Casas mahu Sailors jadi ‘mimpi ngeri’ buat pasukan lawan
Casas mahu Sailors jadi ‘mimpi ngeri’ buat pasukan lawan
Jurulatih baru hasrat bentuk identiti permainan agar jelas, bimbing kelab supaya lebih berdaya saing di pentas Asia
Bagi seorang yang pernah mengalami kemuncak bola sepak Eropah dengan berkhidmat sebagai penganalisis perlawanan bersama juara Sepanyol, Barcelona, serta sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan Sepanyol, peluang mencipta legasi baru di Asia, khususnya di Singapura, mempunyai tarikan tersendiri.
Itulah faktor utama yang mendorong, Jesus Casas, menerima tawaran daripada Lion City Sailors bagi menggantikan Alexander Rankovic yang meninggalkan kelab tersebut pada 6 Februari.
“Saya kenal Singapura. Saya kenal Sailors, beberapa kakitangannya juga saya kenal.
“Pusat latihannya luar biasa, projek untuk bersaing di pertandingan antarabangsa, merupakan antara perkara yang menarik bagi saya,” kata jurulatih berusia 52 tahun itu.
Bagi Casas, yang diumumkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baru pada 23 Februari, ketibaannya di Singapura bukan sekadar memastikan kejuaraan domestik terus dipertahankan.
Lebih daripada itu, beliau berhasrat membentuk identiti permainan yang jelas serta membimbing kelab tersebut agar lebih berdaya saing di pentas Asia.
“Kami mahu menang, seperti semua jurulatih mahu menang. Tetapi kami mahu menang dan pada masa yang sama membuat penyokong menikmati gaya permainan kami,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa matlamat utamanya adalah membina pasukan yang menguasai bola, agresif ketika memberi tekanan dan mampu menjadikan lawan rasa gerun apabila menghadapi Sailors.
“Kami perlu menguasai bola serta mencipta peluang. Kami mahu lawan rasa ia ‘mimpi ngeri’ apabila bermain menentang kami,” ujarnya.
Casas turut menyasarkan penyertaan dalam Liga Juara-Juara Asia sebagai antara matlamat utama kelab tersebut.
“Saya pernah rasai Liga Juara-Juara di Eropah. Saya mahu rasai Liga Juara-Juara Asia juga,” katanya tersenyum.
Dalam masa terdekat, tumpuannya adalah mencari keseimbangan antara falsafahnya dengan kekuatan pemain sedia ada, sambil menekankan bahawa fleksibiliti taktikal adalah kunci kejayaan.
“Tidak dapat dinafikan kami ada pemain bermutu. Termasuk pemain tempatan seperti Hami (Syahin), Shawal (Anuar), Kyoga (Nakamura) dan lain-lain lagi.
“Tapi kami perlu adil, kami perlukan masa. Pemain perlu cuba memahami gaya permainan saya, saya juga perlu bijak memanfaatkan kekuatan mereka,” katanya.
Pengalamannya bersama Iraq pada 2022 hingga 2025 membuktikan beliau bersedia menyesuaikan strategi demi memaksimumkan potensi pasukan.
Di sebalik segala perancangan taktikal, Casas percaya kejayaan sebenar bermula daripada hubungan baik bersama pemain.
“Penting bagi pemain fikir anda jurulatih yang bagus, tetapi pada pendapat saya, lebih penting mereka lihat saya sebagai seorang yang baik,” jelasnya.
Dengan Sailors masih mendahului Liga Perdana Singapura (SPL), Casas kini memikul tanggungjawab dan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam memastikan mereka dapat mempertahankan gelaran Sailors sebagai juara bertahan SPL.
Bagi jangka panjang, beliau ingin menjadikan kelab itu pesaing yang disegani di Asia – sesuatu yang tidak berjaya dicapai oleh Rankovic.
Namun, Casas hadir dengan rekod yang membuktikan beliau bukan sekadar nama besar.
Sepanjang tiga tahun mengendalikan pasukan Iraq, beliau mencatat 18 kemenangan, lapan keputusan seri dan lapan kekalahan daripada 36 perlawanan.
Kemuncak tempohnya hadir pada awal 2023 apabila Iraq muncul juara Piala Teluk Arab ke-25, menewaskan pasukan pilihan seperti Qatar dan Arab Saudi.
Sebelum pengalamannya di Asia Barat, Casas membina reputasi sebagai pembantu jurulatih di peringkat tertinggi Eropah.
Beliau pernah bersama pasukan Liga Perdana England (EPL), Watford, sebagai penolong jurulatih di bawah Javi Gracia, selain berkhidmat dengan skuad kebangsaan Sepanyol sebagai penolong jurulatih kepada Luis Enrique, yang kini merupakan pengurus pasukan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).
Pengalaman bekerja dengan jurulatih bertaraf elit itu, katanya, banyak mempengaruhi pendekatan profesionalnya, walaupun sukar untuk dirumuskan kepada satu aspek tertentu.
“Pengalaman itu semua telah membentuk diri saya hari ini, namun, ia agak mustahil untuk pilih satu perkara sahaja,” jelasnya.
Kini, tumpuannya terarah kepada cabaran domestik dan serantau bersama Sailors.
Perlawanan pertamanya dijadual pada 28 Februari menentang Albirex Niigata Singapore FC, yang menduduki tempat ketiga SPL.
Sailors masih selesa mendahului liga dengan kelebihan tujuh mata di bawah kendalian sementara Varo Moreno yang berjaya mendapatkan dua kemenangan dan satu keputusan seri sejak Rankovic dipecat.
Walaupun mewarisi pasukan yang berada dalam kedudukan kukuh, Casas enggan terlalu cepat membuat penilaian besar.
Apa yang pasti, beliau mahu membina keseimbangan, bukan sahaja dalam sistem permainan, malah dalam hubungan dengan pemain dan penyokong.
Kepada penyokong Sailors, mesejnya jelas:
“Saya harap mereka menikmati bab baru dalam sejarah kelab ini. Akan ada detik baik dan detik sukar. Kami perlukan sokongan mereka dalam melalui semua keadaan.”

