Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naomi Osaka menangis lepas tumpas di tangan Iga Swiatek

May 30, 2024 | 4:47 PM
Pemain tenis dari Jepun, Naomi Osaka, beraksi semasa perlawanan sengit pusingan kedua menentang Iga Swiatek dari Poland.
Pemain tenis dari Jepun, Naomi Osaka, beraksi semasa perlawanan sengit pusingan kedua menentang Iga Swiatek dari Poland. - Foto EPA-EFE

PARIS: Bintang tenis, Naomi Osaka, berkata beliau menangis selepas kalah kepada Iga Swiatek dalam Terbuka Perancis pada 29 Mei.

Tetapi beliau menambah: “Saya pernah rasai lebih teruk daripada ini.”

Bintang handalan Jepun itu mendahului 5-2 dalam set terakhir yang mendebarkan dalam pusingan kedua, malah hampir memenangi set tersebut dengan satu mata perlawanan.

Namun, juara bertahan, Swiatek dari Poland, menunjukkan persembahan memberangsangkan dengan mencatat kemenangan 7-6 (7/1), 1-6, 7-5 yang membuatnya berada dalam kedudukan baik meraih kejuaraan keempat di Paris dan mahkota Grand Slam kelima.

Osaka, bekas pemain nombor satu dunia yang kini menduduki kedudukan ke-134, hanya membuat penampilan kali kedua di Grand Slam sejak melahirkan anak perempuannya pada Julai 2023.

Setelah kelahiran anaknya, Shai, beliau memutuskan untuk kembali ke gelanggang bagi musim 2024.

“Ini perlawanan paling menyeronokkan bagi saya, suasananya luar biasa. Ia memberi kenangan kepada saya.

“Yang pasti, saya pernah rasai lebih teruk daripada ini,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Meskipun kalah, Osaka mengambil pengajaran positif daripada perlawanan selama hampir tiga jam itu, dengan beliau membuat 54 pukulan kemenangan.

“Saya menangis apabila keluar dari gelanggang, tetapi saya mula memikirkan bagaimana saya menyaksikan Iga memenangi Terbuka Perancis tahun lalu (2023) ketika saya sedang hamil,” ujar Osaka selepas perlawanan itu yang membuat beliau memenangi lebih banyak mata, mempunyai 17 lagi pukulan kemenangan berbanding lawan, dan lebih kerap mematikan servis lawan.

“Pada waktu itu, ia menjadi impian saya dapat bermain dengannya. Jadi apabila saya memikirkannya, saya cuba untuk tidak bersikap terlalu keras pada diri sendiri.

“Saya di sini untuk menikmati suasananya. Saya pemain yang selesa di gelanggang keras. Saya suka ingin menentangnya di gelanggang keras,” ujar beliau.

Osaka, yang belum pernah melepasi pusingan ketiga di Terbuka Perancis, menyertai kejohanan itu setelah sering bermain di gelanggang tanah liat.

Beliau mara ke peringkat pusingan 16 pemain terbaik di Rome, setelah menyingkir pemain 20 teratas, Marta Kostyuk dari Ukraine dan Daria Kasatkina dari Russia.

“Saya rasa saya bermain dengan lebih baik kerana saya telah perbaiki diri dalam beberapa perkara. Tetapi hasilnya tidak seperti yang diingini,” katanya.

Osaka turut menenangkan hatinya dengan menulis di jurnal peribadinya yang diperbaharui sejurus selepas perlawanan.

“Saya tulis ‘saya bangga dengan awak’. Berkata begitu kepada diri sendiri memberi saya kekuatan.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg