SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Carrick berdepan ujian besar pertama selaku pengurus Man U

Carrick berdepan ujian besar pertama selaku pengurus Man U

Perlawanan menentang Chelsea penting dalam pastikan Man U kukuhkan kedudukan dalam kelompok teratas liga
Apr 14, 2026 | 2:36 PM

Carrick berdepan ujian besar pertama selaku pengurus Man U

MANCHESTER: Jika sebelum ini tumpuan terarah kepada Chelsea yang perlu membuktikan keupayaan mereka menentang Manchester City, di Stamford Bridge, kini tekanan tersebut beralih kepada Manchester United selepas kekalahan mengejut kepada Leeds United.

Selepas kekalahan 1-2 di padang sendiri kepada Leeds, kelab yang dikenali sebagai The Red Devils itu dan ketua jurulatih mereka, Michael Carrick, akan berkunjung ke Stamford Bridge pada 18 April bagi perlawanan dengan Chelsea, membawa pelbagai persoalan besar.

Sebelum ini, Carrick dan pasukannya dijangka memegang kelebihan 10 mata dan mengukuhkan kedudukan ke Liga Juara-Juara musim depan dengan selesa.

Sebaliknya, kekalahan kepada Leeds pada 13 April merapatkan jurang kelebihan kepada empat mata sahaja, dengan deretan kelab lain bersedia mengambil kesempatan atas sebarang kelemahan yang timbul.

United kini berdepan pelbagai ujian selepas mencatatkan kekalahan pertama di padang sendiri dalam tempoh 11 perlawanan, hanya satu kemenangan daripada empat aksi, lima perlawanan tanpa rekod bersih, serta krisis pertahanan.

Ini ditambah dengan ejekan penonton yang bergema di Old Trafford pada waktu rehat ketika menentang Leeds.

Perkara ini menggusarkan Carrick yang sebelum ini kelihatan sangat tenang sejak menggantikan bekas pengurus, Ruben Amorim, pada Januari.

Kini, tekanan sebenar mula dirasai sepenuhnya.

Dalam tempoh beberapa jam akan datang, United bakal mengetahui sama ada Harry Maguire akan dikenakan hukuman tambahan berikutan kad merah di Bournemouth pada Mac. 

Maguire didakwa berkelakuan tidak wajar oleh Persatuan Bola Sepak (FA) terhadap pegawai keempat, Matt Donohue, ketika keluar dari padang.

Hukuman tambahan akan menyebabkan beliau terlepas perlawanan menentang Chelsea, manakala Matthijs de Ligt pula hampir pasti terlepas perlawanan tersebut akibat masalah belakang.

Lisandro Martinez juga akan terlepas aksi di padang sendiri menentang Brentford dan Liverpool, selepas dibuang padang kerana berkelakuan kasar, menarik rambut penyerang Leeds, Dominic Calvert-Lewin, pada separuh masa kedua di Old Trafford.

Pemain Manchester United, Lisandro Martinez (kiri), menarik rambut pemain Leeds United, Dominic Calvert-Lewin, yang mengakibatkan Martinez dilayangkan kad merah dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL), pada 13 April.
Pemain Manchester United, Lisandro Martinez (kiri), menarik rambut pemain Leeds United, Dominic Calvert-Lewin, yang mengakibatkan Martinez dilayangkan kad merah dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL), pada 13 April. - Foto EPA

Carrick memberi bayangan bahawa Red Devils akan mengemukakan rayuan terhadap kad merah tersebut.

Sekiranya rayuan tersebut gagal, satu-satunya pemain pertahanan tengah yang tersedia untuk perlawanan di Stamford Bridge hanyalah pemain muda, Ayden Heaven, 19 tahun, dan Leny Yoro, 20 tahun, yang dilihat sukar untuk mengekang Calvert-Lewin.

“Sebab itulah kami ada skuad,” balas Carrick. 

“Kami mempunyai pemain yang boleh dipanggil bermain. Kami akan ke sana dan menantikan perlawanan tersebut.

“Harapnya Licha (Martinez) masih boleh beraksi. Saya rasa beliau sepatutnya tersedia, tetapi kita lihatlah nanti.”

Kekurangan skuad United jelas kelihatan tatkala mereka merancang membawa masuk dua pemain tengah pada musim panas ini.

Ketiadaan Kobbie Mainoo menyusuli kecederaan ringan menyebabkan kehilangan rangkaian penting antara posisi pertahanan dengan serangan.

Kekosongan tersebut sukar diisi oleh pemain tengah Manuel Ugarte.

Tanpa kawalan bola daripada Mainoo serta sokongan daripada pemain serangan yang tidak menunjukkan prestasi terbaik di padang – seperti Bryan Mbeumo dan Amad Diallo – beban pertahanan jatuh sepenuhnya ke bahu Bruno Fernandes.

Walaupun Fernandes berjaya membantu Casemiro dalam menjaringkan gol pada perlawanan 13 April, kegagalannya untuk memanfaatkan masa kecederaan menyerlahkan keperluan mendesak buat pemain lain untuk turut sama memikul tanggungjawab tersebut.

Berbeza dengan Amorim, yang sering mengeluarkan kenyataan sensasi kepada media, Carrick dilihat sebagai seorang yang tenang dan tidak mudah melatah.

Namun, apabila keputusan perlawanan tidak menyebelahi pasukan, ketenangan itu mula dianggap sebagai tanda tidak proaktif.

Persoalan mula timbul sama ada beliau sepatutnya melakukan pertukaran pemain lebih awal, memilih kesebelasan utama berbeza, atau sama ada beliau mampu menangani tekanan ini – soalan yang lazim muncul selepas setiap kekalahan.

Prestasi United di bawah kendalian Carrick harus dinilai dalam jangka masa lebih panjang. 

Namun, malang buat beliau apabila pemilik minoriti, Sir Jim Ratcliffe, turut berada di kotak pengarah untuk mendengar sendiri ejekan penonton pada waktu rehat, selain menyaksikan aksi hambar pada separuh masa pertama serta kegagalan pasukan untuk bangkit.

Kekalahan ini pastinya perit. 

Meskipun Carrick kelihatan yakin ketika menilai situasi tersebut, jauh di sudut hati, pasti terselit rasa bimbang.

“Apa pun yang berlaku malam ini, ia tidak akan mengubah pendapat saya terhadap pasukan ini secara mendadak,” katanya.

“Ini adalah penghujung musim yang besar. Kami telah melakukan banyak perkara baik setakat ini, dan saya tidak pernah meragui mentaliti, karakter, dan keinginan pemain untuk berjaya.” – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg