Jurulatih sementara bertembung bagi 2 pasukan teratas SPL
Jurulatih sementara bertembung bagi 2 pasukan teratas SPL
Lion City Sailors telah menangi semua 10 perlawanan manakala BG Tampines Rovers ketinggalan 7 mata dengan kurang satu perlawanan
Masa bergerak pantas dalam bola sepak dan mereka yang dikaitkan dengan Lion City Sailors dan BG Tampines Rovers boleh membuktikannya.
Pada 10 Januari, kedua-dua pasukan bertanding di peringkat perlawanan akhir Piala Singapura dengan Aleksandar Rankovic mengendalikan Sailors, manakala bekas pemain pertahanan Lions Noh Rahman berusaha meneruskan permulaan baiknya di Tampines (Stags).
Namun, apabila kedua-dua pasukan bertemu lagi di Stadium Jalan Besar pada 22 Februari nanti, pertembungan teratas Liga Perdana Singapura (SPL) telah mendapat gelaran yang tidak dijangka – ‘Derbi Sementara’.
Memang tidak diduga kedua-dua pasukan akan memasuki perlawanan penting ini di bawah jurulatih sementara selepas tiba-tiba berpisah dengan ketua jurulatih mereka dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Di tengah-tengah keputusan buruk di peringkat serantau dan benua, pasukan Sailors pada 6 Februari mengumumkan penamatan tempoh khidmat dua setengah tahun Rankovic walaupun memenangi Piala Singapura, dengan penolong jurulatih Varo Moreno mengambil alih tugas sementara ketika mereka mencari pelantikan tetap.
Lapan hari kemudian, Tampines mengumumkan perpisahan dengan Noh. Bekas jurulatih Hougang United, Robert Eziakor, telah dilantik sebagai penjaga sementara, dengan kelab itu dijangka memperkenalkan ketua jurulatih baru mereka pada tarikh kemudian.
Bekas jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, telah dilihat pada perlawanan terbaru Tampines menyampaikan arahan daripada tempat duduk penonton dan dipercayai menjadi pilihan bagi peranan tetap.
Sumber pula menyatakan pasukan Sailors sedang berbincang dengan bekas jurulatih kebangsaan Iraq, Jesus Casas.
Tetapi buat masa ini, kedua-dua jurulatih sementara dijangka menerajui pasukan untuk perlawanan penting itu.
Sailors telah memenangi semua 10 perlawanan mereka dan berada di kedudukan teratas carta lapan pasukan dengan 30 mata, manakala Stags ketinggalan tujuh mata dengan kurang satu perlawanan.
Moreno, 36 tahun, yang memegang lesen Uefa A, telah menyertai Sailors sebagai penganalisis untuk pasukan Bawah 21 tahun pada 2024 dan kemudian sebagai penganalisis pasukan utama, sebelum beliau dilantik ke jawatan sementara susulan pemergian Rankovic.
Beliau terpaksa menyesuaikan diri daripada menganalisis lawan dan membentangkan penyelesaian kepada ketua jurulatih, dan kini perlu membuat keputusan sendiri.
Moreno, yang pernah berkhidmat sebagai penganalisis bersama pasukan Sepanyol, Malaga dan pasukan kebangsaan Haiti, berkata perubahan ini bakal merubah perspektif.
“Tetapi saya menganggapnya secara semula jadi dan saya memikirkan apa yang diperlukan oleh pasukan pada setiap saat.
“Perkara yang baik ialah saya mengenali pemain lebih dekat. Saya tahu betapa bagusnya mereka dan apa yang mereka boleh berikan kepada pasukan, jadi perbezaan utama ialah (membuat) keputusan muktamad,” ujar beliau.
Walaupun Moreno menggambarkan perlawanan akan datang sebagai “perlawanan indah untuk dimainkan”, namun beliau menyatakan adalah masih terlalu awal dalam musim ini untuk menganggapnya sebagai penentu gelaran.

