LONDON: Pengurus Manchester United, Michael Carrick, memerlukan skuadnya untuk menang di Fulham bagi meredakan tekanan yang semakin meningkat ke atas skuad The Red Devils yang sedang bergelut itu.

Sementara itu, Tottenham Hotspur terdesak untuk menjaringkan gol pertama mereka dalam Liga Perdana England (EPL) musim ini menentang kelab lawan yang turut sama bergelut, Aston Villa.

Di kelompok teratas liga, Arsenal dan Manchester City berhasrat mengekalkan rekod bersih mereka sebelum tempoh rehat antarabangsa bermula.

Ketika Carrick berjalan longlai menuju ke terowong di Old Trafford selepas kekalahan mengecewakan United di tangan Brighton & Hove Albion, teriakan tidak puas hati penyokong bergema dengan setiap langkah yang diambil.

United tewas 2-3 dalam perlawanan di padang sendiri selepas memegang kelebihan dua gol buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun, dan para penyokong di Old Trafford melepaskan kekecewaan mereka menerusi pekikan serta ejekan yang ditujukan kepada pengurus berkenaan serta para pemainnya.

Carrick mengakui kekalahan kepada Brighton dalam pusingan ketiga Piala Liga pada 16 September tidak boleh diterima, sambil memikul tanggungjawab terhadap kekalahan ketiga mereka daripada enam perlawanan musim ini.

Namun, kesediaan Carrick untuk memikul tanggungjawab tersebut tidak akan menyelamatkannya daripada pemerhatian dan kritikan lebih tajam sekiranya United tewas di Fulham pada 20 September.

The Red Devils hanya mencatat satu kemenangan dalam empat perlawanan liga dan tewas dalam dua perlawanan terakhir mereka bagi semua pertandingan.

Mereka tidak mampu menanggung satu lagi tamparan menentang pasukan Fulham yang kini berada di zon penyingkiran dan masih belum mencatatkan sebarang kemenangan dalam liga musim ini.

“Sudah tentu kami mampu bangkit semula.

“Kami mempunyai barisan pemain yang sangat baik, namun keadaan terasa sukar ketika ini kerana kami melalui tempoh tidak begitu baik sepanjang minggu ini, mahupun dua atau tiga minggu kebelakangan ini,” jelas Carrrick.

“Apa yang penting ialah tindakan seterusnya serta cara mengendalikan situasi (prestasi) naik turun ini.”

Sementara itu, Spurs bimbingan Roberto de Zerbi yang belum mencatat sebarang kemenangan mahupun gol dalam liga musim ini, berada di kedudukan yang amat biasa buat mereka.

Spurs menamatkan saingan satu anak tangga di atas zon penyingkiran dalam dua musim terakhir dan sekadar terselamat daripada penyingkiran pada hari terakhir kempen 2025-26. 

De Zerbi membelanjakan lebih £300 juta ($511 juta) pada luar musim bagi memastikan kelab utara London itu tampil lebih berdaya saing pada musim ini.

Malangnya, mereka sekali lagi berada di kedudukan ke-17 EPL dengan hanya mengumpul dua mata menjelang kunjungan Aston Villa ke Stadium Tottenham Hotspur pada 19 September.

Tewas 1-3 kepada Liverpool dalam pusingan ketiga Piala Liga, Spurs sekali lagi tampil goyah dan sarat kesilapan seperti musim lalu.

Kekalahan kepada Villa – yang mencatatkan permulaan lebih teruk dengan hanya satu mata daripada empat perlawanan – bakal meletakkan Spurs dalam situasi yang kembali meresahkan.

Cuba untuk kekal positif, penyerang Spurs, Omar Marmoush berkata: 

“Detik sebegini membina mentaliti dan menyatukan pasukan. Kami semua adalah satu keluarga besar dan kami akan saling memberi semangat kepada satu sama lain.”

Dalam pada itu, Arsenal, yang bakal bertandang ke Brighton pada 19 September, dan City, yang menerima kunjungan Sunderland pada 20 September, dijangka mengekalkan rentak cemerlang mereka sebelum bermulanya tempoh rehat antarabangsa. – AFP.