Topik diikuti
Pergi ke BHkuCarrick dikecam lepas Man U kalah 4-1 lawan Como
Carrick dikecam lepas Man U kalah 4-1 lawan Como
COMO (Italy): Kapten Manchester United, Bruno Fernandes, mengecam ketua jurulatih Michael Carrick berikutan salah satu malam paling memalukan dalam sejarah kelab itu di peringkat Eropah.
Kekalahan teruk 4-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) di tangan kelab Italy, Como, menyebabkan Carrick terpaksa berdepan persoalan mengenai masa depannya.
Beliau memohon maaf kepada 700 penyokong yang hadir di Stadium Giuseppe Sinigaglia, Italy, selepas mengabaikan pemain-pemainnya yang tewas sebaik wisel penamat dibunyikan untuk berjalan melintasi padang sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya berulang kali.
Tindakannya itu mengingatkan kembali perbuatan Ole Gunnar Solskjaer selepas kekalahan 4-1 kepada Watford pada November 2021 yang membawa kepada pemecatannya sebagai pengurus United 24 jam kemudian.
Namun, Fernandes mengenakan tamparan lebih hebat kepada Carrick melalui kenyataannya kepada TNT Sports selepas perlawanan.
“Ia adalah keputusan daripada barisan kejurulatihan untuk tidak membuat tekanan satu lawan satu, sebaliknya meninggalkan ruang di belakang untuk merampas bola. Tetapi apabila kita kerap berikan bola kepada pasukan seperti ini, mereka makin berkeyakinan,” katanya.
Apabila ditanya sama ada Carrick tersilap percaturan taktik, Fernandes menambah:
“Itu tugas pengurus dan barisan jurulatih untuk menilainya, bukan saya. Kadangkala anda perlu lebih berani di bawah tekanan, ambil risiko dengan membuat tekanan tinggi dan membuat pihak lawan kurang selesa.”
Semasa diberitahu mengenai komen Fernandes dalam sidang media selepas perlawanan, Carrick memberikan jawapan tegas:
“Tidak kira apa jua sistem atau taktik yang digunakan, jika anda tidak berlari – sama ada berlari ke depan mahupun turun ke belakang – anda tidak akan menang.”
Carrick mengelak daripada menjawab soalan mengenai masa depannya dan turut memohon maaf kepada para penyokong atas persembahan yang dianggap tidak boleh diterima.
Beliau turut meluahkan perasaannya terhadap persembahan skuad Red Devils itu dan memilih untuk bertanggungjawab ke atas kekalahan tersebut.
“Untuk kita bermain sedemikian rupa adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata Carrick.
“Kelab bola sepak ini mempunyai pelbagai nilai teras; apa yang kita pamerkan dan bagaimana kita melaksanakannya. Kita mungkin menang, kita mungkin kalah, tetapi cara kita bermain malam ini memang tidak boleh diterima.
“Saya cuma mahu para penyokong tahu bahawa saya faham perasaan mereka.
“Dengar sini. Saya langsung tidak memikirkan tentang kedudukan saya – ini adalah demi penyokong – saya juga salah seorang daripada mereka yang menyaksikan perlawanan itu dan saya langsung tidak berpuas hati.”
Selepas memenangi 12 daripada 17 perlawanan di bawah kendaliannya musim lalu sekali gus berjaya membawa United kembali ke Liga Juara-Juara selepas dua tahun menyepi, Carrick ditawarkan kontrak dua tahun.
Namun, kempen musim baharu ini menyaksikan kemerosotan besar apabila mereka kini menduduki tangga ke-13 Liga Perdana England (EPL) – hanya tiga mata di atas kelab tercorot, Sunderland.
United berjaya bangkit daripada kekalahan mengejut 2-0 pada perlawanan pembukaan kepada pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Hull, dengan menewaskan Ipswich 5-2 pada minggu berikutnya.
Namun, mereka masih gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam saingan Liga Perdana sejak akhir Ogos lalu.
Satu-satunya kejayaan lain mereka dalam 11 perlawanan merentasi semua pertandingan adalah ketika menewaskan juara Azerbaijan, Sabah FK, 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara, pada 11 September.
Kekalahan terbaharu ini bermakna United telah melalui tujuh perlawanan tanpa sebarang kemenangan – rekod terburuk mereka sejak mencatatkan lapan perlawanan tanpa kemenangan di bawah kendalian Louis van Gaal antara 25 November dengan 28 Disember 2015.
Hanya gol sagu hati Joshua Zirkzee pada masa kecederaan dalam perlawanan menentang Como ini menyelamatkan United daripada mengalami kekalahan kedua terburuk sepanjang zaman di peringkat Eropah. – Agensi berita.