakan saya, melakukan pukulan sebelum kejohanan bermula. Tentu sekali, setiap perlawanan yang saya bermain, saya bertambah baik.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg