Topic followed successfully
Go to BHkuCarrick pastikan tempat Man U di Liga Juara-Juara
Carrick pastikan tempat Man U di Liga Juara-Juara
Kobbie Mainoo muncul wira apabila jaringkan gol untuk beri kemenangan dramatik 3-2 ke atas Liverpool
Carrick pastikan tempat Man U di Liga Juara-Juara
LONDON: “Anda mahu mengikutinya. Anda mahu berjuang untuknya. Malah anda mahu mati untuknya di padang. Kami menunjukkannya hari ini.”
Penilaian Kobbie Mainoo terhadap pengurus Michael Carrick selepas Manchester United menewaskan Liverpool 3-2 dalam Liga Perdana England sungguh tepat.
Ia tepat kerana apabila Mainoo menjaringkan gol penentu perlawanan pada minit ke-77 di Old Trafford, pengacara stadium sempat memuji pemain berusia 21 tahun itu, yang baru sahaja menandatangani kontrak jangka panjang baru pada 31 April.
Mainoo kini telah menjadi wajah poster kelab.
Perkembangan ini sungguh menakjubkan memandangkan pada musim panas lalu permintaannya untuk dipinjamkan ke Napoli ditolak United.
Beliau juga tidak memulakan sebarang perlawanan liga dalam lima bulan pertama musim ini, dan sedang bersiap untuk perbincangan sukar mengenai masa depannya pada Januari, sebelum Ruben Amorim dipecat.
Bekas pemain pertahanan Manchester City, Micah Richards berkata:
“Melihat beliau bermain, anda benar-benar boleh melihat perbezaan yang Carrick telah lakukan, dari segi pengurus terdahulu yang tidak mempercayainya, dan kemudian pengurus baru datang dan memberinya keyakinan besar. Anda boleh melihat kepercayaan diri itu dalam persembahannya.”
Membawa Mainoo kembali ke dalam skuad dan mendapatkannya bermain pada tahap yang tinggi hanyalah salah satu daripada tugas yang telah diselesaikan Carrick sejak beliau diminta membimbing kelab lamanya sehingga akhir musim.
Beliau turut memulihkan kapten Bruno Fernandes ke kedudukan kegemarannya, di samping memimpin United menewaskan City, Arsenal, Tottenham, Aston Villa, Chelsea dan kini Liverpool – menjadikan ini kali pertama United menang dua kali menentang Liverpool dalam satu musim liga sejak 2015-16.
Carrick, 44 tahun, juga telah membawa United kembali ke Liga Juara-Juara selepas dua tahun tidak layak bertanding.
Seperti biasa, Carrick tidak mahu bercakap tentang masa depannya.
Namun apabila ditanya oleh media dalam sidang akhbar selepas perlawanan, beliau kelihatan lebih berani bersuara berbanding sebelumnya.
“Saya suka melakukan apa yang saya lakukan,” katanya.
“Ia terasa agak semula jadi. Berada dalam kedudukan ini adalah kedudukan yang baik.”
Dalam tempoh empat bulan lalu, terlalu banyak tumpuan diberikan kepada sikap Carrick.
Beliau bukan individu yang ekspresif, sama ada dalam sidang akhbar atau di tepi padang. Beliau tidak berlari-lari seperti Diego Simeone di Atletico Madrid.
Reaksi paling ekspresif beliau pada 3 Mei adalah dalam pertukaran kata-katanya dengan pegawai keempat Anthony Taylor apabila keputusan kelihatan tidak memihak kepada pasukannya pada separuh masa pertama.
Namun masih menjadi tanda tanya sama ada beliau mampu mengendalikan jadual perlawanan yang lebih padat – setiap tiga atau empat hari berbanding sekali seminggu – walaupun beliau pernah melakukannya dengan baik di Middlesbrough sebelum pemain utama kelab itu dijual.
Begitu juga, bagaimana beliau akan bertindak balas terhadap siri kekalahan masih belum dapat ditentukan, memandangkan ia belum pernah berlaku.
United telah memenangi 10 daripada 14 perlawanan di bawah Carrick – lebih banyak mata berbanding mana-mana pasukan lain dalam tempoh sama.
Itulah realiti. Itulah yang akan ‘dibuang’ oleh pihak atasan United jika mereka memilih menggantikan Carrick dalam tiga perlawanan lagi.
Melainkan pengurus Paris St-Germain, Luis Enrique, sanggup meninggalkan pasukan terbaik Eropah untuk beralih ke Liga Perdana England (EPL), sukar dibayangkan siapa lagi yang boleh menggantikan Carrick.
Penyokong yang melaungkan namanya selepas wisel akhir, dan pemain yang berulang kali memujinya, walaupun tidak seterus terang Mainoo, jelas tidak mahu melihat perubahan berlaku.
Pegawai kelab berkata mereka mahu menunggu dan menjalankan penilaian penuh terhadap situasi itu pada akhir musim.
Namun, adakah itu perlu? Adakah hujah untuk mengatakan status Carrick harus disahkan sebelum perlawanan terakhir musim ini menentang Nottingham Forest pada 17 Mei?
Carrick jelas merasakan, bersama pasukan jurulatihnya, bahawa beliau telah melakukan kerja yang baik. – Agensi berita.
